KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, tumpang gembira dengan berita kehamilan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, apatah lagi usia kandungan masing-masing sama-sama mencecah empat bulan.
Jumaat lalu, Siti, 38, mengumumkan dirinya berbadan dua selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
"Sejak dapat tahu berita kehamilan Datuk Siti, saya antara orang yang paling teruja, apatah lagi kami berkongsi usia kehamilan yang sama.
"Saya sedar, bukan saya saja yang menunggu berita gembira itu selama ini. Pastinya, ramai yang berharap rumah tangga beliau akan dikurniakan cahaya mata," kata isteri kepada Nedim Nazri itu.
Menyentuh pengalamannya sendiri mengandung buat kali kedua, Nora memaklumkan, dirinya tidaklah mengidam makanan yang bukan-bukan.
"Setakat ini, semuanya masih terkawal dan boleh dikatakan segala jenis makanan saya 'belasah'.
"Keadaan agak berbeza ketika saya mengandungkan anak sulung (Putra Rayqal, 8) dulu. Waktu itu, ada makanan yang saya tak boleh makan, contohnya yang berasaskan ayam," katanya.
Nora, 35, yang ditemui pada majlis pertunangan teman baik yang juga adik kepada Erma Fatima, Betty Rahmad, di sini, berkata ketika ini beliau turut memperlahankan kerjaya seninya bagi menumpukan perhatian kepada kandungan yang semakin membesar.
Kini, Nora yang turut dikenali sebagai usahawan itu hanya menunggu tayangan dua filem terbaru lakonannya, iaitu Makrifat Cinta yang menyaksikannya bergandingan dengan Syamsul Yusof dan Bukan Cinta Malaikat.
"Filem Bukan Cinta Malaikat sudahpun ditayangkan di Indonesia, Julai lalu, namun ia hanya akan menemui penonton di Malaysia pada tahun depan," katanya yang turut membintangi filem Surga Yang Tak Dirindukan 2.