CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: MUZRI

PRINCE CHARMING

 Close [Copy link]
 Author| Post time 20-7-2010 09:55 AM | Show all posts
8

DARI jauh Nurul asyik melihat Fiq yang berada di tengah-tengah padang, berlatih bermain bola bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Hari ini merupakan hari terakhir mereka berlatih memandangkan lusa mereka ada perlawanan persahabatan bersama pasukan Sekolah Haji Mansur atau Sekolah Semarak.

      Semua kelihatan bersungguh-sungguh berlatih berbanding beberapa hari yang lepas. Yang tidak datang atau yang jarang datang berlatih beberapa hari lepas turut datang berlatih terutama sekali Nazrul.

      Entah kenapa Rezza dan yang lain tidak beberapa kisah sangat dengan ketidakhadiran Nazrul. Bila ditanya semuanya memberi jawapan yang sama.

      "Nazrul memang macam tu, dia pergi bertapa dulu dan sehari sebelum perlawanan barulah dia datang latihan. Jangan risaulah," kata Fiq.

      "Kalau dia datang pun sama juga. Nanti dia bertapa kat tengah gawang juga," kata Najmi pula.

      "Lebih baik jangan pedulikan dia, nanti parah masa perlawanan tu. Orang suruh tangkap bola, dia suruh bola masuk gawang," kata Farizat pula sambil menggeleng apabila teringatkan perlawanan yang dulu.

      Bila ditanya pada Rezza, pasti Rezza akan menjawab begini, Anggap sajalah dia tu hero. Bukan ke hero selalu menyusahkan keadaan.

      Pendek kata mereka semua memang tidak kisah dengan ketidakhadiran Nazrul. Kalau mereka tidak kisah, buat apa dia hendak memeningkan kepala memikirkan Nazrul yang tidak hadir latihan. Daripada dia fikirkan masalah Nazrul, lebih baik dia fikirkan masalahnya dengan Hayrul yang asyik termenung sehingga berapa kali kepalanya terkena bola. Macam-macam kerenah mereka semua. Semuanya hendak dijaga. Macam budak-budak lima tahun yang perlukan asuhan seseorang.

      Tidak lama selepas itu, wisel ditiup oleh Cikgu Majid. Dia mengarah semuanya berkumpul di hadapannya.

      Nurul hanya duduk dipohon angsana. Malas dia hendak bergerak ke sana. Nanti bermacam-macam bau yang ada. Kalah bau minyak wangi cap kapak. Keharumannya memang memikat hidung sehinggakan bulu hidung ni pun boleh layu dengan bau peluh mereka.

      Dari situ dia dapat dengar pesanan terakhir Cikgu Majid sebelum perlawanan lusa. Esok, mereka semua dibenarkan merehatkan badan dan tenangkan minda. Selepas saja Cikgu Majid bercakap dengan mereka semua, cepat-cepat dia mengambil pewangi miliknya badannya dan disemburkan ke udara sebelum mereka semua menghampirinya, memandangkan beg-beg mereka berada di sekitarnya.

      "Amboi, perli nampak," ujar Zaki apabila berbau sesuatu yang wangi.

      "Aku risaukan pokok angsana ni hampir layu menyedut udara yang tercemar. Lagi satu, dah berapa kali aku cakap, jangan bukak baju depan aku!" ujar Nurul sambil matanya menjeling tajam ke arah Zul Hilmi yang baru hendak membuka baju.

      "Buka seluar boleh tak?" tanya Ridzwan pula.

      "Hah, beranilah buka kalau kau orang nak rasa cirit-birit masa perlawanan nanti."

      "Kenapalah kau cari pengurus yang kejam macam ni?" tanya Ridzwan kepada Rezza dan Fiq yang menghampiri mereka setelah berbual sesuatu dengan Cikgu Majid. Belum sempat Rezza membuka mulut, Ridzwan sudah mencapai beg galasnya meminta diri untuk pulang.

      "Nurul, Cikgu Majid nak jumpa," beritahu Rezza.

      "Hah, pergi cepat!" gertak Najmi sedikit bergurau.

      "Tahulah!"

      Tanpa membuang masa Nurul segera bangun dan mengorak langkah ke arah Cikgu Majid yang sedang bercakap sesuatu dengan Nazrul. Mungkin ada perkara yang Cikgu Majid yang tidak puas hati dengan Nazrul. Mungkin pasal Nazrul tidak menghadiri latihan untuk beberapa hari ini? Tapi rasanya dia tiada mengadu pada Cikgu Majid.

      "Not sure… It’s difficult to say… But I think is 50-50," kata Nazrul kepada Cikgu Majid seperti membincangkan sesuatu yang serius.

      "50-50? Kenapa?"

      "Okay, it’s look stupid but sometime stupid look smart. I already told them about this. Dan terpulanglah pada diri masing-masing untuk terimanya atau tidak. Kalau kita tak buat sesuatu untuk perlawanan lusa, kita akan kalah," ujar Nazrul tegas memberi pendapatnya dengan jujur.

      Cikgu Majid kemudiannya mengangguk sambil berfikir.

      Nurul yang berdiri antara Cikgu Majid dan Nazrul, tidak faham apa yang mereka berdua bincangkan. Akan kalah? Belum perlawanan lagi, Nazrul dah kata akan kalah. Memang betul-betul tiada semangat langsung! Mananya tidak kalah kalau orang terpenting dalam pasukan tidak munculkan diri masa latihan. Buat letih memikir saja.

      "Jadi, kamu ada cadangan?"

      "Esok mereka akan adakan pelawanan persahabatan dengan Sekolah Haji Harun… Ini peluang terakhir kita."

      "Haji Harun? Nama pengetua lagi ke?" tanya Cikgu Majid sambil menggeleng.

      Nazrul hanya tersengih.

      "Okey, kalau kamu fikir kita akan kalah, fikirkan sesuatu. Nurul, saya nak kamu bantul Nazrul."

      "Apa?!" tanya Nurul sedikit terkejut.

      "Saya tak perlukan bantuan," balas Nazrul.

      "Dan saya tak mahu bantu Nazrul. Banyak lagi kerja yang perlu saya buat. Tentang jersi, tentang bas, tentang makan minum mereka di sana, tentang surat pelepasan kelas dan tentang…"

      "Surat cinta." Nazrul mencelah.

      Nurul menghadiahkan serangan pandangan tajamnya. Nazrul buat bodoh saja.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-7-2010 09:55 AM | Show all posts
"Rezza boleh bantu saya, lagipun Nurul tidak tahu pasal bola sepak. Dunianya hanyalah surat cinta," ujar Nazrul dengan selamba.

      Mata Nurul masih tepat memandang Nazrul yang berlagak seperti orang tidak bersalah. Hatinya sudah membara, manakala darahnya hampir menggelegak. Tunggu gunung berapi meletup saja.

      "Sebab Nurul tak tahu pasal bola sepaklah saya suruh dia pergi dengan kamu. Saya nak kamu ajar dia tentang bola sepak. Saya tak mahu seorang pengurus yang tidak tahu apa-apa tentang bola sepak," ujar Cikgu Majid tegas.

      "Tapi…"

      "Keputusan saya muktamat. Esok kamu berdua akan pergi sana dan fikirkan apakah strategi terbaik untuk pasukan sekolah kita," ujar Cikgu Majid lagi sebelum berlalu dari situ.

      "Ah, menyesalnya aku cakap kita akan kalah," keluh Nazrul sambil melihat kelibat Cikgu Majid meninggalkan padang sekolah. Tiba-tiba Nazrul terasa udara panas di sekitarnya. Dengan perlahan dia berpaling memandang Nurul yang bagaikan singa betina yang sudah sepuluh hari tidak makan sebab sakit gigi.

