Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggalakkan lebih ramai pengkarya muzik tempatan menghasilkan lagu patriotik bagi memperkukuh perpaduan kaum dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata lagu sedemikian bukan sahaja bagi meraikan hari penting seperti Hari Kebangsaan tetapi juga mengingatkan rakyat mengenai kepentingan terus hidup dalam aman dan harmoni.
Sejak beberapa tahun lalu, katanya, lagu patriotik semakin mendapat perhatian daripada seniman dan artis popular tanah air, serta dipersembahkan terutama menjelang Hari Kebangsaan.
"Saya rasa kita boleh bertemu dengan kawan-kawan dalam bidang muzik untuk memberi galakan kepada mereka menghasilkan karya baharu. Saya tahu (penulis lirik) Datuk Habsah Hassan ada menghasilkan lagu yang ada dimainkan.
"Mungkin kita akan bincang dengan Media Prima untuk pastikan ia dimainkan di TV3 sebagai contoh dan lagu-lagu yang lain.
"Dalam suasana di Malaysia, kita mampu membangun, mendirikan sebuah bangsa, rakyat yang bukan hanya bersatu padu tapi boleh maju jauh ke hadapan, dan dengan lagu inilah, sudah pasti itu memberi kita semangat dan memori indah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program bual bicara khas Suara Rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan, bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' yang disiarkan di TV3, hari ini.
Panel lain ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Kan.. Ia lebih sesuai dikumandangkan masa musim Hari Raya Puasa/Haji, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas tetapi tidak pada hari lain termasuk Hari Merdeka dan Hari Malaysia..
Lagu "Tanggal 31 Ogos" aje lagu Hari Merdeka.. Lain-lain selain lagu tersebut boleh juga dikumandangkan pada hari lain terutama Hari Raya Puasa/Haji, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.