Edited by Vellfire at 12-1-2022 02:18 PM
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/FI1hj4iUcAMc0Mh_1641963363.jpg)
KUCHING: Penduduk di sembilan bahagian di Sarawak perlu berjaga-jaga dan bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir akibat hujan berterusan sejak semalam. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawang hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk atau kategori jingga bagi sembilan kawasan itu hingga esok.
Kawasan terbabit ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis dan Daro), dan Kapit (Kapit dan Song).
Mengikut sistem amaran MetMalaysia, cuaca tahap buruk atau kategori jingga merujuk hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada atau kategori kuning untuk bahagian Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat, dan Mukah), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), serta Bintulu (Tatau).
Ia berikutan hujan berterusan dijangka berlaku di kawasan terbabit sehingga esok.
Tahap waspada atau kategori kuning merujuk kepada hujan lebat yang dijangka berlaku antara satu hingga tiga hari.
bharian.com.my Januari 12, 2022 @ 12:52pm |