      "Apa?" tanya Nazrul sedikit pelik.

      "Macam mana kau tahu pasal surat cinta tu?" tanya Nurul garang.

      "Err…" Nazrul kelihatan kehilangan kata-kata. Dia menggaru-garu leher mencari mencari idea untuk melepaskan diri. Entah macam manalah dia boleh terlepas cakap pasal surat cinta? Patutlah sejak dari tadi Nurul asyik memandangnya macam hendak makan saja.

      "Rupa-rupanya kaulah yang dajalkan aku letak surat tu dalam lokar Hayrul!"

      "Err… Alamak, baru aku teringat… kucing aku belum makan lagi." Tanpa membuang masa Nazrul membuka langkah seribu untuk menyelamatkan diri daripada dibaham oleh singa kelaparan itu. "Rezza! Bawa balik beg aku!"

      "Nazrul! Jangan nak lari!" Dengan seribu langkah juga Nurul yang berpakaian sukan mengejar Nazrul yang sudah jauh melarikan diri dulu.

      "Kenapa tu?" tanya Najmi kehairanan apabila melihat Nazrul lintang pukang melarikan diri dan Nurul mengejarnya dari belakang. "Ada pengambaran filem Hindustan ke?"

      "Tu macam pengambaran filem kungfu saja," ujar Rezza sekadar menggeleng. Nasib kaulah Nazrul. Siapa suruh bermain dengan api. Kan dah kena.

      Rezza kemudiannya menghampiri Fiq yang sedang membelek telefon bimbitnya. Satu senyuman gembira singgah di bibir Fiq tidak lama selepas itu. Pantas dia berlalu bangun dan mencapai beg galasnya.

      "Aku balik dulu," ujar Fiq sebelum sempat Rezza bertanyakan sesuatu.

      "Ni lagi sorang…" Najmi hanya sekadar menggeleng.

      "Hei, ada sesiapa nampak Hayrul tak?" tanya Rezza kepada mereka yang lain.

      Masing-masing menggeleng.

      "Risaulah aku tengok Hayrul sejak terima surat cinta tu. Terus macam orang sakit mental pun ada."

Nurul tercungup-cungap kepenatan setelah hampir sepuluh kali dia mengelilingi sekolah mengejar Nazrul. Laju juga Nazrul berlari walaupun dia selalu tidak menghadiri sesi latihan setiap petang. Matanya liar memandang sekeliling mencari kelibat Nazrul yang sudah hilang daripada pandangannya.

      "Tak apa, esok masih ada. Taulah apa aku nak buat dengan kau," kata Nurul dengan nafas tersekat-sekat.

      "Eh, Fiq…" Satu senyuman manis singgah di bibir Nurul apabila dia terpandang Fiq yang berlari anak menuju ke pintu pagar. Baru saja dia hendak memanggil Fiq, pandangannya dihalang oleh satu tubuh sasa seseorang. Pantas dia mendongak memandang.

      "Ah, Hayrul… Kenapalah masa macam ni kau suka muncul?" Terus ditolak Hayrul ke tepi untuk melihat kelibat Fiq yang kelihatan tersenyum gembira.

      "Aku nak surat cinta hari tu," ujar Hayrul setelah mengumpul semua tenaganya untuk memintanya daripada Nurul.

      "Hah?!"

      "Najmi cakap kau yang ambil surat cinta tu."

      "Err… aku dah buang," jawab Nurul selamba.

      "Apa?"

      "Kau pekak ke? Aku dah buang." Mata Nurul masih lagi memandang Fiq. "Bukan ke kau alergi dengan surat cinta. Kalau kau dapat, gerenti kau pengsan lagi. Apalah, dengan surat cinta pun boleh pengsan."

      "Aku tak pengsanlah. Cuma tertidur saja," balas Hayrul.

      "Tidurlah sangat…" perli Nurul sambil menjeling tajam. Kemudian dia terpandang Fiq menghampiri seorang gadis manis yang kelihatan menunggu seseorang di hadapan pintu pagar sejak dari tadi. Tersentap hatinya melihat kemesraan mereka berdua terutama sekali mereka berdua berlalu pergi dengan berpegangan tangan.

      Pelbagai persoalan muncul di fikiran Nurul. Siapakah gadis yang bersama dengan Fiq tadi? Lagak gaya bukan pelajar sekolah sebab gadis itu nampak matang daripada gaya pemakaiannya. Kakak? Sepupu? Atau… kekasih? Kalau kekasih, adakah dia langsung tiada peluang untuk memiliki hati Fiq?

      "Wei, aku nak surat cinta tulah," kata Hayrul lagi.

      "Kan aku dah kata aku dah buang surat tu."

      "Aku tak kira aku nak jugak!"

      "Macam budak-budak." Nurul berlalu pergi tanpa mempedulikan Hayrul.

      "Hei, aku nak surat cinta akulah!"

      "Kawan, sejak bila kau minat baca surat cinta ni?" sapa Nazrul tiba-tiba.

      "Dan, sejak bila pula kau suka masuk campur hal orang lain ni?" kata Hayrul pula.

      "Sejak tidur aku sering diganggu," jawab Nazrul menggeleng lemah.
Reply

Use magic Report

Post time 26-7-2010 05:15 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 27-7-2010 09:15 AM | Show all posts
salam & morning semua
Reply

Use magic Report

Post time 27-7-2010 09:17 AM | Show all posts
muzri dah lama tak de n3...
harap2 ari ni ada n3 yg bykkkkkkkkkkkk
Reply

Use magic Report

Post time 27-7-2010 11:56 AM | Show all posts
bila nak sambung balik nieeeeeeeeeeeeee
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 30-7-2010 07:39 AM | Show all posts
9

NURUL sekali lagi menguap malas. Mengantuk sehinggakan hendak membuka mata pun tidak terdaya. Semuanya gara-gara tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan hubungan Fiq dengan gadis yang dilihatnya semalam. Penat juga otaknya berfikir, hatinya pula bermain dengan kata-kata sehinggakan dia berasa lemah. Apatah lagi sejak pasukan bola sepak sekolah akan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Sekolah Haji Mansur.

      Haji Mansur? Kemudian dia tersenyum menggeleng. Lucu. Sejak Nazrul memanggil nama sekolah itu Sekolah Haji Mansur, semua dah gelarkan Sekolah Haji Mansur. Tiada lagi SMK Semarak.

      Nazrul! Hatinya memberontak. Rasa mengantuk tadi hilang begitu saja apabila nama Nazrul menjelma di fikirannya. Perasaan geram dan marah membuak-buak dalam dirinya. Mana tidaknya, Nazrul hampir memalukannya dengan meletak surat cinta dalam lokar Hayrul. Nasib baiklah Hayrul alergi dengan surat cinta, kalau tidak manalah dia hendak letak mukanya itu. Pasti kecoh satu sekolah.

      Kaki kanannya melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak. Pintu bilik sudah terbuka luas. Sejak dia menjadi pengurus, pintu bilik memang sentiasa akan dibuka kecuali kalau ada mesyuarat atau sewaktu latihan di padang.

      Kebiasaanya pagi-pagi lagi dia akan singgah sebentar ke bilik itu untuk mengambil barang-barang sekolah yang diletakkan di situ seperti buku teks dan alatan tulis yang lain. Jadi, tidak beratlah beg sekolahnya ketika datang dan balik sekolah.

