|
|
Kerajaan sedia memudah cara pembinaan lebih banyak hotel di Kuching: Abdul Karim
Februari 12, 2026, Khamis - 5:32pm

Abdul Karim (tengah) menegaskan sesuatu perkara pada sidang media sambil diapit Timbalannya Datuk Snowdan Lawan (kiri) dan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia memudah cara pembinaan lebih banyak hotel di Kuching bagi menampung peningkatan ketibaan pelancong.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagaimanapun berkata sektor swasta perlu memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan baharu.
Beliau berkata pembinaan hotel memerlukan komitmen kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pemain industri.
“Terdapat dua pihak yang perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Di pihak kerajaan, kami sentiasa bersedia meluluskan pembinaan hotel lima bintang, empat bintang, tiga bintang mahupun rumah penginapan. Semua ini akan membantu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan tujuh mural sempena ulang tahun ke-100 Padungan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat perancangan untuk menambah bilangan hotel di bandar raya ini susulan peningkatan jumlah pelawat.
Menurut Abdul Karim, kategori pelawat yang berbeza memerlukan jenis penginapan yang berbeza.
“Contohnya, mereka yang datang ke Kuching untuk acara perniagaan biasanya menginap di hotel lima bintang manakala yang datang untuk acara seperti maraton atau bercuti kebiasaannya memilih hotel tiga atau empat bintang,” katanya.
Dengan Sarawak menganjurkan lebih banyak acara, beliau berkata ketibaan pelawat meningkat bukan sahaja dari dalam negeri, malah dari Semenanjung Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara lain.
“Apabila kita menganjurkan banyak acara, lebih ramai pelawat akan datang. Di situlah keperluan hotel perlu dipenuhi,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan tidak boleh membina dan mengendalikan hotel melalui agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Inisiatif ini perlu datang daripada sektor swasta. Kami mahu melihat pendekatan yang lebih agresif daripada penggiat industri hotel untuk membangunkan lebih banyak hotel di Kuching, selari dengan usaha promosi yang kita jalankan,” katanya.
Abdul Karim menambah, promosi pelancongan dilaksanakan berdasarkan unjuran jangka panjang antara lima hingga 10 tahun, bukan sekadar untuk setahun.
“Dengan kemasukan AirBorneo dan pembangunan lain, kita menjangkakan lonjakan besar ketibaan pelawat dalam beberapa tahun akan datang.
“Apabila acara diadakan, kita berharap terdapat bilik penginapan yang mencukupi, disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Mengenai seni bina warisan, Abdul Karim menyifatkan Gereja St Peter di Padungan sebagai aset pelancongan yang bernilai bagi Kuching.
Katanya, reka bentuk gereja itu unik dan kaya dengan karakter, mencerminkan gaya seni bina yang pernah digunakan pada bangunan gereja lama.
“Jika kita melihat seni bina yang digunakan untuk membina Gereja St Peter, ia sangat kaya.
“Saya percaya Katedral St Thomas dan Katedral St Joseph sebelum ini mempunyai ciri seni bina yang hampir sama sebelum dirobohkan dan dibina semula dengan struktur lebih moden,” katanya.
Menurut beliau, pada masa lalu nilai seni bina sedemikian mungkin tidak dihargai sepenuhnya sehingga menyebabkan reka bentuk lama hilang ditelan zaman.
“Kini, apabila masa berlalu, kita dapat melihat bahawa seni bina seperti ini wajar dipelihara,” katanya sambil menambah, beliau kagum selepas melawat gereja berkenaan dan mendengar penjelasan mengenai reka bentuknya.
Beliau berharap lebih banyak bangunan bercirikan reka bentuk klasik atau warisan tempatan dapat dibina di bandar raya ini.
“Kita juga perlu menerapkan seni bina tempatan seperti cara masyarakat peribumi membina rumah panjang atau orang Melayu membina rumah tradisional dan membawa elemen tersebut ke dalam bandar, sama ada di Kuching atau di tempat lain di Sarawak,” katanya.
