Sepasang suami isteri di wilayah Buriram, timur laut Thailand, mengaku merantai cucu perempuan mereka berusia 11 tahun pada sebatang tiang dan memukulnya dengan kayu, lapor laman Thaiger kelmarin.
Perkhidmatan sosial tempatan melakukan sisatan di rumah pasangan itu di daerah Lam Plai Mat selepas seorang lelaki tempatan menyiarkan video mangsa diikat dengan rantai di media sosial kerana bimbang kemungkinan berlaku penderaan.
 Seorang kanak-kanak dirantai oleh datuk dan nenek yang enggan dia keluar bermain. - Daily Star
Pegawai perkhidmatan sosial Buriram dan pegawai Balai Polis Lam Plai Mat bergegas ke lokasi kejadian selepas menonton video tersebut.
Semasa pihak berkuasa tiba, kanak-kanak itu dirantai pada sebatang tiang di rumah datuk dan neneknya serta ditinggalkan bersendirian.
Mangsa dikenali sebagai A, memberitahu bahawa datuk dan nenek merantainya supaya dia tidak keluar bermain.
“A memberitahu ada masanya dia keluar bermain di luar kerana kesunyian tetapi sering dilarang datuk dan neneknya.
“Mereka akan memukul A dengan kayu selepas kanak-kanak itu pulang dari bermain di luar,” kata polis.
Menurut mangsa, datuk dan nenek mengugutnya dengan mengatakan jika dia menanggalkan rantai dan menyelinap keluar dari rumah, mereka akan membawa semut merah untuk menggigitnya.
Datuk dan nenek A juga didakwa pernah mencekik kanak-kanak malang itu.
Mereka mengaku merantai A pada tiang untuk menghalangnya keluar dari rumah.
Pasangan itu memberitahu polis bahawa A seorang budak degil dan suka melarikan diri apabila mereka keluar bekerja dan pulang lewat senja, malah pernah menjadi mangsa rogol.
Pihak perkhidmatan sosial memberitahu akan memastikan bahawa A tidak dilayan dengan teruk dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kejadian tersebut.
Sumber: Kosmo |