      Kelihatan Farizat dan Ridzwan sedang menyiapkan kerja sekolah. Itulah rutin harian mereka yang pasti akan menyiapkan kerja latihan yang diberi oleh guru mereka pagi-pagi lagi. Itu pun copy daripada pelajar lain.

      "Kenapa tu?" tanya Nurul menghampiri Ridzwan dan Farizat yang asyik menyalin jawapan Matematik.

      Mereka kemudiannya berpaling memandang Hayrul yang dari tadi asyik berdoa di hadapan lokarnya.

      "Doa tolak bala kut," jawab Ridzwan yang tidak mengendahkan Hayrul.

      "Kesian anak si Bala tu, tak pasal-pasal kena tolak," ujar Nurul sambil menggeleng-geleng kepala. Sengaja dia meninggikan suaranya tadi, namun tiada sebarang reaksi daripada Hayrul.

      Hayrul masih lagi berkumat-kamit membaca sesuatu sambil menadah tangan.

      "Wei, aku dengar kau kena keluar dengan Nazrul untuk bincang pasal strategi tu." Farizat mula bertanya.

      "Mana ada keluar. Cuma bincang saja."

      "Semalam kita orang pergi rumah Rezza, Nazrul cakap dia nak pergi Sekolah Haji Harun tu petang ni. Kau pun kena ikut sekali," beritahu Farizat.

      "Hah! Kenapa aku tak tahu pun?"

      "Sebab… Nazrul. Tiada siapa dapat agak apa yang dia akan buat selepas ni. Jadi, bersedialah apa-apa yang akan berlaku petang nanti."

      "Dia tu memang macam tu. Kalau pasal bola sepak, langsung tak peduli dengan orang sekeliling."

      Sementara itu, Hayrul di hadapan pintu lokar yang tertutup rapat sedang mengaminkan doa. Kedua-dua tapak tangannya menyentuh muka. Dengan penuh kesabaran, pintu lokarnya dibuka secara perlahan-lahan.

      Matanya terbeliak. Tidak percaya! Terus dia mencari di ruang-ruang di dalam lokarnya itu. Tiada! Di cari di dalam laci. Tiada juga! Argh!!! Dia terus menapak menghampiri mereka bertiga.

      "Nurul, mana surat cinta aku?" tanyanya.

      "Hah!"

      "Surat cinta aku mana, pekak!"

      Mata Nurul terkebil-kebil dengan sapaan Hayrul yang inginkan surat cinta. Entah apa pula yang tidak kena dengan Hayrul ini. Kalau dulu masa terima surat cinta, terus pengsan. Tapi sekarang, terkejar-kejar surat cinta.

      "Manalah aku tahu." Acuh tak acuh Nurul menjawabnya. Mampus kalau Hayrul dapat tahu hal yang sebenarnya.

      "Bukan ke kau yang ambil surat cinta tu?"

      "Memanglah aku yang ambil, tapi aku dah buang. Yang kau macam cacing kepanasan cari surat cinta ni kenapa?"

      "Aku tak kira, aku nak surat cinta tu jugak!"

      "Kejap lagi aku tuliskan surat cinta untuk kau dan kau bacalah ya." Nurul tersenyum menyindir. Tak faham bahasa betullah mamat sekor ni!

      "Hah, kalau macam tu mesti kau tahu siapa yang tulis surat cinta untuk aku, kan? Mesti kau ada bacakan? Jadi, aku nak kau suruh minah tu tulis balik surat cinta tu. Aku nak surat tu ada kat dalam lokar aku selepas perlawanan!" kata Hayrul sebelum mencapai beg sekolahnya dan berlalu pergi.

      Mereka bertiga masing-masing berpandangan. Kemudian ketiga-tiganya ketawa. Ada ke patut suruh orang tulis balik surat cinta? Manusia macam itu pun wujud ke?

"Petang ni, pukul 2.00 petang, tunggu aku kat bus stop depan sekolah." Nazrul tiba-tiba mencelah apabila Nurul dia sedang berbual dengan Sofea dan kawan-kawannya yang lain di kantin sekolah.

      Belum sempat Nurul berkata apa-apa, Nazrul telah pun mengangkat kaki berlalu pergi membuatkan dia terpinga-pinga.

      "Dating?" tanya Sofea.

      "Hah? Takkanlah…" jawab Nurul selamba.

      "Tapi cara dia ajak kau macam nak pergi dating saja," celah Noni yang bertocang dua. Entah kenapa tiba-tiba dia mahu berehat bersama-sama dengan Nurul dan Sofea pada hari ini.

      "Dating apanya. Aku kena fikirkan strategi untuk perlawanan esok. Cikgu Majid yang suruh."

      "Tapi, takkanlah nak berbincang kat taman bunga, kan… Kat sekolah kita pun ada tempat untuk berbincang."

      "Taman bunga apa! Mulalah nak buat spekulasi yang tak berasas. Nazrul tak cakap pun nak jumpa aku di taman bunga. Mungkin kita orang akan pergi ke Sekolah Haji Harun."

      "Hah! Sekolah mana tu?"

      "Entah. Aku pun tak tahu sekolah apa, tapi yang aku tahu pengetua sekolah tu bernama Haji Harun. Kenapa aku rasa macam kenal saja nama pengetua tu?"

Tepat jam 2.00 petang Nurul sudah tercegat di bus stop depan sekolah seperti yang dipinta Nazrul semasa waktu rehat tadi. Sekali-sekala dia merenung jam di tangannya. Namun, kelibat Nazrul langsung tidak kelihatan lagi.

      Janji jam 2.00 petang, tapi sekarang sudah lebih lima minit. Walaupun lima minit, tapi ia berharga. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur dengan nyenyak gara-gara asyik memikirkan hubungan Fiq dengan gadis misteri yang setia menunggu di pintu pagar sekolah semalam. Kalau itu teman wanita Fiq…

      "Hoi, mak cik!"

      Tersentap jantung Nurul dengan sapaan Nazrul yang entah bila berdiri di sebelahnya.

      "Hidup lagi rupanya, aku ingat dah mati," ujar Nazrul selamba.

      Nurul memandang tajam ke arah Nazrul di hadapannya. Ini macam hendak suruh dia mulakan perang dunia ketiga saja. Sudahlah dia bengang sangat semalam apabila dapat tahu Nazrul adalah dalang segala dalang dengan meletakkan surat cinta dalam lokar Hayrul. Tak pasal-pasal Hayrul pengsan satu hari dan esoknya angau mencari surat cinta.

Awal pagi lagi Hayrul sudah mencarinya untuk menuntut surat cinta yang diterima.

      Bukan itu saja, masa rehat tadi pun Hayrul ada menemuinya dan bertanyakan surat cinta sehinggakan dia sudah tidak tahan dengan perangai Hayrul yang semakin hari semakin tak normal.

      "Kau ingat aku ni pengeluar terbesar surat cinta ke? Senang-senang minta surat cinta daripada aku. Kau nak surat cinta sangat, kan? Apa kata kau tampal memo, Aku sedia terima kehadiran surat cinta daripada anda semua tidak kira lelaki atau perempuan kat papan kenyataan sebelah Carta Prince Charming tu. Kat situ memang ramai pelajar suka berkumpul." Tak faham bahasa betul Hayrul tu!

      Tapi, kalau dibandingkan Hayrul dengan si Putera Katak ini, dia lebih rela melayan kerenah Hayrul. Walaupun Hayrul menjengkelkan, tapi sekurang-kurangnya Hayrul bukannya seperti Nazrul yang suka serang dari belakang. Memang betul pun orang kata, orang pendiam ni adalah orang yang paling bahaya sekali.

