i Ada luka yang terlalu jauh untuk difahami.
Ada luka yang terlalu sunyi untuk didekati.
Ada juga luka yang terlalu garang untuk dipujuk.
Tetapi percayalah, semua luka boleh disembuhkan.
Melainkan luka itu disembunyikan di tempat yang paling gelap.
ii
Kehidupan adalah sebuah ranjau yang penuh dengan onak dan duri. Setiap manusia akan terluka. Sangat sedikit yang luka hanya sekali.
Lebih ramai yang luka berkali-kali.
Luka di tangan, memang akan menjadi kudis terlebih dulu, sebelum sembuh.
Seperti juga luka di hati. Marahnya mesti membara dulu, sebelum sakitnya menjadi reda.
Kita berhak memilih bagaimana mahu mengakrabi luka sendiri.
Kita boleh biarkan luka itu menjadi satu definisi signifikan dalam hidup.
Atau meletaknya cuma sebagai nota kaki dalam lembaran-lembaran pengalaman yang ada.
iii
Luka adalah milik yang terlalu peribadi.
Hanya kita yang boleh menentukan tempatnya di mana.
Kita boleh menyimpannya di celah diari di kamar tidur.
Atau menggantungnya di dahan ketapang di hujung desa.
Atau melontarnya jauh ke tengah laut, ketika musim-musim gelora.
Ada luka yang boleh sembuh cepat, tanpa sebarang apologi.
Ada luka yang enggan sembuh selamanya, kerana terlalu menuntut maaf.
iv
TETAPI.
Jangan sekali-kali ada sesiapa cuba meremehkan luka orang lain.
Biar pun luka itu kelihatan terlalu kecil.
Kita tidak tahu, barangkali luka itu satu-satunya tusukan yang masih memberinya tenaga.
Untuk terus berjuang dan meneruskan kehidupan.
Selepas seluruh derianya yang lain; telah dibunuh bertubi-tubi tanpa sedikit pun rasa simpati.