CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7580|Reply: 0

Penghulu Lenga tokoh ilmuwan Johor

[Copy link]
Post time 24-3-2008 12:01 PM | Show all posts |Read mode
Abd Hamid Fadzil atau dikenali Orang Kaya Johor menubuhkan Madrasah Maharani al-Islamiah untuk mencurahkan ilmu

ORANG yang berilmu dan beramal sememangnya sentiasa dikenang sampai bila-bila, apatah lagi ilmu pengetahuan yang ada digunakan untuk membangunkan ummah, umpama pokok rendang yang membolehkan ramai orang tumpang berteduh dan menikmati hasilnya.

Itulah gambaran yang diberikan kepada Haji Abd Hamid Haji Fadhil lebih dikenali sebagai Orang Kaya Hamid yang terkenal ketokohannya sebagai Penghulu Lenga dan Orang Kaya Johor.

Sebagai individu yang berjaya, pegawai Sultan dan penghulu disegani, beliau banyak terbabit dalam pembangunan masyarakat, bijak menyesuaikan diri pada zaman Jepun serta berani menentang komunis.

Beliau juga sering menegaskan betapa pentingnya rakyat memiliki ilmu demi kemajuan diri dan masyarakat. Pengalamannya bergiat dalam politik, berkawan rapat dengan nasionalis dan tokoh agama menjadikannya sebagai idola masyarakat.

Menyingkap sejarah hidupnya, beliau bersama dua adiknya dibawa ke Makkah oleh ayahnya dan menetap di sana seketika sebelum kembali ke tanah air untuk mendapat pendidikan formal di sebuah sekolah Melayu di Muar dan tinggal bersama rakannya di Lorong Serkam.

Abd Hamid mendalami ilmu agama di Johor Bahru dan mengikuti pengajian di Kuliah al-Attas (kelas Tahdiri dan Ibtidai'i). Pada awal 1930-an, beliau dilantik sebagai pengajar Kuliah al-Firdaus, Singapura.

Di sana, beliau berkawan rapat dengan tokoh ulama terkenal, Kiyai Fadhullah Suhaimi serta mendampingi tokoh nasionalis negara, Ibrahim Yaakob dan Ahmad Boestaman. Hubungan itu membabitkannya dalam penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum ia diharamkan British.

Berikutan pengharaman itu, Ahmad Boestaman lari ke Pahang, Ibrahim lari ke Indonesia dan Abd Hamid pulang ke Muar dan tinggal di Bukit Kepong.

Penyelidik Sejarah Johor, Mohd Akbal Abdullah yang menjalankan kajian ke atas tokoh ini berkata, Abd Hamid bersahabat dengan pejuang tanah air, Datuk Onn Jaafar ketika di Singapura. Sejak itu, beliau mula berjinak-jinak dengan penulisan dan menyumbang bahan penulisan dalam Warta Malaya.
Beliau turut berguru dengan Abdul Rahim Kajai dalam bidang kewartawanan dan isu politik. Apabila pulang ke Muar, beliau menerbitkan surat khabar Bintang Malaya yang mengutarakan perasaan cintakan negara, perjuangan menuntut kemerdekaan, persaingan dengan bangsa asing dan pendidikan.

"Usia remajanya dipenuhi dengan kegiatan mencari ilmu, menimba pengalaman bersama tokoh besar di Singapura dan Johor. Selepas lebih 10 tahun merantau, beliau kembali ke Muar pada 1937 dan dianggap umpama sirih pulang ke gagang.

"Ilmunya dimanfaatkan kepada penduduk kampung. Ketika berusia awal 20-an, beliau menubuhkan Madrasah Maharani al-Islamiah bersama ayahnya di Lorong Serkam dan Surau Jalan Hashim," katanya yang bertugas sebagai Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.

Madrasah itu masih beroperasi melalui cawangannya di Sekolah Perempuan Kerajaan di Dumpar Rendah, Jalan Junid di awal penjajahan Jepun sebelum ditutup dan dibuka semula di zaman British.

