|
kalu free letak n3 lagi erkkk... |
|
|
|
|
|
|
|
5
"SO sweet…" Sofea separuh menjerit di kamar tidurnya sebaik sahaja Nurul menceritakan kejadian petang tadi.
Mana boleh Nurul tidak bercerita pada Sofea. Sofea seperti ahli nujum, tahu sahaja dia mesti ada cerita-cerita terkini yang perlu dikongsi bersama. Dia pula sememangnya tidak boleh menahan dirinya daripada menceritakan segalanya kepada Sofea. Mungkin dia dilahirkan untuk bercerita tentang dirinya kepada Sofea agaknya.
"Sweet apa kebendanya! Aku hampir hilang nyawa nak kena langgar, kau boleh kata sweet? Atau, kau memang bercita-cita kereta tu bercium dengan aku?" balas Nurul mencebik. Punyalah bersemangat dia bercerita tentang kejadian hampir kena langgar siang tadi, alih-alih Sofea seperti suka pula dia kena langgar.
"Sweet tu aku tujukan kepada Fiq yang selamatkan kaulah! Lupakan tentang kereta yang hampir tercium kau tu. Tapi, walau bagaimanapun kau tetap kena berterima kasih dengan pemandu kereta tu sebab kalau tak kerana dia, mungkin kau takkan mengalami bagaimana rasanya jadi heroin dalam cerita cinta."
Sofea sudah mula merepek tidak tentu pasal.
"Kau memang nak aku bercium dengan kereta tu, kan? Cakap sajalah!" Nurul menjeling tajam.
Tapi, ada benar juga cakap Sofea tadi, mungkin dia patut berterima kasih dengan pemandu kereta yang hampir melanggarnya siang tadi. Kalau tidak kerana kecuaian pemandu itu, mungkin dia tidak akan mengalami satu perasaan yang sangat indah. Tapi… dia hanya akan lakukan apabila dia tidak normal. Sekarang, dia normal! Jadi, mesti menjadi senormal yang mungkin.
"Relakslah… Kau tahu tak, ramai perempuan sekolah kita tu tergila-gilakan Fiq. Ada yang nak bercakap dengan Fiq pun payah, apatah lagi nak berjalan berdua-duaan dengan Fiq atau bersentuh tangan dengan Fiq. Tapi, kau dengan mudah saja boleh buat semua tu dalam sekelip mata," kata Sofea lagi cuba mengagung-agungkan Fiq.
Nurul tahu semuanya. Dia juga tahu Fiq jenis yang sukar ditangkap. Orangnya memang kacak dan mempunyai pakej yang lengkap untuk dijadikan pasangan setiap perempuan. Tapi, dia tidak menggunakan semua itu untuk berfoya-foya dengan perempuan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki di sekolahnya. Malah, selama dia bersekolah di situ, dia memang tidak pernah mendengar desas-desus Fiq dengan mana-mana perempuan kecuali pelajar-pelajar yang gedik mengaku bahawa Fiq adalah teman lelakinya dengan alasan, Fiq rapat dengan mereka.
Pada masa itu dia memang tidak ambil pusing dengan segala yang terjadi di sekolah. Baginya, gosip-gosip cinta hanyalah membuang masa sahaja. Waktu sekolah begini sepatutnya menimba ilmu dan mencipta kenangan manis untuk memori masa depan. Nanti, asyik sibuk bercinta, pelajaran ke mana, kenangan manis untuk dicipta hilang macam itu sahaja.
"Kalaulah aku ada masa tu, mesti aku cemburu gila!" kata Sofea lagi dengan mata yang bersinar-sinar.
"Tak payahlah kau nak cemburu dengan aku yang semestinya tiada apa-apa hubungan dengan Fiq."
"Aku terfikirlah… Aku rasa aku patut koyak Carta Prince Charming tu!"
"Sofea, berapa kali aku cakap, apa yang berlaku ni tak ada kena-mengena dengan Carta Prince Charming atau sumpahan puteri yang mengarut tu. Semua ni nasib saja. Allah dah tentukan nasib kita, bukannya Carta Prince Charming tu," tegas Nurul. Mungkin dia patut bakar Carta Prince Charming itu lain kali.
"Yalah tapi cubalah kau fikir, semua ni bermula selepas kau koyak Carta Prince Charming tu. Kalau kau tak koyak, aku rasa hidup kau aman damai agaknya."
"Sofea, cubalah kau fikir… semua ni bermula selepas kau pandai-pandai letak nama aku dalam senarai yang perlu hadiri temu duga untuk jawatan pengurus Kelab Bola Sepak. Dah lupa?" Nurul menjeling tajam.
Sofea tersenyum meleret.
"Kira kau kena ucapkan terima kasih pada akulah ya sebab aku melakonkan watak pembantu dengan berkesan sekali. Dan, sebagai balasannya, kenalkan aku pada Rezza atau Fiq," ujar Sofea dengan senyuman yang dibuat-buat.