Mengenai kemungkinan memperkenalkan pasar malam secara berkala di bandar raya ini, Abdul Karim berkata agensi kementerian hanya berperanan sebagai pemudah cara manakala inisiatif perlu datang daripada pihak berkuasa tempatan.
“Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) perlu mengenal pasti lokasi sesuai yang tidak menimbulkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau mencadangkan Jalan Padungan berpotensi dijadikan jalan pejalan kaki pada hari tertentu seperti Jumaat dan Sabtu atau hujung minggu untuk menganjurkan pasar malam.
“Jika jalan tertentu ditutup, orang ramai akan menyesuaikan diri dan pihak polis tahu cara mengawal serta mengalihkan trafik,” katanya.
Beliau percaya pasar malam mampu menjadi tarikan kuat kepada pelancong dengan mengetengahkan makanan tempatan, kraf tangan dan produk lain.
“Itulah sebabnya saya gemar pasar malam. Kita dapat lihat semasa Festival Kuih Bulan atau Festival Kuching, kawasan itu sentiasa dipenuhi orang ramai,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pelajar maut, rakan cedera dalam nahas motosikal dan lori treler
Februari 12, 2026, Khamis - 5:49pm
BINTULU: Seorang pelajar sekolah menengah di sini maut, manakala rakan pemboncengnya cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Bintulu-Tatau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali berkata, kejadian pada jam 6.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori treler tanpa muatan tersebut dalam perjalanan dari Tatau menuju ke Pelabuhan Bintulu.
Katanya, setibanya berdekatan sebuah kedai perkakasan di Jalan Bintulu-Tatau, lori treler terbabit dipercayai terlanggar motosikal mangsa di bahagian tayar sebelah kanan belakang.
"Akibatnya mangsa (penunggang motosikal) tercampak ke laluan lori treler setelah bergesel dengan lori tersebut di lorong sebelah kanan," ujarnya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala.
Sementara itu katanya, rakan mangsa juga pelajar tingkatan lima sekolah sama yang membonceng motosikal mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar mengenai kejadian tersebut.
Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian itu boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Lydia Allan (Balai Trafik Bintulu) di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu (086-318304).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita maut dilanggar pikap ketika melintas jalan di Sibu
Februari 12, 2026, Khamis - 6:01pm
SIBU: Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pikap ketika melintas di Jalan Deshon, di sini, malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkifli Suhaili berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.53 malam apabila pemandu lelaki berusia 35 tahun yang memandu dari arah pusat bandar menuju ke Sibu Jaya tidak sempat mengelak mangsa kerana jarak terlalu dekat.
“Pemandu tidak menyedari kehadiran mangsa yang sedang melintas jalan.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, beliau tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu.
Kemalangan turut menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki tempatan miliki bakakuk dan peluru ditangkap
Februari 12, 2026, Khamis - 6:49pm
KANOWIT: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditangkap kerana disyaki memiliki senapang buatan sendiri atau bakakuk berserta tujuh butir peluru tanpa permit sah dalam operasi di Jalan Kanowit/Dap, semalam.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Junical Ujal berkata, suspek ditahan oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Februari diperoleh bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Junical menegaskan, pemilikan senjata api dan peluru tanpa permit sah adalah kesalahan serius yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan pemilikan atau penyalahgunaan senjata api kepada Pusat Kawalan IPD Kanowit di talian 084-752222.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
CENTEXS telah mencapai objektif penubuhan: Premier
Februari 12, 2026, Khamis - 7:07pm
Berjaya lahir graduan yang bersedia masuki pasaran kerja, penuhi keperluan industri berteknologi tinggi