      "Wei, kenapa kau pakai baju sekolah?" tanya Nazrul sambil melihat Nurul atas bawah seperti tidak pernah melihat Nurul berpakaian baju sekolah.

      "Habis tu, aku kena pakai baju apa? Baju renang?" sindir Nurul.

      "Kalau kau pakai baju renang pun aku tak ada selera langsung," jawab Nazrul selamba sambil mengatur langkah.

      Patut ke aku baling fail ni kat kepala dia? Bentak Nurul sendiri.

      Nurul memegang erat fail kuning yang menjadi teman setianya setelah dilantik menjadi pengurus bola sepak. Nafasnya turun naik. Entah kenapa dia geram sangat bila berhadapan dengan Nazrul. Setiap apa yang Nazrul kata mesti menyakitkan hati.

      Tak ada selera langsung? Huh, lelaki kurang normal saja yang cakap macam tu. Nazrul memang kurang normal. Memang patut pun tiada seorang perempuan pun yang mengaku menyukai Nazrul, omel Nurul dalam senyap.

      Tapi, memang betul ke aku ni tak ada daya tarikan langsung? Hati Nurul tertanya-tanya sendiri sambil matanya meliar memandang dirinya sendiri.

      Mungkin sebab tu aku kena reject dulu.

      "Hoi, mak cik, tak payahlah nak pandang-pandang badan sendiri. Memang tak menarik pun," jerit Nazrul yang sudah beberapa kaki di hadapan.

      "Okey, mungkin aku patut humban dia ke dalam loji najis." Nurul mendengus marah.

"KITA nak ke mana ni?" tanya Nurul setelah otaknya penat berfikir ke mana Nazrul hendak membawanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-7-2010 07:39 AM | Show all posts
Sudahlah berjalan kaki di bawah matahari yang panas terik seperti tiada arah tujuan. Lagi satu yang paling dia tidak puas hati, sampai sekarang dia tidak tahu di mana letaknya sekolah Haji Harun.

      Bila ditanya pengetua Haji Harun itu pengetua sekolah mana? Jawapan Nazrul senang saja, Sekolah menengahlah, takkan sekolah rendah pulak… Sejak itu malas Nurul hendak bertanya soalan pada Nazrul lagi. Daripada dia tanya soalan pada Nazrul, lebih baik dia tanya soalan dengan pokok-pokok di sekelilingnya. Sudah semestinya tidak menyakitkan hati.

      Sekali lagi Nazrul senyap walaupun dia sudah berkali-kali bertanya soalan yang sama. Bila dia mendongak memandang Nazrul di sebelahnya, betapa panasnya hatinya apabila melihat kedua-dua telinga Nazrul di sumbat oleh earphone. Patutlah sepanjang dia berjalan seiringan dengan Nazrul, dia terdengar muzik rancak. Ingatkan muzik itu datang dari kereta-kereta yang lalu-lalang.

      "Huh!" Nurul mendengus marah.

      Tanpa mempedulikan Nazrul yang melayan muzik yang bergendang di telinganya, Nurul membuka payung yang sentiasa dibawanya ke mana sahaja kerana tidak tahan dengan cuaca yang terlampau panas. Nanti tak pasal-pasal kulitnya hitam. Sudahlah kulitnya jenis yang suka merajuk bila berjemur di bawah cahaya matahari.

      "Kenapa nak pakai payung pulak?" celah Nazrul setelah beberapa kali wajahnya tercucuk bucu payung Nurul. "Kan matahari tu baik untuk kulit."

      "Lantak akulah. Kulit aku bukannya kulit kau," balas Nurul selamba.

      Memang dia sudah agak, apa yang dia buat mesti ada saja yang tidak kena. Sekarang hendak pakai payung pun salah.

      "Memanglah kulit kau, tapi bucu payung ni dah berapa kali tercucuk muka aku. Nasib baik muka, kalau tercucuk mata aku, buta mata aku, siapa nak jawab kat mama aku?"

      "Hah, nak mengadu kat mama kau, mengadulah. Anak mama!" Nurul menjelir lidah. Puas hatinya. Dengan Nazrul memang tidak boleh diberi muka. Kalau tidak, memang sakit hati saja melayan. Macam manalah semua ahli rasmi boleh tahan dengan perangai Nazrul yang tidak normal itu. Mungkin lebih baik dia biarkan Nazrul tidur sepanjang masa. Aman dunia!

      "Bak sinilah aku pegang." Payung tersebut dirampas Nazrul dari tangan Nurul. "Sudahlah pendek, pegang payung pun tak reti."

      "Payung aku suka hati akulah nak pegang macam mana." Payung merah tadi dirampas Nurul kembali.

      "Masalahnya, payung kau ni bahaya sangat. Sampai nak tercucuk mata aku." Nazrul merampas kembali payung di tangan Nurul. "Sepatutnya biar orang yang lagi tinggi daripada kau pegang payung ni. Kalau tak, satu-satu kawan kau akan jadi orang kurang upaya."

      "Lantaklah! Yang penting, itu payung aku, lagipun tak ada undang-undang di Malaysia ini melarang orang yang pendek macam aku pegang payung."

      Nurul cuba merampas dari tangan Nazrul, tapi Nazrul sudah bersedia dengan menggenggam erat batang payung daripada dirampas oleh Nurul.

      "Dengar cakap aku sajalah. Biar aku pegang. Apa salahnya mengalah sekali." Nazrul sekadar menggeleng apabila Nurul masih lagi cuba menarik payung dari tangannya. Nampaknya gadis itu tetap tidak mahu mengaku kalah.

      "Jangan harap!" tegas Nurul dengan nafas turun naik. Barangkali bengang dengan situasi tersebut.

      Nazrul pelik betul dengan perempuan seperti Nurul, hendak tolong sikit pun meradang sampai hendak bom satu dunia lagaknya.

      Nurul kemudiannya meletak fail di tempat perjalanan kaki dan tanpa membuang masa dia menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk menarik payungnya dari tangan Nazrul. Ternyata tenaga lelaki lebih kuat daripada tenaga perempuannya tapi itu tidak bermakna dia akan mengaku kalah. Apatah lagi pada lelaki yang tidak normal seperti Nazrul itu.

      "Lepaskanlah!" marah Nurul.

      "Mengalah sajalah," balas Nazrul pula tetap tidak mahu mengaku kalah.

      "Jangan harap!" Dengan sepenuh tenaga Nurul menarik kuat batang payung.

      Prak! Akhirnya Nurul dapat payung dan Nazrul pula dapat batang payung. Kedua-duanya dapat bahagian masing-masing. Dengan kata lain, payung Nurul terpatah dua.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-7-2010 07:40 AM | Show all posts
"Kan senang, masing-masing tak payah pegang payung," jawab Nazrul selamba sambil membuang batang payung di tangannya ke tepi jalan tanpa mempedulikan perasaan Nurul yang bercampur baur itu. Dia meneruskan langkahnya.

      "Mungkin aku patut cincang dagingnya lumat-lumat selepas ni." Nurul mendengus marah. Payung di tangannya dibuang ke tepi. Sakit hati saja kalau dia masih memegangnya.

NURUL mendongak memandang papan tanda di hadapannya. Dikelip-kelip matanya berkali-kali. Barangkali tersalah lihat. Kemudian, selepas tidak puas hati dia menggosok-gosok kedua-dua matanya pula untuk memastikan sesuatu. Bila dibuka matanya semula, perkataan Butik Sukan jelas terpampang di hadapan matanya. Betul matanya tak silap. Ini bukannya sekolah, tapi sebuah butik yang menjual pakaian sukan khas untuk orang perempuan.