"Ah, barulah aku tahu kenapa kau beria-ia sangat letak nama aku sebagai calon jawatan tu. Rupanya ada udang di sebalik batu. Maaf, sayang, aku takkan sesekali tolong kau dalam hal ini. Kalau kau nak berkenalan dengan dia orang berdua, gunakan sihir cinta kau sendiri."
"Cis, tak mengapa. Kau ingat pelakon pembantu tak diberi perhatian ke? Suatu hari nanti aku akan pastikan Rezza atau Fiq berada dalam genggaman aku."
"Mungkin aku patut bagi warning pada mereka berdua!"
"Nurul, kan?" tegur seorang pelajar senior.
Nurul mengangguk tanpa teragak-agak. Memang dalam kelasnya, hanya dia sahaja yang bernama Nurul. Tapi pelik juga, awal-awal pagi lagi dia dikejutkan dengan kedatangan seorang pelajar perempuan senior yang hanya dikenalinya dengan nama Kak Aiza.
"Kenapa?" tanya Nurul hairan. Mana tidaknya, kalau ketua pengawas perempuan sudah mencarinya, pasti ada kesilapan yang sudah dia lakukan, tapi apa? Seingatnya, selama dia bersekolah di situ, dia tidak pernah melakukan kerja-kerja keganasan yang merosakkan harta benda awam atau mengores hati orang awam, terutamanya melanggar peraturan sekolah. Oh, lupa… Ada! Carta Prince Charming!
Tapi, takkanlah perbuatannya yang mengoyak Carta Prince Charming, dia akan dikenakan tindakan tatatertib? Gila apa? Mana ada undang-undang macam tu. Dalam buku undang-undang sekolah pun tiada tercatit satu pun tentang Carta Prince Charming.
"Akak nak minta tolong sangat-sangat ni," kata Kak Aiza seperti cacing kepanasan.
Dengar saja Kak Aiza ingin meminta tolong, Nurul berasa lega. Namun, perasaan itu hanya singgah sebentar sahaja sebab dia mula terfikir pertolongan yang bukan-bukan. Contohnya, tolong minta maaf dengan peminat-peminat Carta Prince Charming secara terbuka sebab mereka sedang melancarkan mogok besar-besaran. Ah, ada ke?
"Tolong apa?" tanya Nurul malas hendak fikir yang selanjutnya.
"Akak nak minta tolong sangat-sangat. Akak tak tahu nak buat macam mana lagi dah ni. Dah bermacam-macam cara dah kami lakukan, tapi tak berjaya juga."
Nurul menggaru kepala walaupun dia memakai tudung. Entah apa kena dengan ketua pengawas perempuan ni yang tiba-tiba minta tolong dengan cara mendayu-dayu. Seingatnya, sumbangannya dalam aktiviti sekolah memang dikatakan zero. Dan, pihak sekolah pula tidak pernah memandangnya sebagai pelajar yang hebat.
"Nak tolong apa ni?" tanya Nurul yang tidak boleh bersabar lagi.
"Tolong kejutkan Nazrul bangun," pantas mulut Kak Aiza berkata.
"Hah?!" Hampir terjerit Nurul mendengarnya.
Langkah Nurul pantas mengekori langkah Kak Aiza. Jari-jemarinya diletup-letupkan sambil cuba menahan marah. Kalaulah tidak kerana Kak Aiza yang merayu-rayu tadi, memang dia tidak akan berganjak.
"Tolonglah, Nurul, Cikgu Rosli dah mengamuk kat kelas tu. Semua benda dia dah baling kat Nazrul, tapi dia tu macam tak ada perasaan. Kami semua pun dah puas cuba kejutkan dia, tendang meja dia, tendang kerusi dia, tapi dia tak bangun juga. Akak pun tak tahu macam manalah dia boleh tidur dengan lena walaupun teruk kami kerjakannya," ujar Kak Aiza sambil menggeleng. |
|
|
|
|
|
|
|
"Habis tu, selama ni siapa yang kejutkan dia bangun?" tanya Nurul dalam situasi hendak percaya atau tidak. Mana tidaknya, ada ke orang tidur macam mayat bernyawa sampai orang hentam pun tidak bangun-bangun.
"Rezza, tapi Rezza ada kuiz pula hari ni. Cikgu Nora tak akan lepaskan Rezza selagi waktunya belum tamat. Tahulah Cikgu Nora tu memang anti gila dengan Nazrul. Rezza pula terpaksa ikut arahan cikgu dan dia suruh akak cari Nurul. Dia kata Nurul mesti boleh bangunkan Nazrul."
Oh, aku memang boleh bangunkan Putera Katak tu. Tapi, sebelum tu tolong sediakan satu baldi besar air panas yang baru mengelegak. Hati Nurul berkata.
Dengan penjelasan Kak Aiza tadi, Nurul dengan separuh hati akhirnya bersetuju untuk menolong mereka kejutkan Putera Katak. Bila difikir kembali, ada ke manusia macam Nazrul dalam dunia ni?