Sagah menyampaikan sijil kepada seorang graduan pada Majlis Konvokesyen CENTEXS di Dewan Serba Guna CENTEXS, Santubong hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) berjaya melahirkan graduan yang bersedia memasuki pasaran kerja dan memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, CENTEXS telah mencapai objektif penubuhan sebagai pusat latihan berasaskan kompetensi industri untuk membangunkan graduan dan profesional yang bersedia bekerja serta memiliki kemahiran diperlukan oleh majikan merentas pelbagai sektor industri.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa CENTEXS menghasilkan graduan yang bersedia bekerja dan memenuhi keperluan industri,” katanya.
Terdahulu teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn sempena Majlis Konvokesyen Ke-10 CENTEXS 2026 di Dewan Serba Guna CENTEXS, di Santubong hari ini.
Majlis menyaksikan sejumlah 2,496 graduan dari pelbagai kursus industri antaranya aeroangkasa, digital dan tenaga hijau menerima sijil kecekapan bertaraf industri.
Daripada jumlah itu, sejumlah 346 pelajar berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sabah dan selebihnya 2,150 merupakan anak Sarawak, membuktikan CENTEXS semakin meluaskan jangkauan sayapnya di peringkat kebangsaan merentasi negeri.

Sagah diberi penerangan ketika dibawa meninjau reruai sempena Majlis Konvokesyen CENTEXS hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari berkata, Sarawak menyasarkan untuk menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, kita mesti memposisikan diri setaraf dengan negara maju. Ini memerlukan kreativiti, inovasi dan keberanian berfikir di luar kebiasaan,” katanya.
Beliau berkata, kajian Bank Dunia pada 2024 turut mengesahkan bahawa tenaga kerja berkemahiran tinggi merupakan satu-satunya jalan mampan untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
Abang Johari berkata bermula tahun ini, Kerajaan Sarawak melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang membolehkan anak Sarawak melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama secara percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Di bawah FTES, kerajaan menyediakan yuran pengajian percuma di Swinburne Sarawak, Curtin Malaysia, i-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi 64 program terpilih dalam bidang STEM dan profesional,” katanya.
Beliau berkata sebelum pelaksanaan penuh FTES pada 2026, CENTEXS telah lebih awal menyediakan platform pendidikan percuma menerusi program pensijilan industri untuk lepasan sekolah dan graduan universiti.
Mengulas sektor semikonduktor, beliau berkata Sarawak telah menubuhkan Sarawak Microelectronics Design (SMD) pada 2022 sebagai langkah berani memasuki industri teknologi tinggi.
“Kita kini mempunyai makmal di Cardiff, United Kingdom dan saintis Sarawak terlibat dalam pembangunan cip berasaskan kecerdasan buatan termasuk cip KETEQ AI,” katanya sambil menambah, SMD dengan kerjasama CENTEXS menyasar untuk melahirkan 500 jurutera semikonduktor berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Dalam sektor aeroangkasa pula, tegasnya Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu yang dilancarkan pada Oktober 2024 bertujuan melatih tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, teknologi dron, pembuatan satelit serta penyelenggaraan pesawat.
“Pada konvokesyen kali ini, kita menyaksikan kumpulan pertama pelatih aeroangkasa dari Sarawak hasil kerjasama CENTEXS dan Airod,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) pada 2024 serta menjalinkan kerjasama dengan Amazon Web Services (AWS) bagi melatih bakat tempatan dalam bidang AI.
Untuk jangka panjang, CENTEXS telah membuka kampus baharu di Lawas dan Dalat yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2025 membolehkan latihan berteknologi tinggi diperluaskan ke kawasan luar bandar.
Ujarnya, CENTEXS akan terus menjadi peneraju dalam pembangunan tenaga kerja bagi bidang teknologi hijau, digital, aeroangkasa, AI dan mobiliti hijau.
Antara yang hadir pada majlis konvokesyen semalam ialah timbalan beliau Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman serta para graduan serta ibu bapa mereka.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Emmanuel Methodist Church Bintulu akan dinaik taraf
Februari 13, 2026, Jumaat - 7:48am

Pang (tengah) menyampaikan geran daripada UNIFOR kepada wakil pengurusan Emmanuel Methodist Church di Bintulu.
BINTULU: Emmanuel Methodist Church di bahagian ini akan dinaik taraf demi keselesaan setiap penganut yang menunaikan ibadah di gereja berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, beliau sendiri telah mengadakan lawatan ke gereja berkenaan bagi meninjau sendiri akan prasarana serta infrastruktur gereja yang perlu diperbaiki mengikut keperluan semasa.
"Baru-baru ini, saya secara rasmi menyerahkan geran bantuan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Emmanuel Methodist Church bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan dalaman," ujarnya dalam satu kenyataan.
Kerja-kerja menaik taraf gereja ini juga jelasnya turut meliputi pembinaan tembok penahan, sistem perparitan, pagar serbaguna serta kerja-kerja penurapan semula tempat letak kereta.
Dalam sesi lawatannya itu jelas Pang, beliau turut dimaklumkan mengenai isu mendapan tanah yang berlaku di kawasan gereja.
Bagi tujuan itu, beliau berharap agar pihak pengurusan gereja segera mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam bidang berkenaan bagi memastikan penilaian tahap keselamatan tanah dijalankan segera.
"Ianya adalah bagi memastikan yang gereja termasuk persekitarannya selamat untuk diduduki," jelasnya.
Beliau dalam masa sama memberikan jaminan bahawa pihaknya akan terus membantu pihak gereja untuk memohon bantuan tambahan sekiranya perlu bagu memastikan kerja-kerja menaik taraf gereja dan kawasan sekitar berjalan lancar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TASKA KEMAS PPAK Sundar Lawas terima Sijil 5 Bintang SKPAK Kebangsaan 2025
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:04am

