CEDERA: Mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung.
RANAU: Seorang pendaki wanita mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas tergelincir dan terjatuh semasa dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 7 pagi.
“Bertindak dengan maklumat, pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) bersama kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) serta malim gunung diarahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa berada di Kilometer empat Layang-Layang.
“Pasukan kecemasan terbabit segera menjalankan pemeriksaan awal terhadap mangsa dan memberikan rawatan kepada mangsa wanita warga tempatan terbabit,” katanya.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung.
|