Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri menegaskan hanya sebilangan kecil pembeli yang memberikan maklum balas negatif terhadap biskut yang dijualnya sebelum ini.
Shuhada memberikan kenyataan itu berhubung sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pembeli dalam media sosial, baru-baru ini.
Menerusi video itu, pembeli tersebut meluahkan ketidakpuasan hati selepas dikatakan menerima bungkusan produk yang tidak kemas sehingga menyebabkan kandungan biskut di dalamnya hancur.
Shuhada berkata, dia sedar mengenai perkara itu dan berusaha menjejaki pelanggan tersebut, namun tiada sebarang maklum balas diberikan.
“Hanya 10 peratus bercakap buruk tentang biskut yang saya jual”.
“Bila saya berusaha mengesan pelanggan itu, tak pula dia balas mesej di WhatsApp. Mereka sengaja hendak menjadikan isu dan cuba memanaskan keadaan.
“Tiada isu pun sebenarnya, kalau 10 pelanggan yang datang beli hanya seorang yang cakap ada masalah, yang lain itu hanya tambah garam sahaja,” jelasnya.
Sejak memperkenalkan perniagaan pertamanya dengan jenama biskut ‘Shelup Shelup Satu Tak Cukup’, ibu dua anak itu berkata, dia terbuka menerima sebarang maklum balas bagi tujuan penambahbaikan.
“Itu juga adalah satu pengajaran buat saya untuk mendalami lebih banyak ilmu tentang perniagaan seperti pemilihan produk serta bagaimana untuk kekal lama dalam bidang ini.
“Saya terbuka sahaja menerima komen daripada pelanggan,” katanya.
Sumber: Utusan
|