Edited by Vellfire at 31-7-2021 08:06 AM
Kastam rampas 27 kontena berisi minuman keras, rokok bernilai lebih RM2.54 juta di Sibu
Kontena yang mengandungi minuman keras dan rokok yang dirampas oleh Kastam Sibu.
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Sarawak cawangan Sibu telah berjaya menahan sebuah kapal dan merampas 27 buah kontena berisi minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai RM2,547,858.69.
Serbuan tersebut telah dilakukan semasa kapal tersebut ditambat di tebingan Sungai Rajang di belakang sebuah premis sebuah syarikat di Jalan Teng Kung Suk 4, Hulu Lanang di sini pada jam 8.15 pagi 20 Julai lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggaran barang yang dirampas termasuk 361,134.00 liter bir, 8,395.2 liter stout, 142.8 liter wiski, 8,800,000 batang rokok putih, 8,052,000 batang rokok kretek yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM2,547,858.69.
"Jumlah keseluruhan termasuk duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM13,388,684.38.
"Lima orang Orang Yang Disyaki (OYDS) termasuk empat warganegara asing dan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan umur 22 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Katanya, OYDS disyaki terlibat dalam percubaan mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam menggunakan sebuah kapal, dipercayai dari negara luar untuk dibawa masuk ke dalam negara.
Herman berkata, kapal tersebut telah masuk melalui muara Sungai Rajang dan telah memasuki perairan Sibu untuk mengangkat masuk kontena bagi tujuan mengedar barangan ke seluruh Sarawak.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang tanpa permit yang sah serta terlibat dalam mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.
utusanborneo.com.my/2021/07/31
|