Dr Rundi bersama konvoi dan tetamu dipersembahkan dengan tarian kebudayaan setibanya di Sebuah hari ini.
SEBAUH: Projek pembinaan Jambatan Sebauh di Sungai Kemena yang tertangguh akan diteruskan setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) menamatkan kontraktor pertama seterusnya mengenal pasti kontraktor penyelamat memgambil alih projek tersebut.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata banyak projek kerajaan tidak dapat dijalankan disebabkan COVID-19 dan keadaan sukar mendapatkan pekerja pembinaan.
Katanya, antara projek itu ialah stadium mini, gereja, masjid, jalan raya dan sebagainya namun kerajaan sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.
"Kita bukan tiada duit cuma kemampuan kontraktor juga memberi kesan dan berlaku banyak projek dianggap sakit sehingga kerajaan memutuskan menamatkan kontraktor tidak mampu meneruskan projek tersebut," katanya ketika ditemui semasa menyambut ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Sebauh hari ini.
Justeru, beliau berharap rakyat faham projek itu tidak dihentikan meskipun terpaksa membayar wang lebih supaya dapat memulihkannya.
"Dahulu pengurusan dibuat secara tender paling rendah namun apabila kebanyakan kontraktor tidak mampu maka JKR mengadakan penstrukturan supaya kontraktor mampu menyampaikan dan menyiapkannya dan kita yakin mampu menyiapkannya.
"Sasaran penyiapan projek jambatan itu adalah dalam tempoh setahun hingga dua tahun selepas pembinaannya disambung semula," jelas beliau.
Dr Rundi turut menyatakan ras puas hati dengan kontraktor yang melaksanakan projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak di muara Sungai Kemena bernilai hampir setengah bilion.
"Sarawak mempunyai masa depan cerah di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memperkenalkan dasar penggunaan teknologi baharu termasuk dalam pertanian," katanya.
Menurutnya, selagi semua pihak bersatu dan bekerjasama dari akar umbi sampai ke peringkat atasan, Sarawak mempunyai masa depan yang cerah.
Mengenai Sebauh, katanya semua daerah mempunyai keistimewaan tersendiri namun ia dianggap luar bandar hampir ke bandar dan melihat Belaga, Sungai Asap, Tubau dan Jelalong semua tertumpu ke Sebauh memberi rancangan mewujudkan daerah kecil ini sebagai daerah penuh.
"Kita ingin mewujudkan hospital, balai polis, balai bomba bagi memperlengkap prasarana yang ada dengan cepat.
"Bagaimana?... kita perlu membina jalan ke rumah-rumah panjang, menyediakan bekalan air dan elektrik supaya semua orang di negeri dan negara ini dapat menikmati kemudahan asas itu," jelasnya.
Katanya, dahulu semasa menjadi Menteri Utilii beliau berusaha mencari kaedah konvensional dan alternatif menyediakan kemudahan itu dan mempunyai kemampuan lebih baik dari segi ekonomi, bergerak lebih cepat dengan idea Premier Sarawak menekankan penggunaan teknologi baharu termasuk dalam bidang pertanian.
Beliau menyatakan penghargaan kepada konvoi 120 peserta diketuai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dolhadi Marzuki dengan 30 kenderaan serta 40 motosikal berkuasa tinggi tiba jam 10 pagi di Sebauh.
"Terima kasih konvoi Dolhadi dan rakan-rakan bergerak dari Miri, Bungai, Nyalau, Bintulu dan Sebauh seterusnya ke Mukah dan pada 22 Julai di Kuching meraikan Sarawak Merdeka.
"Istimewanya kita (Sarawak) kini matang, cukup umur, cukup kental dan mampu berdikari," katanya.
Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Setiausaha Politik Premier Sarawak Jenny Bangga dan ahli perniagaan, Tan Sri Yee Ming Seng.
|