Noor Suhaida menunjukkan penganugerahan Sijil 5 Bintang Terbaik Penilaian SKPAK Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2025 yang dimenangi oleh TASKA KEMAS PPAK Sundar, Lawas.
SIBU: Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS PPAK Sundar Lawas, telah menerima penganugerahan Sijil 5 Bintang Terbaik, Penilaian Standard Kualiti Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SKPAK), Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2025.
Menurut Jabatan KEMAS Sarawak, majlis ini merupakan acara pengiktirafan tertinggi kepada TASKA dan Prasekolah yang mencapai standard kualiti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pada majlis ini juga, sejumlah 13 buah TASKA KEMAS dari seluruh Malaysia, yang terlibat dalam sesi penilaian kualiti pada tahun 2025 diraikan pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) (KPDNKK), Presint 2 Putrajaya pada Khamis.
"Penilaian ini berdasarkan kepada kualiti terbaik yang telah dicapai oleh sesebuah TASKA, setelah melalui proses penilaian kualiti yang telah dilakukan oleh jawatankuasa penilai.
"Jawatankuasa ini, telah dilantik oleh Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terdiri daripada agensi-agensi pelaksana seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan KEMAS, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Keluarga Terenganu," katanya dalam satu hantaran di laman rasminya.
Noor Suhaida Matzen, Pendidik Masyarakat TASKA Permata KEMAS PPAK Kampung Sundar telah hadir untuk menerima sijil penganugerahan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha KKM Dr. Aminuddin Hassim.
Untuk rekod, TASKA ini juga pernah memenangi Anugerah TASKA Berkualiti Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) dengan Kerjasama Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) dengan membawa hadiah kemenangan berjumlah RM10,000.
"Pihak Pengurusan KEMAS Negeri Sarawak menggucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah, semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada TASKA Permata KEMAS Sarawak yang lain untuk terus melipat gandakan usaha dengan lebih gigih lagi pada tahun 2026," tambah Jabatan KEMAS Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tokong Tua Pek Kong dihiasi lebih 1,000 tanglung menjelang TBC
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:18am

Tanglung dinyalakan bagi memeriahkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina.
SIBU: Lebih 1,000 tanglung merah tradisional Cina menghiasi perkarangan Tokong Tua Pek Kong di sini, sekali gus mencipta panorama memukau dan menyemarakkan lagi suasana menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Inisiatif tahunan itu bukan sahaja menyerikan kawasan tokong, malah menjadi tarikan pengunjung serta simbol kemeriahan perayaan masyarakat Tionghua di bandar ini.
Pengerusi Tokong Tua Pek Kong, Penghulu Soon Choon Hoo, berkata pemasangan tanglung berkenaan merupakan acara tradisi yang dilaksanakan setiap tahun bagi menambah seri sambutan perayaan.
"Majlis penyalaan tanglung ini adalah acara tahunan kami untuk memeriahkan lagi suasana Tahun Baharu Cina di Sibu. Ia juga menjadi simbol harapan dan cahaya baharu untuk tahun yang bakal menjelang," katanya dalam kenyataan semasa majlis penyalaan tanglung, baru-baru ini.
Majlis penyalaan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, di luar kawasan tokong, sekali gus menandakan bermulanya suasana perayaan yang lebih meriah di bandar berkenaan.
Turut hadir ialah ahli jawatankuasa tokong yang diketuai oleh Naib Pengerusi, Soon Choon Kui.

