Bayan Lepas: Hujan lebat malam tadi menyebabkan aras tiga di pusat beli belah Queensbay Mall di sini, dilimpahi air.
Pengurusan Queensbay Mall berkata, kejadian berlaku jam 11.10 malam.
"Ia menyebabkan air melimpah ke bahagian pusat beli belah dan menjejaskan beberapa kedai di zon selatan aras berkenaan.
"Ketika ini, lokasi yang terjejas sudah dibersihkan dan semua lot kedai juga beroperasi seperti biasa.
"Bagaimanapun, hanya satu bahagian (yang terbabit) di aras tiga ditutup sementara bagi kerja penyelenggaraan," katanya ditemui hari ini.
Terdahulu, beberapa rakaman video berkaitan kejadian terbabit tular di Facebook sejak malam tadi.
Antara rakaman video itu memaparkan lantai di aras berkenaan digenangi air selain ada beberapa individu melakukan kerja pembersihan.
Terdapat air yang bergenang menerusi siling sebelum siling berkenaan runtuh namun tiada kemalangan jiwa.
Tinjauan Harian Metro di aras berkenaan mendapati, kerja penyelenggaraan masih berlangsung selain lokasi itu dikawal bagi memastikan ia tidak didekati pengunjung.