      "Err… apa yang kita buat kat sini sebenarnya?" tanya Nurul pelik. Kemudian memandang Nazrul yang masih tenang di sebelahnya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku terhadap dirinya. Benarlah kata Ridzwan, tiada siapa yang dapat agak apa yang difikirkan oleh Nazrul dan bersedia sajalah kalau ada apa-apa yang berlaku nanti.

      "Tukar baju," jawab Nazrul pendek.

      "Hah?"

      "Tukar bajulah, pekak."

      "Aku tak pekak. Aku dengar kau kata tukar baju, tapi kenapa pula nak tukar baju?" Sekali lagi darah Nurul seakan mahu menyirap naik. Marahnya tadi pun masih belum berkurangan lagi dan kini Nazrul paksa dia tukar baju.

      "Takkanlah aku nak bawa kau pergi tengok perlawanan bola sepak dengan pakai baju sekolah kita. Dah tentulah orang lain dapat syak yang kita sebenarnya sedang mengintip perlawanan tu," jawab Nazrul tenang.

      Nurul mengerut dahi. Patutlah dia pelik melihat Nazrul hanya berbaju-T dan berseluar jean saja sejak muncul di bus stop tadi.

      "Yang kau tak bagi tahu awal-awal kenapa?"

      "Dah tahu nak mengintip, gunalah otak sikit."

      "Manalah aku tahu aku kena jadi pengintip hari ni. Kalau aku tahu pun, gerenti aku tak nak ikut. Aku nak balik!"

      Belum sempat Nurul mengorak langkah pergi, Nazrul pantas menangkap tangan Nurul dan ditariknya masuk ke dalam butik tersebut.

      "Aku nak baliklah!" tengking Nurul marah.

      Memang dia pantang betul kalau ada orang memaksanya buat sesuatu kerja yang dia sendiri tidak suka. Apa yang dia paling marah adalah apabila tangannya disentuh seseorang yang bukan muhrim.

      "Lepaslah tangan aku ni…" Nurul meronta, cuba melepaskan tangannya daripada genggaman Nazrul.

      "Kalau aku lepaskan, gerenti kau lari," jawab Nazrul selamba sambil membelek-belek baju sukan di dalam kedai itu. "Kau suka warna apa?"

      "Lepaskan tangan aku."

      "Kau suka warna apa?" tanya Nazrul lagi.

      "Lepaskan tangan aku dulu!"

      "Kau suka warna apa?" tanya Nazrul lagi sambil terus menyelak sehelai demi sehelai baju yang tersangkut.

      "Lepaskan tangan aku dulu dan aku akan jawab soalan kau tu."

      "Jawab dulu dan lepas tu baru aku lepaskan tangan kau." Nazrul masih lagi tidak mahu mengalah.

      "Okey, aku suka warna pink." Akhirnya Nurul terpaksa mengalah. "Jadi, lepaskan tangan aku sekarang."

      "Okey." Tangan Nurul dilepaskan dan serentak dengan itu Nazrul menghulurkan baju sukan berwarna biru kepada Nurul.

      Nurul terpinga-pinga. Rasanya dia baru saja kata dia suka warna pink dan bukannya warna biru tapi sekarang, Nazrul memberinya baju warna biru, kepadanya. Adakah Nazrul ini buta warna?

      "Err… ini warna biru," kata Nurul.

      "Aku tahu."

      "Tadi aku cakap aku suka warna pink."

      "Tapi, aku suka warna biru," jawab Nazrul pendek.

      Terkebil-kebil mata Nurul mendengar jawapan selamba daripada Nazrul. Tadi beria-ia tanya dia suka warna apa setelah diberitahu, Nazrul memberinya baju warna biru dengan alasan dia suka warna biru. Normal atau tidak normal sebenarnya Nazrul ini?

      "Kan aku cakap aku suka warna pink." Sekali lagi pertengkaran berlaku.

      "Kan aku cakap, aku suka warna biru," balas Nazrul yang seperti biasa tidak mahu mengaku kalah.

      "Lantaklah kau suka warna biru ke, warna hijau ke, tapi sekarang ni aku suka warna pink. Kenapa pula aku perlu pakai warna baju yang kau suka?"

      "Sebab aku suka warna biru," jawab Nazrul dengan jawapan yang sama.

      "Ah! Lantaklah! Kau pakailah baju biru ni, aku nak balik!"

      Baju-T yang diberi oleh Nazrul tadi diletak di tempatnya semula sebelum dia melangkah  jauh daripada Nazrul. Mungkin sampai setakat ini sajalah dia ‘dating’ dengan Nazrul yang dianggap orang yang paling tidak normal di dunia.

      Tiba-tiba… Crekk… Bunyi baju koyak!

      Dengan perlahan Nurul berpaling memandang tangannya yang cuba ditarik oleh Nazrul, tapi malangnya, Nazrul tersilap tarik. Lengan baju kurung sekolahnya ditarik Nazrul sehingga terkoyak di bahagian bahu. Kalau terkoyak sedikit tu boleh lagi dia terima, tapi masalahnya lengan bajunya sudah terlerai dari baju sekolahnya.

      "Err…" Nazrul tiba-tiba kaget. Matanya terkebil-kebil memandang helaian lengan baju Nurul yang sudah tercerai dari baju dan berada di dalam genggaman tangannya. Dia kemudiannya memandang wajah Nurul yang kelihatan merah. Sama ada menahan malu atau menahan marah, dia sendiri tidak pasti. Rasanya dia tiada masa untuk meneka jawapan antara dua itu.

      "Nazrul!"

      Jeritan Nurul kedengaran tidak lama selepas itu sehingga boleh menggegarkan kedai butik itu.

      Sah! Nurul sedang marah!

Nurul yang lengkap berbaju-T biru dan berseluar sukan yang juga berwarna biru, sekali lagi mendengus marah. Masuk kali ini, sepanjang dia berjalan menuju ke Sekolah Haji Harun, dia asyik mendengus tidak puas hati. Tangannya memeluk tubuh. Mukanya masam mencuka, manakala matanya asyik memandang tajam ke arah Nazrul yang dua langkah maju di depan. Paling sakit hatinya apabila mendengar siulan Nazrul yang berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi.

      Mungkin lepas ni aku patut bagi anjing ratah tulangnya, desis hati Nurul yang hampir rentung dibuat Nazrul hari ini. Lepas satu-satu yang berlaku. Kalau macam inilah selalu, pasti dia akan kena heart attack atau hatinya rosak kerana Nazrul.

      "Dah sampai," ujar Nazrul yang berhenti secara tiba-tiba di hadapan sebuah pagar sekolah.

      Nurul di belakang turut berhenti berjalan. Dia sendiri tidak menyedari ke mana kakinya melangkah. Mana tidaknya, sejak keluar dari butik sukan tadi, hatinya panas membara bila teringatkan peristiwa yang memalukan tadi. Bila hatinya dah panas, seluruh tubuhnya panas sehingga tubuhnya tidak dapat menumpukan perhatian dan mungkin sebab itulah kakinya hanya mengekori langkah Nazrul. Kalaulah Nazrul tu pembunuh bersiri, mungkin sudah lama dia termasuk perangkap Nazrul tanpa disedari.

      Nurul memandang sekeliling. Pelik. Entah kenapa dia rasa dia macam pernah jejak saja ke sekolah itu. Persekitaran dan reka bentuk bangunan sekolah seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Malah, bukan saja lihat, tapi dia rasa macam pernah bersekolah di sekolah itu saja.

