Namun di sebalik kebanggaan peminat muzik daripada pelbagai bangsa yang terhibur pada konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023, terpalit dengan insiden yang kurang manis.
Apa yang tidak sedap didengar, salah seorang peminat Siti Nurhaliza yang juga merupakan influencer di media sosial, didakwa tidak sensitif dengan masyarakat India.
Dikenali sebagai Amyra, dia yang mempunyai 118,000 pengikut di Instagram menulis perkataan kel*ng di ruangan instagram story.
Ia merupakan perkataan yang dianggap menghina dan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Menurut gadis itu, dia pening mendengar lagu kel*ng dan mahu mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.
Klip video instagram storynya tular di media sosial dan rata-rata netizen kesal dengan tindakannya itu, malah menyifatkannya mencemarkan usaha Siti Nurhaliza untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum menerusi persembahan beliau pada malam itu.
"Cuma nak cakap la. Siti Nurhaliza melakukan banyak usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kita dengan mempersembahkan lagu Tamil. Datang gadis ini cuba merosakkannya seperti adakah anda peminat sebenar Siti? Anda memalukan keluarga Sitizoners.
"Aku salah seorang yang pergi dan tak faham pun. Tapi aku enjoy je. Habis je satu lagu, aku yang bersorak lebih sebab crowd happening gila.
"Datuk Siti kolaborasi dengan AR Rahman supaya orang sedar bahawa tiada jurang kaum. Penat je TokTi hafal lagu yang bukan bahasa dia tapi orang macam ni masih duduk di bawah tempurung," demikian antara komen netizen.
Susulan kecaman yang dilemparkan, influencer berkenaan tampil membuat permohonan maaf, menerusi hantaran di instagram storynya.
Menurut Amyra, dia mengakui tindakannya menggunakan perkataan kel*ng itu sebagai satu kesilapan dan kekhilafannya sendiri.
Tegasnya lagi, tiada unsur penghinaan tetapi mungkin perkara yang berlaku disebabkan keterujaannya hadir ke sebuah konsert gergasi buat pertama kali.
Sumber: mStar