Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida tampil dengan lagu baharu berjudul Ku Ikhlaskan yang dilancarkan pada jam 3 pagi tadi (Isnin).
Memetik laporan Gempak, lagu yang liriknya ditulis oleh Vida sendiri dan komposer bersama Amy Ukays itu sepatutnya menemui peminat petang semalam.
Bagaimanapun, disebabkan timbulnya beberapa masalah teknikal maka pelancaran karya berkenaan terpaksa ditunda sehinggalah ia dapat diselesaikan.
"Saya terpaksa tangguhkan sebentar kerana tidak berpuas hati dengan coloring dan masa untuk render juga memakan masa kira-kira tujuh jam.
"Tujuan saya buat video muzik dengan niat penonton dapat menghulurkan derma selepas menonton MV berkenaan. Hasil kutipan derma akan saya salurkan pada golongan asnaf, anak yatim, tahfiz dan masjid.
"Saya ingin menjadi pemegang amanah sumbangan ikhlas berkenaan dan akan mengagihkannya di beberapa buah tempat sepanjang bulan Ramadan nanti agar dapat digunakan untuk berbuka puasa dan sahur," katanya.
Sementara itu, menerusi laporan Media Hiburan, Vida mengharapkan agar video muzik berkenaan dikongsikan agar dapat mencapai sasarannya tiga juga 'view' setiap hari.
"Saya lancarkan jam 3 pagi itu sudah ditakdirkan. Mahu berikan sokongan pada saya, make it happen three million viewer a day.
"Saya minta maaf atas penantian semua. Saya yakin kalian sokong saya dan selepas melihat sambutan, saya terharu ramai yang ikhlas memberikan komen," katanya.
Sumber Media Hiburan
Sedia maklum dengan situasi dunia hiburan, kata Vida, dia hanya akan menerima kritikan positif sahaja kerana tujuan penerbitan video muzik berkenaan adalah bagi menggalakkan penonton memberi sumbangan kepada individu memerlukan. - CARI
|