      "Takkanlah…" Terus dia berpatah balik melihat nama sekolah yang terlekat kemas di atas dinding batu bersebelahan pagar sekolah. SEK. MEN. KEB. SETIAWASIH.

      Setiawasih! Bukan ke ini sekolahnya dahulu sebelum dia berpindah rumah pada tahun lepas? Dan, Haji Harun tu… pengetua sekolahnya dulu!

      Serentak itu, Nurul menepuk dahinya. Ini sekolah lamanya! Kenapa aku boleh tak perasan ni?
Reply

Use magic Report

Post time 31-7-2010 03:02 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2010 07:51 AM | Show all posts
10

NURUL memandang sekeliling kawasan SMK Setiawasih. Kagum. Tidak sangka baru dua tahun dia meninggalkan sekolah tersebut, banyak perubahan ketara yang dapat dilihatnya. Antaranya, semua bangunan sekolah sudah dicat warna biru cair berbanding warna putih dahulu. Itu pun seingat dia, warna bangunan seakan pudar, malah ada yang ditumbuhi lumut.

      Jika dahulu, Taman Botani yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar dipenuhi dengan rumput-rumput panjang. Tapi, kini sudah dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bunga dan di tengahnya terdapat tiga buah pondok yang lengkap dengan kerusi meja. Terdapat beberapa orang pelajar sedang berbual sambil mengulang kaji pelajaran di bawah pondok tersebut.

      Sedang asyik dia memerhati keadaan sekeliling yang sudah berubah, baru dia perasan, Nazrul yang datang bersama dengannya tadi sudah menghilangkan diri tanpa dikesan. Sedar-sedar saja, dia kini berdiri seorang diri di situ. Malas dia hendak mencari lelaki itu. Buat sakit hati adalah. Hari ni saja, sudah berapa kali Nazrul membuatnya bengang tahap gaban. Agaknya kalaulah Gaban masih wujud lagi sampai hari ni, Gaban pun takut dengannya.

      Begitu lama rasanya dia tidak menjejak kaki ke situ. Walaupun tempat tinggalnya tidak jauh dari sekolah lamanya itu, tapi dia jarang ke situ disebabkan tiada apa-apa yang menarik. Kawan-kawan? Huh, di sini dia langsung tidak kenal siapa kawannya. Tapi, yang paling ramai adalah musuh yang dengki dengan kewujudannya.

      Nak kata dia cantik? Tak juga. Wajahnya biasa saja. Tidak putih, tidaklah hitam sangat, ada kedua-dua mata, satu hidung dan satu mulut. Semuanya lengkap. Lagipun di sekolahnya itu terdapat ramai pelajar perempuan yang cantik-cantik belaka. Malah, ada lelaki yang sanggup bergaduh dengan lelaki lain untuk dapatkan perempuan yang mereka idam-idamkan.

      Diana. Nama pelajar yang popular di kalangan pelajar lelaki. Orangnya memang cantik, malah pandai bergaya walaupun dia datang daripada keluarga yang sederhana. Tidak kaya dan tidak miskin. Cita-cita Diana hanyalah satu, iaitu berkahwin dengan lelaki kaya. Dan, lelaki yang kaya yang menjadi mangsa buruan Diana adalah Hazwan.

      Hazwan. Entah bagaimana keadaan lelaki yang dia pernah puja dahulu. Adakah dia masih bersama dengan perempuan dua alam seperti Diana itu? Adakah Hazwan pernah cuba untuk mencarinya memandangkan dia telah berpindah sekolah dengan tergesa-gesa tanpa sempat memberitahu guru-gurunya.

      Dulu selepas sahaja berpindah di rumah barunya, dia asyik berangan bahawa Hazwan akan datang mencarinya semula, tapi betul kata orang, angan-angan cinta hanya tinggal angan-angan. Ia tidak akan jadi nyata.

      "Hisy, apa aku asyik fikir ni…" Lama dia mengelamun. Sedar-sedar saja dia sudah berada di kaki lima yang menempatkan beberapa papan kenyataan yang telah dibahagikan dengan ruangan-ruangan khas. Cuma bezanya, sekolah itu tiada ruangan khas untuk Carta Prince Charming seperti di sekolahnya.

      Jam di tangan dipandangnya. Beberapa minit lagi jam 3.00 petang. Beberapa minit lagi juga perlawanan persahabatan antara Sekolah Haji Harun dengan Sekolah Haji Mansur akan bermula.

      Baru sahaja dia hendak melangkah pergi ke padang, telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa berfikir panjang, dia terus menjawab panggilan tersebut.

      "Hoi, mak cik!" sapa suara di hujung talian.

      Nazrul! jerit hati Nurul. Siapa yang tidak kenal dengan suara dan gaya pertuturan yang sentiasa menyakitkan hati itu. Meskipun dalam telefon, tapi Nurul masih lagi boleh mengecam suara Nazrul.

      "Mak cik, cepatlah. Perlawanan dah nak mula ni."

      "Aku nak pergilah ni. Lagi satu, aku bukan mak cik kau!"

      "Cepatlah! Membebel aje."

      "Aku nak pergilah ni. Tapi, macam mana kau tahu nombor handset aku ni?" tanya Nurul pelik. Setahunya dia belum lagi memberi nombor telefonnya kepada mana-mana ahli rasmi bola sepak lagi.

      "Yalah… Agaknya pergi cari pakwe," balas Nazrul.

      "Banyaklah kau punya pakwe!" Terus Nurul memcepatkan langkah. Selagi dia tidak sampai di sana, selagi itulah hatinya panas. Kalaulah dia boleh bertukar jadi Ultraman, sudah lama dia fire Nazrul tanpa belas kasihan.

      "Habis tu kenapa tak sampai lagi?"

      "Aku tengah jalan nak pergi sanalah ni!" marah Nurul sehinggakan dia hampir terlanggar seseorang. Mujur dia sempat mengelak.

      "Sorry," kata pelajar lelaki yang hampir dilanggar Nurul tadi.

      Langkah Nurul yang terus mara tanpa meminta maaf tadi terhenti sebaik sahaja mendengar suara pelajar lelaki itu. Rasanya suara tadi seperti pernah dia dengari sebelum ini. Dia segera memalingkan kepalanya, melihat gerangan orangnya dan tiba-tiba tubuhnya jadi kaget.

      Hazwan! jerit Nurul dalam hati apabila memandang lelaki yang hampir berlanggar dengannya tadi.

      Hazwan turut memandang Nurul. Lama. Barangkali cuba mengingati gadis yang berdiri di hadapannya itu. Mungkin ingat dan mungkin tidak ingat.

      "Kau ni mengurat pakwe ke?" Suara Nazrul jelas kedengaran daripada telefon bimbitnya. Terus membuatkan Nurul tersedar daripada lamunannya.

      "Yalah! Aku on day way sekarang ni." Terus Nurul berlalu mengangkat kaki tanpa mempedulikan Hazwan. Entah lelaki itu kenal dia lagi atau tidak, dia tidak tahu. Tapi, buat masa sekarang, serang Nazrul lagi penting!

      Mujurlah dia mempunya ingatan yang bagus tentang kedudukan padang sekolah lamanya itu. Tidaklah dia terkial-kial mencari jalan hendak ke sana. Dari jauh, dia sudah dapat mengesan kedudukan Nazrul. Pantas kakinya mengorak langkah mendekati Nazrul.