Choon Kui (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ting sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa kuil.
Menurut Choon Hoo, majlis penyalaan tersebut turut diadakan bersempena upacara utama tokong iaitu upacara menghantar dewa ke syurga sempena Tahun Baharu Cina.
"Selepas upacara tersebut, para petugas tokong akan bergotong-royong membersihkan kawasan tokong serta menggantikan pakaian baharu untuk patung dewa.
"Upacara ini juga sebagai tanda kesyukuran atas segala limpahan berkat yang diterima para penganut sepanjang tahun lalu. Kami turut berdoa agar tahun baharu ini membawa keberkatan, kemakmuran, tuah dan kesihatan kepada semua," ujarnya.
Beliau menambah, tradisi tersebut telah diamalkan sejak beberapa dekad lalu dan akan terus dipelihara oleh generasi muda sebagai warisan budaya masyarakat setempat.
Dalam pada itu, semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial turut terserlah apabila jawatankuasa tokong menyerahkan sumbangan sebanyak RM215,000 kepada Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) bagi pembelian lima mesin dialisis.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di bilik persidangan tokong sejurus selesai acara penyalaan tanglung.
Pada majlis sama, Choon Kui turut menyampaikan cenderamata kepada Ting sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan beliau.
Pemasangan lebih 1,000 tanglung itu bukan sekadar hiasan, sebaliknya menjadi lambang penyatuan komuniti, kesyukuran dan harapan baharu yang terus menyinari Sibu setiap kali tibanya Tahun Baharu Cina.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Sepupok serah sumbangan khairat kematian kepada ahlinya
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:27am

Nicol (enam kiri) menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada Jeraimie atas pemergian ayahnya.
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak yang lebih dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Terabai Menua (TM) Cawangan Sepupok telah menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada salah seorang ahlinya, Jeraimie Nicholas Lau, berikutan pemergian ayah beliau.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Cawangan, Nicol Stendy, bersama barisan Ahli Jawatankuasa serta ahli-ahli persatuan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Balai Raya Rumah Andrew Abak, Batu Niah dekat Miri, baru-baru ini.
Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga yang ditimpa musibah.
"Penyerahan sumbangan ini mencerminkan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan ahli persatuan," persatuan.
Persatuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli yang telah memberikan sumbangan dan sokongan bagi menjayakan inisiatif kebajikan ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Nasih malang dua beradik di Bintulu dapat perhatian Teresang Dayak Sarawak
Februari 13, 2026, Jumaat - 8:32am
SIBU: Nasib malang yang menimpa dua beradik di Bintulu telah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak), baru-baru ini.
Dua adik-beradik ini iaitu Clameny Mathius Taken Achong, 16, dan Gomezaron Petrus Bidok Achong, 14, dari Rumah Banyang, Batu 8, Jalan Bintulu-Miri difahamkan mengalami kesulitan disebabkan masalah keluarga.
"Dua adik-beradik ini kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) disebabkan mereka masih berada di bawah umur," kata Presiden Teresang Dayak Sarawak Robinson Corey kepada Utusan Borneo.
Menurutnya, kisah kedua-dua beradik ini tular yang mengundang rasa simpati masyarakat memandangkan mereka masih muda lagi dan memerlukan perhatian sewajarnya.
"Kami rasa terpanggil untuk membantu mereka," ujarnya.
Menurut Robinson pihak persatuan telah menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada kedua-dua adik beradiknya ini yang disampaikan oleh Pengerusi Teresang Dayak Sarawak Bahagian Bintulu Dazrin Jubin.
"Kita lega kerana mereka kini dibawah jagaan JKM dan persatuan berharap agar segala urusan mereka dipermudahkan," tambahnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
CPPC Limbang bakal sedia ruang petani pasarkan produk pertanian
Februari 13, 2026, Jumaat - 9:05am

