Selalu terpalit dengan kontroversi, penyanyi, Baby Shima, sudah kebal dengan segala kecaman dan kritikan yang dilemparkan netizen terhadapnya.
Menerusi laporan BH Online, wanita berusia 30 tahun itu sama sekali tidak terkesan walaupun ada segelintir warganet yang melabelnya sebagai pelakon 'lucah'.
Penyanyi dangdut yang mencipta nama di Indonesia itu juga turut menerima teguran terbuka daripada pendakwah namun menyifatkan perkara itu bukanlah dilakukan secara ikhlas tetapi lebih kepada bentuk kecaman.
"Jika teguran, seeloknya disampaikan terus kepada saya seperti teguran mufti yang memberikan pencerahan kepada saya.
"Tidak semua pendakwah tulus dan lurus, ada juga pendakwah terpalit isu negatif. Kita makhluk ciptaan Allah yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika saya salah, tegurlah secara peribadi. Bukannya menggunakan platform media sosial, jadi tolonglah bersikap adil.
"eliknya kenapa saya sahaja yang ditegur, sedangkan ada segelintir artis menayang pusat dan menari tergedik-gedik dengan menayang aset namun tidak pula ditegur. Kenapa saya sahaja jadi sasaran." katanya.
Baby Shima turut menafikan dirinya mencetuskan kontroversi sebaliknya netizen sendiri yang gemar memberi komen berlebihan dengan pelbagai tohmahan apabila ada penulis blog menulis cerita tanpa mengetahui keadaan sebenar.
Katanya, dia tidak menari secara berlebihan melainkan tariannya mengikut rentak dalam video muzik.
"Sepatutnya netizen yang rasa penat, bukan saya. Ini kerana ada sahaja perkara netizen tidak puas hati lantas tak berhenti mengecam.
"Segelintir yang bersikap negatif tidak mewakili keseluruhan masyarakat. Saya ada penyokong tegar yang masih sayangkan saya seperti saya menyanyangi dan menghargai mereka.
"Kepada golongan haters, teruskan usaha anda," katanya. - CARI
|