      "Mana kau dapat nombor telefon aku?" Terus Nurul serang sebaik sahaja dia merapati Nazrul yang sedang mencatat sesuatu di buku nota. Namun, hatinya sempat pula berterima kasih kepada Nazrul yang memilih untuk duduk di bawah pokok angsana dan bebas dari matahari terik. Kalau ada payung, dia tak kisah sangat kalau disuruh duduk di tengah panas. Payung… Ah! Sakitkan hati saja!

      "Bukan ke kau tulis dalam surat tu," jawab Nazrul selamba.

      "Surat? Surat apa?" tanya Nurul lagi.

      Seingat Nurul, dia tidak pernah tulis surat… Surat? Dengan pantas Nurul memandang Nazrul yang masih bersikap selamba. "Maksud kau surat..."

      Tanpa memandang Nurul, Nazrul mengangguk.

      "Kau baca surat tu?"

      "Mak cik, boleh tak diam sikit?" tegur Nazrul sambil menjeling tajam. Kemudian, dia menyambung menulis sesuatu di buku notanya.

      Nurul terus menarik muka masam. Sakit hati betul bercakap dengan Nazrul ni. Memang lelaki yang langsung tiada perasaan.

      Sebentar kemudian Nurul dikejutkan dengan sorakan meriah sekumpulan pelajar perempuan yang baru sahaja turun dari bas sekolah yang sudah lama diparkir di depan pintu pagar padang sekolah itu. Beberapa orang lelaki yang lengkap berpakaian sukan berjersi merah putih turun dari bas tersebut. Saat itulah para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada kaum perempuan menjerit bagaikan disampuk hantu apabila pasukan Haji Mansur turun padang. Belum pernah lagi dia melihat situasi begitu apabila perlawanan bola sepak berlangsung.

      Kalau orang ramai datang dengan berpakaian sukan pasukan kegilaan masing-masing, mungkin dia tidak hairan sangat. Tapi, kebanyakan mereka yang datang pada hari ini terdiri daripada anak-anak gadis yang berpakaian seksi dengan berbedak macam opera Cina. Memakai gincu merah membara seperti sedang bertanding dengan Pak Cik McDonald’s, gincu siapa yang paling cantik dan paling merah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2010 07:52 AM | Show all posts
Hampir terkena culture shock dengan mereka semua itu. Nurul tahu, pelajar lelaki SMK Semarak memang hot sehinggakan ada yang sanggup mati demi memiliki hati mereka. Kacak bukan alasan utama mereka hot, tapi disebabkan semua orang tahu semua pelajar yang belajar di sekolah itu datang daripada keluarga yang ternama dan berada. Siapa yang tidak cair bila melihat kemewahan mereka.

      Ditambah lagi kalau lelaki itu kacak. Huh, ada yang menggelupur bila bertentang mata. Nasib baiklah dia bukan tergolong dalam jenis perempuan yang mudah cair dengan kekacakan atau kekayaan seseorang.

      Sorakan mereka jelas kedengaran. Mujurlah Nazrul mengambil tempat jauh dari khemah penonton. Kalau tidak, mungkin selepas pertandingan ini, dia akan jadi pekak selama-lamanya. Terima kasih kepada Nazrul!

      "Apa yang kau tahu pasal bola sepak?" tanya Nazrul tiba-tiba. Dia masih lagi menulis sesuatu di buku notanya.

      "Bola sepaklah. Pengadil bagi bola, lepas tu, dua pasukan akan berebut bola tu… Emm… macam bodoh pun ada, kan? Hanya sebiji bola dia orang berebut…"

      Perlahan-lahan Nazrul memandang Nurul yang acuh tak acuh menjawab soalannya. Disangkakan Nurul sudah faham dengan sukan, itu tapi nampak gayanya kerjanya akan bertambah.

      "Kenapa? Salah ke?"

      Nazrul melepaskan keluhan berat. Ini masalah berat ni. Seorang pengurus Kelab Bola Sepak langsung tidak tahu apa itu bola sepak. Dia berhenti menulis. Buku nota kembali ditutup dan diletak ke tepi. Kemudian, memandang Nurul di sebelahnya.

      Nurul berasa gugup. Ini kali pertama dia bertentangan mata dengan Nazrul dan ini juga pertama kali dia dapat melihat wajah Nazrul secara dekat. Baru dia perasan, rupanya Nazrul memiliki anak mata berwarna coklat.

      "Apa tujuan kau apply jadi pengurus?" tanya Nazrul.

      "Hah?"

      "Kau pekak ke? Apa tujuan kau apply jadi pengurus?"

      Nurul terdiam. Sejujurnya dia pun tidak tahu kenapa dia jadi pengurus Kelab Bola Sepak. Sofea yang mendaftarkan namanya untuk temu duga pengurus Kelab Bola Sepak. Walaupun dia tidak suka, tapi dia pergi juga dan akhirnya terpilih. Dia boleh letak jawatan, tapi entah kenapa dia masih lagi meneruskan jawatan pengurus itu. Adakah dia berharap dapat berjumpa dengan orang yang menyelamatkannya tempoh hari?

      "Atau kau ada agenda lain?"

      Nurul berpaling memandang Nazrul.

      "Memang ada agenda lain? Kalau kau fikir dengan masuk ke kelab kami kau boleh cari calon suami, lupakan sajalah."

      "Kau ingat aku ni terdesak sangat ke nak kahwin sekarang?" kata Nurul dengan nada yang tinggi. Menyirap darahnya bila mendengar Nazrul menuduhnya sedemikian rupa. Tak sangka, orang yang suka buat hal sendiri seperti Nazrul boleh berkata begitu. Walaupun selama ini Hayrul sering mempertikaikan kewujudannya sebagai pengurus kelab, tapi dia tidak pernah rasa tersentap dengan kata-kata Hayrul.

      "Habis tu kenapa kau apply jadi pengurus?"

      Nurul hanya senyap. Wajarkah dia memberitahu hal yang sebenarnya? Apa yang terjadi pada dirinya tempoh hari dan menyebabkan dia hampir kehilangan nyawa, tapi mujurlah ada seseorang yang baik hati menyelamatkannya. Dan, orang itu memakai jaket rasmi Kelab Bola Sepak.

      "Tak apa… aku pun tak berminat nak tahu."

      Nurul kembali melemparkan pandangan ke arah padang. Walaupun dia berasa lega, Nazrul menamatkan perbualan itu, tapi dia masih lagi berasa tidak sedap hati. Dia cuba buang perasaan itu jauh-jauh buat seketika dengan mengalih pandangan ke arah padang.

      Hazwan tak main? Hati Nurul bertanya apabila matanya langsung tidak melihat kelibat Hazwan yang sepatutnya beraksi di padang.

      Dua pasukan yang akan bertanding telah beratur berhadapan dengan pasukan lawan. SMK Haji Harun yang berjersi hijau, manakala SMK Haji Mansur berjersi merah putih. Rasanya ini pertama kali dia menonton perlawanan bola sepak selain menontonnya di televisyen.

      Dari jauh dia melihat pengadil yang memakai baju dan seluar hitam memberi sedikit penerangan sebelum sekeping duit siling dilambungkan. Setahunya, duit siling itu adalah penentu di mana gawang gol dan pasukan manakah yang mendapat bola di awal perlawanan. Ia lebih kurang macam bola jaring juga.

      "Berapa pemain dalam bola sepak?" tanya Nazrul bersuara.

      "Sebelas orang. Sepuluh orang pemain dan seorang penjaga gol. Tapi, untuk melayakkan sesebuah pasukan tu ke sesebuah perlawanan, mereka kena ada 15 nama pemain," terang Nurul.