Dr Abdul Rahman (dua kanan) melihat benih durian kuning di Taman Pertanian Kubong Limbang, turut kelihatan Amirul (kanan).
LIMBANG: Pusat Pengumpulan, Pemprosesan Dan Pembungkusan (CPPC) Limbang adalah satu lagi kemudahan untuk petani memasarkan produk pertanian bakal beroperasi tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata ketika ini pihak operator sedang membeli peralatan bagi memproses produk-produk pertanian yang dihasilkan oleh petani-petani dan seterusnya untuk memasarkan ke pusat pemprosesan.
CPPC yang bernilai kira-kira RM5 juta itu katanya memfokus kepada tanaman yang ada di Limbang seperti nangka madu, cili, durian dan nanas.
“CPPC Limbang kini sudah siap dan sekarang ini operator sedang membeli peralatan dan kemudahan ini memfokuskan untuk memproses tanaman yang ada di Limbang seperti nangka madu, cili, durian dan juga nanas.
“ CPPC ini dijangka akan beroperasi pada tahun ini apabila mesin dah sampai dan kita akan bekerjasama dengan Jabatan pertanian untuk membangunkan para peserta dan petani untuk membekalkan bekalan asas di CPPC Limbang,”katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada lawatan kerja ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong dekat sini semalam.
Turut sama ialah Pegawai Pertanian Bahagian Limbang. Amirul Fikri Jemali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata berkata CPPC Lawas yang sedang dalam penambahbaikan dijangka akan beroperasi tahun depan.
Katanya selain CPPC Limbang, TKPM Kubong dekat sini memfokus kepada pengeluaran buah-buahan dan tanaman sayur fertigasi untuk pasaran tempatan.
TKPM katanya dilaksanakan di bawah kerajaan persekutuan pada 2020 dan dijangka siap pada tahun depan dengan membangunkan tanah berkeluasan 27 hektar
Katanya lagi pada pada Belanjawan Negeri 2026, Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM326 juta kepada kementeriannya untuk memperkasa sektor pertanian di Sarawak.
Manakala kerajaan persekutuan memperuntukan RM158 juta kepada sektor pertanian di Sarawak untuk dilaksanakan pada tahun 2026.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis tahan lelaki dengan tiga rekod lampau, disyaki penagih dadah
Februari 13, 2026, Jumaat - 9:19am

Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau dan disyaki penagih telah berjaya ditahan oleh pasukan Task Force Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok. - Gambar IPD Saratok
SARATOK: Seorang lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau dan disyaki penagih telah berjaya ditahan oleh pasukan Task Force Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, lelaki yang berusia 28 tahun tersebut berjaya ditahan ketika pasukan tersebut membuat operasi di tepi Jalan Saratok.
“Ketika melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan, pihak polis telah menjumpai satu tiup plastik yang berisi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu.
“Berikutan itu, lelaki tersebut telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok untuk menjalani ujian air kencing.

DSP Mathew Manggie
“Hasil ujian tersebut mendapati lelaki berkenaan telah positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” kata Mathew, semalam.
Dalam masa yang sama juga, kata Mathew, hasil semak pihak polis mendapati lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Katanya, tiga rekod tersebut adalah berkaitan dengan Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) pada tahun 2024 dan telah dijatuhi hukuman, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) pada tahun 2024 juga telah dihukum dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 juga pada tahun 2024 dan telah dikenakan denda.
“Bagi kes ini, lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952,” tegas Mathew lagi.

Tiup plastik yang dipercayai dadah jenis syabu turut ditemui ketika pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap suspek. - Gambar IPD Saratok
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
9,498 pemandu pelancong berdaftar di MOTAC sehingga Januari 2026
Februari 13, 2026, Jumaat - 10:17am

