Wan Sukairi (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan selepas selesai menyaksikan filem Mat Kilau. (Sumber Harian Metro)
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan pihak kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof untuk pembikinan filem pahlawan Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.
Menerusi laporan Harian Metro, Wan Sukairi berkata, pembikinan filem tokoh sejarah Terengganu itu penting untuk tatapan generasi muda selain memberikan kesedaran kepada orang Melayu.
"Saya berpandangan idea yang baik untuk menerbitkan filem dua tokoh sejarah Terengganu iaitu Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloj jika itu kaedah terbaik untuk mengetengahkan dan membangkitkan kesedaran orang Melayu dan Islam terutamanya di Terengganu mengenai sejarah negeri.
"Apa salahnya kita melabur dan bekerjasama dengan pengarah Syamsul Yusof untuk pembikinan filem berkenaan mengenai perjuangan ulama dan tokoh sejarah negeri yang berjuang habis-habisan untuk mempertahankan bumi Terengganu daripada penjajah.
"Lagi pun, sebenarnya kita sudah memulakan lebih awal iaitu sekitar tiga tahun lalu memberikan penerangan mengenai sejarah Terengganu yang memfokuskan kepada dua pejuang terbilang berkenaan.
"Sekiranya kita belum lagi menerbitkan filem berkenaan, kita tidak akan berhenti memberi penerangan kepada generasi muda khususnya mengenai perjuangan tokoh sejarah negeri.
Sumber FB The Patriots
"Kita akan terus gerakkan siri penerangan mengenai sejarah Terengganu dengan menjemput pakar sejarah daripada universiti tempatan untuk memberikan penerangan secara berterusan lebuh-lebih negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan pada bulan depan," katanya selepas menyaksikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. - CARI
|