CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 164|Reply: 0

Pan Gon lega lihat peningkatan Harimau Malaya

[Copy link]
Post time 15-6-2023 12:51 PM | Show all posts |Read mode

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memberi arahan kepada pemain ketika menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/GHAZALI KORI

KUALA TERENGGANU: Peningkatan corak permainan diperagakan pemain skuad kebangsaan membuatkan pengendalinya, Kim Pan Gon menghela nafas lega selepas menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi.

Jelas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, sikap tidak berputus asa selain semangat melawan yang tinggi dipamerkan anak buahnya walaupun ketinggalan pada awal permainan harus diberikan pujian selepas bangkit melakar kemenangan 4-1.

Walaupun puas dengan corak permainan pasukannya, jurulatih berusia 54 tahun itu mengakui masih ada kelemahan perlu diperbaiki sebelum 'terbang' ke Qatar pada Januari tahun depan dalam saingan paling berprestij benua - Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pasukan lawan pada minit ke-11 menerusi penyerangnya, Raphael Le Ai sekali gus 'menutup mulut' hampir 13,000 peminat setia Harimau Malaya yang hadir ke stadium.



Namun aksi melawan yang tinggi ditunjukkan anak buah Pan Gon menyaksikan empat jaringan dapat dihasilkan selepas itu masing-masing menerusi Paulo Josue, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Safawi Rasid dan Lee Tuck untuk pasukan negara meneruskan momentum kemenangan ketiga dalam aksi persahabatan antarabangsa tahun ini.

"Keputusan yang baik, tahniah kepada pemain dan peminat yang datang memberikan sokongan, namun ia permulaan yang kurang bagus selepas kesilapan kecil dilakukan pemain sehingga kami dihukum dengan jaringan pendahuluan lawan.

"Tapi kami belajar sesuatu daripada kesilapan itu dengan pemain kembali bangkit melancarkan serangan sebelum berjaya mencetak empat jaringan selepas itu, ianya positif dengan banyak percubaan.

"Saya lihat kita layak untuk melakar kemenangan ini dengan peningkatan corak permainan yang diperagakan, cumanya bukan empat gol, sebaliknya lebih daripada itu jaringan yang boleh dihasilkan.

"Jadi perkara ini (gagal manfaatkan peluang untuk mencipta gol) perlu diperbaiki segera sebelum bersaing di pentas Asia nanti kerana apabila kita mempunyai peluang, sepatutnya ianya berakhir dengan jaringan, namun saya gembira kerana kami berjaya melebarkan rekod kemenangan," katanya.

Mengulas kesilapan dilakukan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang keluar dari posisinya untuk menyelamatkan bola pada minit ke-11, Pan Gon enggan menyalahkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

"Dia (Ahmad Syihan) sudah melakukan yang terbaik, mungkin dia kurang berdepan dengan situasi itu sehingga melakukan kesilapan, tapi bintang dunia pun melakukan kesilapan.

"Tapi saya harap dia (Ahmad Syihan) perlu perbaiki dan tidak ulangi kesilapan sebegitu demi pasukan kebangsaan, saya akui ianya tidak boleh dibetulkan dalam masa sehari dua, sebaliknya memerlukan banyak masa untuk memperbaiki kelemahan," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... atan-harimau-malaya
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-12-2024 10:39 AM GMT+8 , Processed in 0.272028 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list