TIONG
BINTULU: Seramai 9,498 pemandu pelancong disahkan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sehingga tempoh Januari tahun ini, kata Menteri bertanggungjawab, Dato Sri Tiong King Sing.
Beliau dalam satu hantaran di Facebooknya semalam menjelaskan, bagi tempoh 2024 hingga 2025 sahaja, sebanyak 158 siri Kursus Mesra Malaysia telah dilaksanakan melibatkan 4,932 petugas barisan hadapan.
"Jumlah ini akan terus ditingkatkan kerana 5,000 orang sahaja masih belum mencukupi, sebaliknya kita memerlukan perubahan sikap secara menyeluruh tidak kira dalam kerajaan mahupun sektor swasta," jelasnya.
Beliau sebagai berkata bahawa kempen mesra Malaysia bukan untuk tahun ini sahaja, sebaliknya ianya hendaklah menjadi budaya yang berterusan.
Jelasnya, dalam sektor pelancongan, semua pihak mesti mesra bukan hanya kepada pelancong asing, tetapi kepada rakyat sendiri, termasuk penduduk kampung yang datang ke bandar, pelanggan di pusat membeli-belah atau sesiapa sahaja tidak kira bangsa mahupun latar belakang.
"Saya amat menghargai sokongan semua pihak termasuk agensi-agensi barisan hadapan yang telah memberikan kerjasama bagi menjayakan semua inisiatif bagi memartabatkan sektor pelancongan di negara ini," jelasnya.
Namun begitu tegas Tiong, usaha ini memerlukan komitmen semua terutamanya pengusaha pusat beli-belah, pemandu pelancong, pengendali pengangkutan awam, pegawai imigresen, polis, dan juga setiap individu yang membawa nama Malaysia.
Imej negara jelasnya bukan dibina melalui slogan, namun ianya dibina melalui sikap semua pihak setiap hari.
"Justeru itu, marilah kita semua bersama-sama bagi membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar indah pada destinasi, tetapi indah pada layanan dan hati budi rakyat khususnya yang berkecimpung dalam industri pelancongan," ujarnya.
Sesungguhnya jelas belia sikap serta layanan rakyat tempatan sendiri kepada semua pelancong yang datang ke negara ini hendaklah mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar mesra pelancong.
Baru-baru ini katanya, beliau telah melancarkan Kempen Mesra Malaysia sebagai satu komitmen jelas bahawa industri pelancongan negara bukan sekadar soal angka ketibaan atau kempen promosi, tetapi juga soal sikap, layanan dan nilai kemanusiaan.
"Terlalu banyak aduan saya terima, daripada pelancong, malah rakyat tempatan sendiri yang merasakan mereka dilayan dengan kasar, dipandang rendah atau tidak diberi penjelasan sewajarnya," ujarnya.
Justeru itu katanya, semua penggiat industri pelancongan tidak boleh ada budaya “tunjuk kuasa” kerana semua pegawai terlibat mesti sedia berkhidmat, bukannya untuk membuat rakyat atau pelancong rasa terpinggir.
"Saya sendiri telah meminta semua ketua jabatan dan kementerian supaya mengambil perkara ini secara serius kerana ini bukan isu kecil, namun ianya melibatkan soal imej negara," tegasnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Media di Sarawak digesa perkukuh peranan sebagai rakan strategik pembangunan negeri
Februari 13, 2026, Jumaat - 10:24am

Dr Sim (duduk, empat kiri) bersama tetamu lain merakam kenangan bersama pengamal media di Kuching sempena Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Tahun Baharu Cina 202, malam tadi. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Media di Sarawak perlu memperkukuh peranan sebagai rakan strategik pembangunan negeri dengan mengutamakan laporan yang adil, bertanggungjawab dan seimbang terutamanya dalam mendepani cabaran era digital yang semakin kompleks dan pantas.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, landskap media masa kini telah berubah apabila sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai maklumat melalui telefon pintar dan media sosial.
“Sekarang semua orang beranggapan mereka pempengaruh media.
“Dengan telefon sahaja boleh buat pelbagai perkara, sesetengah pengguna ada yang sebarkan maklumat yang salah, tidak lengkap dan ada yang sangat pandai berpolitik sehingga perkara baik menjadi buruk,” katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Tahun Baharu Cina 2026 pada Khamis.
Bagaimanapun menurut beliau, media atau kewartawanan profesional kekal penting sebagai rujukan sahih kepada masyarakat dan perlu memastikan laporan dibuat secara adil serta seimbang.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan laporan positif bukan bertujuan memuji mana-mana pihak sahaja, sebaliknya memastikan penyampaian maklumat yang menyeluruh dan seimbang kepada masyarakat.
Menurutnya, pengamal media digesa mengekalkan pendekatan profesional dengan memberi gambaran penuh terhadap sesuatu isu agar rakyat memperoleh pemahaman yang tepat.
Pada masa sama, pengamal media diseru agar membantu memupuk naratif positif demi kemajuan Sarawak pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang; ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap; ADUN Batu Lintang, See Chee How; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, pengamal media serta tetamu kehormat yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Suspek mengaku bunuh wanita akibat perselisihan peribadi, tuntutan wang pertunangan
swk - Media di Sarawak digesa perkukuh peranan sebagai rakan strategik pembangunan negeri
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|