|
Elektrifikasi semakin diterima di kebanyakan pasaran automotif dunia, dan juga semakin banyak model baharu bagi kenderaan elektrik dilancarkan. Mercedes-Benz antara jenama yang giat memperhebatkan barisan kenderaan elektriknya (EV) dan ingin memperkukuhkan lagi pasaran bagi model EV ini di Malaysia.
Mengambil peluang memperkenalkannya menerusi acaran Malaysia Autoshow 2023 yang telah membuka tirainya mulai semalam hingga 7 Mei in, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan plug-in hybrid pertama dari barisan model prestasi tinggi Mercedes-AMG.
Termasuk dalam barisan GT 4-Door Coupé, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance ini menampilkan enjin 4.0 liter biturbo petrol plug-in hybrid, yang mampu menghamburkan kuasa keseluruhan 843 hp dan tork 1,400 Nm. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan pada harga atas jalan dari RM2,088,888 tanpa insurans.
Enjin pembakaran mampu menghasilkan sebanyak 639 hp dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork 900 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik dengan kuasa 204 PS dan tork 320 Nm yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi LSD elektronik dan transmisi dua-kelajuan. Pada kelajuan 140 km/j, transmisi itu akan masuk ke gear kedua ke gandar hadapan menyalurkan AWD untuk membolehkan ia terus memberi kuasa pada kelajuan tinggi.
Satu lagi propshaft membenarkan sedikit tork dihantar ke roda hadapan, menjadikan ia sebuah kereta pacuan semua roda. Motor elektrik juga ada lagi satu, tetapi adalah unit pacuan starter-generator 10 kW (14 PS), yang diletakkan di antara enjin dan transmisi automatik Speedshift MCT 9G sembilan kelajuannya, dan memberikan kuasa kepada aksesori lain sekiranya bateri utama lemah.
Hasil daripada semua sumber ini, GT 63 S E Performance dapat menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm tork, menjadikan ia sebagai model AMG produksi bersiri yang paling berkuasa setakat ini. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, sebelum mencapai 200 km/j dalam masa 10 saat dan mencecah kelajuan maksimum 316 km/j.
Untuk pasaran Malaysia, GT 63 S E Performance menerima pakej AMG Aerodynamics , AMG Exterior carbon-fibre Package II, AMG Exterior Night Package, AMG Night Package II, roda tempaan lima-jejari-berkembar AMG 21-inci, paparan pencahayaan AMG, lampu utama Multibeam LED, Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan AMG indoor car cover.
Untuk memantapkan lagi enjin pembakaran dalamannya, GT 63 S E Performance dilengkapi dengan sistem ekzos AMG Performance, sementara untuk casis pula termasuk sistem brek komposit-seramik prestasi-tinggi AMG, AMG Ride Control+, AMG Dynamic Select dan stereng roda belakang.
Untuk pengecasan, jentera ini turut didatangkan dengan kabel pengecasan sepanjang lima meter untuk sambungan soket domestik, juga dengan pengecas dengan fungsi trickle charging. Jarak gerak elektrik untuk GT 63 S ini cuma 12 km (pada kelajuan sehingga 130 km/j), dan bateri lithium-ion 6.1 kWh ini cuma mempunyai berat 89 kg. Tempoh masa mengecas masih belum diberitahu, tetapi kereta ini boleh menerima kuasa AC sehingga 3.7 kW melalu pengecas on-board padanya.
Di dalamnya, GT 63 S E Performance ini menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan fungsi suhu, pakej tempat duduk pelbaga-kontur dan pakej memori. Ia juga diberikan pencahayaan ambien serta kemasan gentian-karbon AMG, termasuk roda stereng AMG Performance dalam balutan Nappa dan gentian mikro Microcut, serta pilihan warna dan kemasan material untuk roof liner.
Selain itu, ia juga diberikan ciri Keyless Go dan Hands-Free Access, pakej Air Balance, MBUX Interior Assistant, kawalan suhu automati Thermotronic, Easy-Pack tailgate dan pad pengecasan tanpa wayar untuk penumpang hadapan dan belakang.
Untuk infotainmen, ia dinerikan sistem multimedia MBUX dengan kokpit skrin lebar dan paparan utama, pakej ketersambungan navigasi, navigasi berasaskan cekera-keras, intergrasi telefon pintar, pra-pemasangan untuk MBUX Entertainment dan sistem bunyi sekeliling Burmester. Manakala data berpaksikan prestasi boleh dilihat menerusi AMG Track Pace.
Bagi sistem keselamatan dan bantuan pula, GT 63 S E Performance dilengkapi Driving Assistance Package merangkumi Active Distance Assist, Active Steering Assist, sementara pek Guard 360 Vehicle Protection Plus terdiri daripada bunyi anti-kecurian dan sistem pemantauan dalaman.
Ia turut diberikan Parking Package yang mengandungi Active Parking Assist dengan Parktronic dan sistem kamera 360-darjah bersama fungsi kelam-sendiri dan cermin sisi boleh-lipat elektrikal. Untuk keselamatan pasif, ia dilengkapi set beg udara termasuk bahagian sisi penumpang belakang serta beg udara bahagian lutut.
Di Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 S E Performance boleh didapati dengan warna Manufaktur Kalahari Gold seperti dalam foto ini, bersama AMG Green Hell Magno. Selain itu, ia juga menawarkan pilihan warna Classic Grey Uni, Olive Metallic dan Copper Orange Magno matte, yang kesemuanya boleh dipadankan dengan pilihan warna dalaman.
https://paultan.org/2023/05/05/m ... rmance-di-malaysia/ |
|