Aktiviti menuntut ilmu di zaman Jepun terabai kerana masyarakat sibuk mencari makanan berbanding mencari ilmu pengetahuan. Abd Rahman mendapat kepercayaan Jepun menjadi wakil penjual beras dan gula serta mendapat konsensi mengimport makanan untuk diedarkan kepada penjual di sekitar Muar.

"Beliau akan memastikan bekalan beras kapur dan gula itu sampai kepada peniaga Melayu dan menyediakan stor barangan di Jalan Maharani (berhadapan pejabat Kastam Muar)," katanya.

Disebabkan sikap kejam dan dasar diskriminasi Jepun, hubungan antara Cina-Melayu renggang dan memuncak selepas penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM). Abd Hamid memimpin perkumpulan kerohanian sebuah tariqat, iaitu cabang amalan Tariqat Naqsabandiah pimpinan ayahnya.

Beliau bergabung dengan Panglima Salleh dari Batu Pahat dalam gerakan Selempang Merah sehinggalah gerakan itu dihentikan selepas campur tangan Onn Jaafar.

Ketika dilantik sebagai Penghulu Lenga pada 1947, beliau mengusulkan penubuhan sebuah sekolah menengah di sana kerana pendidikan anak tempatan amat terhad. Usahanya berjaya tetapi tidak sempat melihat hasilnya termasuk peletakan batu asas sekolah akibat meninggal dunia pada usia muda.

Beliau turut terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan melalui Parti Pekembar yang kemudian dikenali sebagai Umno dengan menjelajah negara meminta rakyat bangkit menentang penjajah.

Di Lenga, beliau berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan menggalakkan mereka giat menanam padi. Beliau turut turun padang menanam padi di kawasan bendang Sawah Pondok dan tindakannya menjadi teladan kepada masyarakat.

Disebabkan penempatan awal Lenga sering dilanda masalah banjir pada musim tengkujuh, beliau mengarahkan kira-kira 100 keluarga penduduk sekitar Liang Batu, Gambang dan Rencong berpindah ke kawasan baru dikenali sebagai Kampung Baru Batu 28.

Beliau mengambil inisiatif memperkenalkan kawasan terpencil ini kepada masyarakat luar dengan membanyakkan aktiviti sosiol seperti penubuhan pasukan bola sepak, kumpulan marhaban dan berzanji dalam Bahasa Melayu serta berjaya membawa kumpulan kebudayaan Lenga yang terkenal dengan tarian Ceracak Inai membuat persembahan di istana.

Kecemerlangannya sebagai tokoh tempatan merubah landskap Lenga daripada sebuah penempatan di hulu sungai Muar kepada penempatan terancang sehingga jasanya diiktiraf dan dipilih sebagai Yang Di Pertua Jemaah Penghulu-Penghulu Malaysia.

Pada 1963, beliau menyertai rombongan Malaysia ke Jepun untuk menjalin hubungan diplomatik memulihkan hubungan dua hala lebih baik akibat sentimen bencikan Jepun ketika menduduki Malaya.

Info
Penghulu Lenga haji Abdul Hamid


Dilahirkan pada 1916 di Lenga, Muar Johor.

Anak sulung daripada 10 beradik

Meninggal dunia pada 1964 ketika usianya 47 tahun akibat sakit jantung

Anak kepada Kiayi Haji Fadhil al-Banteni, mufti peribadi Sultan Ibrahim

Berkahwin ketika berusia 27 tahun dengan anak penghulu Lenga, Aminah Ahmad, 15.

Dikurniakan 14 anak.

Dilantik sebagai Penghulu Lenga pada usia 29 tahun menggantikan abang iparnya, Abdul Rahman.

Dilantik sebagai Ahli Majlis Istiadat DiRaja Johor dan Ahli Pangkuan DiRaja Johor.
dipetik dari berita harian..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2024 01:50 AM GMT+8 , Processed in 0.052803 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list