Ahad lalu, penyanyi dan pelakon Nabila Razali yang ditemani 'rapper' MK menjadi selebriti jemputan dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM).
Walaupun wanita itu berjaya berduet dengan penyanyi sebenar pada akhir rancangan, namun perkara itu sama sekali tidak menarik perhatian penonton.
Semuanya gara-gara tindakan Nabila yang menyingkirkan salah satu peserta disangkanya penyamar, namun dia sebenarnya adalah penyanyi terkenal, Renggo (Arrow) menyebabkan rata-rata netizen menuduh Nabila tidak mengenali penyanyi legenda berkenaan.
Penyanyi kelahiran pertandingan Akademi Fantasia itu menerusi temu bual bersama mStar bagaimanapun menafikan dakwaan netizen. Katanya, dia sama sekali tidak perasan bahawa individu berkenaan adalah Renggo kerana perwatakannya sangat berbeza.
"Tidak mungkinlah saya tak kenal Abang Renggo sedangkan saya membesar dengan lagu-lagu dia, jadi siulan sejak kecil. Bagaimanapun, kita harus faham konsep program ikni yang setiap peserta diberikan karakter berbeza dengan diri sebenar mereka.
"Saya tak perasan masa tu sebab karakter Abang Renggo lain, baju dan cermin mata hitam... pakai topi koboi dan jalan pun tunduk sahaja. Ketika rehat sebentar untuk beri laluan pada iklan pun semua peserta tunduk dan tak boleh nak tengok muka betul-betul," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Peluang Kedua itu mengakui serba-salah kerana telah menyingkirkan Renggo. Sebaik sahaja program berkenana tamat, Nabila terus sahaja ke berjumpa dengan Renggo untuk meminta maaf.
"Memang susah nak buat pilihan pada malam itu. Selepas habis program, saya terus jumpa Abang Renggo. Saya mingta maaf dan dia gelak sahaja. Kami sempat bertukar nombor telefon dan mungkin boleh bekerjasama selepas ini.
"Sebelum ini pun kami pernah berkongsi pentas yang sama. Korang janganlah marah saya. Janga risau, saya kenal Abang Renggo," katanya. - CARI
|