      Nazrul hanya mengangguk. "Fiq yang ajar?"

      "Dia tak ajar, tapi dia bagi buku catatan dia untuk tambahkan pengetahuan tentang sukan ni," kata Nurul selamba.

      Wisel dibunyikan tidak lama selepas itu, menandakan perlawanan telah pun bermula. Sebaik sahaja permain mula menggelecek bola, satu sorakan kuat bergema dengan pekikan suara gadis-gadis sorak di bawah khemah.

      Pelik betul dengan mereka semua yang terjerit-jerit itu. Kalau kipas angin susah mati sekalipun janganlah membazir suara terpekik-pekik macam langsuir kehilangan langsir rumah. Satu keluhan berat kedengaran daripada Nurul. Bosan. Macam manalah lelaki boleh minat sangat dengan perlawanan bola sepak. Sekali-sekala dia akan menjeling Nazrul yang memerhati perlawanan tersebut tanpa berkelip.

      Ini pertama kali juga dia melihat Nazrul sedar. Selalunya bila dia bertemu dengan Nazrul, pasti lelaki itu sedang tidur. Tidur pula macam tak ingat dunia. Siap berdengkur lagi. Tapi, bila orang ajak pergi makan, terus tersedar. Lagi-lagi kalau Rezza yang mengajak.

      "Kau tulis apa tu?" tanya Nurul hairan. Pelik betul dengan Nazrul ni, takkanlah mengarang karangan untuk kerja sekolah bahasa Melayu.

      "Formasi dia oranglah."

      "Formasi?"

      "Teknik atau kedudukan pemain di padang," jawab Nazrul.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-8-2010 07:52 AM | Show all posts
Nurul berkerut dahi. Tidak faham apa yang diberitahu Nurul tadi.

      "Okey, kalau nak menang sesuatu perlawanan, kita tak boleh bergantung pada tenaga saja. Ya, orang nampak memang kita kejar bola, sepak bola ke sana ke mari, tapi sebenarnya ada teknik yang terselindung di dalam perlawanan tu. Macam pasukan SMK Haji Mansur, dia orang menggunakan formasi 4-4-2."

      "Nombor apa tu? Nombor ekor ke?"

      "Banyaklah kau punya nombor ekor."

      "Teka pun salah ke?"

      "Memanglah tak salah, tapi kau tanya soalan yang tak logik. Kau ingat ni judi ke?"

      "Tapi ada jugak orang main judi bola."

      "Memanglah tapi 4-4-2 tu bukannya judi! Tu formasi atau teknik perlawanan semasa di padang. Tulah, lain kali masa aku terangkan jangan nak menyampuk. Dahlah Cikgu Majid tu dah serahkan kau pada aku, kalau kau tak tahu apa-apa pasal semua ni, aku juga yang kena tau!"

      Nurul berkerut dahi. Cikgu Majid serahkan dia pada Nazrul? Untuk apa? Untuk jaganya atau jaga Nazrul yang asyik tidur sepanjang masa? Sesedap hati saja Cikgu Majid nak serahkannya pada orang lain. Ingat dia tidak reti jaga diri sendiri ke?

      "4-4-2 mewakili pemain di padang. Nombor di hadapan adalah jumlah pemain pertahanan. Nombor tengah adalah jumlah permain tengah atau tengah kiri. Dan nombor terakhir adalah bilangan penyerang yang digunakan di padang. Selain 4-4-2 ada banyak lagi teknik lain. Selalunya teknik ni tidak akan kekal hingga akhir perlawan. Ia akan berubah mengikut strategi lawan dan selalunya pengurus atau jurulatih yang akan memberi arahan teknik apakah yang akan digunakan semasa di padang nanti. Faham?" terang Nazrul.

      "Err… sikit-sikit."

      "Balik ni buat research pasal bola sepak. Aku rasa kat Internet berlambak pasal teknik bola sepak. Kau bacalah kalau kau tak faham. Tapi, aku mintak sangat kau baca sebab kami perlukan pengurus yang arif dengan bola sepak dan bukannya arif dengan menulis surat cinta."

      Nurul menjeling tajam. Ada juga yang hendak kena hentak dengan failnya pula nanti. Tak habis-habis nak memerlinya dengan surat cinta.

      "Tahulah…"

      Nurul kembali memandang pertandingan yang sedang berlangsung di tengah padang. "Kenapa kita perlu jadi pengintip? Aku tengok perlawanan ni macam perlawanan biasa saja."

      "Kau tengok memang biasa, tapi lihatlah nanti. Sekolah Haji Mansur akan menjaringkan gol."

      Tidak lama selepas Nazrul berkata, kedengaran para penyokong SMK Haji Mansur bersorak kemenangan apabila salah seorang penyerang mereka menjaringkan gol pertama pada minit ke 15 perlawanan.

      "Kau ni ahli nujum ke?" Nurul bertanya seakan tidak percaya.

      "Itu dinamakan analisis dalam perlawanan. Kau ingat main bola ni, hanya main kat tengah padang ke? Kalau dia orang pakai strategi, kita kena balas balik dengan analisis. Cari kelemahan dia orang, cari ruang kosong dan yang paling penting hapuskan strategi dia orang tu. Itulah sebabnya kita perlu jadi pengintip hari ni," terang Nazrul.

      "Hah? Macam tu ke? Aku ingatkan main redah aje. Tapi, macam mana kau tahu?"

      "Sebab aku daripada keturunan ahli nujum."

      Serentak itu Nurul menarik muka. Bila masa dia mula serius, Nazrul pula buat lawak haiwan.

      "Tugas kau, cuba perhatikan pemain nombor sembilan dan sepuluh tu. Tengok saja pergerakan dia orang dan guna otak untuk fikir," ujar Nazrul sebelum menutup buku notanya dan disimpan ke dalam beg sekolahnya. "Aku nak pergi tandas kejap. Kau jangan menggatal nak mengurat lelaki lain. Ingat tugas kau."

      "Tahulah! Kau pula jangan nak tidur dalam tandas tu."

      "Kalau aku nak tidur, aku takkan pilih tandaslah untuk landing. Tahulah aku cari tempat yang strategik sikit nak landing," balas Nazrul pula.

      "Jangan lama-lama! Tu mesti sah nak tidurlah tu," ujar Nurul separuh menjerit.

      Nazrul buat pekak saja. Langkah kaki diatur laju. Sebaik sahaja dia melepasi pintu pagar sekolah tersebut, dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Butang telefon bimbit ditekan-tekan mencari nama Rezza. Tanpa membuang masa, dia terus menelefon Rezza, kawan karibnya itu.

      "Rezza, tolong aku…" ujarnya sebaik sahaja panggilan disambut oleh Rezza.
Reply

Use magic Report

Post time 17-8-2010 12:55 PM | Show all posts
nak lagi
Reply

Use magic Report

Post time 8-9-2010 12:07 PM | Show all posts
tak sambung lagi ke best ni....
Reply

Use magic Report

Post time 24-10-2010 06:16 PM | Show all posts
ermmmm....rasa cam tak akan ada sambungan yer dah nie......
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-10-2010 04:25 PM | Show all posts
hehehe...mcm2 si nurul.. nak lagi....
Reply

Use magic Report

Post time 1-11-2010 03:39 PM | Show all posts
mana ni...
Reply

Use magic Report

Post time 2-11-2010 12:09 PM | Show all posts
next day....

x ada lg...
Reply

Use magic Report

Post time 3-11-2010 11:58 AM | Show all posts
Buku ni dah ada di pasaran
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-11-2024 08:55 PM GMT+8 , Processed in 0.072450 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list