Tiba sahaja di kelas yang dituju, jantung Nurul tiba-tiba berdegup kencang. Mana tidaknya, apabila dia melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya.
"Ah, dapat jumpa Rezza?"
Masuk-masuk saja, Encik Rosli sudah menyapa mereka berdua dengan suara lantang. Hampir kecut perut Nurul melihat wajah bengis Encik Rosli yang sememangnya bengis. Lagi kecut perutnya apabila Encik Rosli memandangnya.
"Ni minah mana pula yang kamu bawa ni? Bila masa pula Rezza dah bertukar jadi perempuan?"
Walaupun kata-kata Encik Rosli tadi agak melucukan, tapi tiada siapa pun yang berani membuka mulut untuk ketawa. Namun bagi Nurul, ia langsung tidak lucu.
"Cikgu Nora buat kuiz sekarang, jadi Rezza tak dapat keluar kelas. Tapi, dia suruh saya cari Nurul. Rezza kata Nurul boleh tolong kejutkan Nazrul."
"Oh…" Encik Rosli menjeling Nurul dengan tajam. "Jadi, kamu ni teman wanita Nazrullah?" Dengan sesedap mulut sahaja Encik Rosli berkata.
Serentak dengan itu dengar pula suara-suara sumbang yang berbisik-bisik di belakang.
Nurul tidak berkata apa, tapi sebaliknya dia membalas apa yang dilemparkan kepadanya tadi dengan pandangan yang tajam. Kali ini dia tidak peduli yang di hadapannya cikgu ke, pengetua ke, Perdana Menteri ke… Apa yang penting, orang di hadapannya itu sudah meletupkan bom jangka yang sudah lama tidak aktif. Tambah-tambah lagi semasa dia sedang kibarkan bendara Jepun. Memang silap waktulah.
"Dah, dah... Pergi kejutkan si Nazrul tu…" Encik Rosli kelihatan cuba melarikan diri daripada pandangan Nurul.
Dengan satu dengusan marah, Nurul melangkah pantas menghampiri Nazrul yang masih lagi berdengkur dan tidur dengan nyenyak. Di sekitar meja Nazrul terdapat pemadam papan putih yang mungkin dibaling oleh Encik Rosli tadi.
Dia tahu, sekarang dia sedang menjadi perhatian umum, tapi dia langsung tidak pedulikan semua itu selagi tidak bangunkan Putera Katak itu. Entah sejak bilalah pula dia pegang tugas sebagai dayang yang perlu bangunkan Putera Katak?
Pandangannya tajam memandang Nazrul sambil kedua-dua tangannya memeluk tubuh. Apakah yang patut dilakukan sekarang? Hentak kepala Nazrul ke meja atau tumbuk muka Nazrul seperti tempoh hari? Atau, cipta satu bom dan masukkan ke dalam mulut Nazrul? Tak pun bakar rambut Nazrul? Yang manakah lagi kejam?
Tapi, kejam bukan bermaksud pada perbuatan yang kejam sahaja. Banyak lagi caranya dan salah satu daripadanya adalah menggunakan cara yang halus. Tiba-tiba Nurul tersenyum maut.
"Nazrul…" Dengan suara mendayu-dayu Nurul memulakan misinya mengejutkan Putera Katak itu.
Pelajar-pelajar yang melihatnya, sedaya upaya menahan ketawa. Dia juga mendengar bisikan mereka yang menganggap ia bukan satu rancangan yang baik dalam mengejutkan Nazrul bangun.
Tapi, mereka salah! Dengan perlahan-lahan Nazrul kelihatan mula sedarkan diri. Lagi mengejutkan mereka semua apabila dengan satu panggilan yang mendayu-dayu membuatkan Nazrul bangun daripada tidur sambil menggeliat malas. Tapi, Nurul langsung tidak terkejut dengan tersedarnya Nazrul. Sebaliknya dia meletup-letupkan jari-jemarinya. Bersedia untuk pembalasan!
Nazrul yang membetulkan otot-otot lehernya yang lenguh itu tiba-tiba terperasan ada satu aura membunuh di hadapannya. Dengan perlahan dia memandang ke hadapannya. Kelihatan seorang pelajar perempuan yang dikenalinya sedang berdiri di hadapannya sambil memandang dengan pandangan maut. Macam ahli sihir yang kelaparan tulang manusia pun ada.
"Hah!" Seperti ada orang menyergahnya tiba-tiba sebaik sahaja dia melihat wajah Nurul yang bengis memandangnya. Serentak dengan itu juga, kerusi yang dia duduki entah bagaimana terjengket dan dia tersungkur jatuh.
"Aduh…" Nazrul merungut sambil mengurut kepalanya yang terhantuk meja.
Nurul pula tidak ambil pusing. Nasib baiklah dia dapat menahan perasaan marahnya tadi, kalau tidak memang lebam mata Nazrul ditumbuknya.
"Bukannya susah sangat nak kejutkan Putera Katak tu…" kata Nurul sebelum berlalu pergi. Ketika itu, kelas tersebut menjadi riuh. Barangkali mereka tidak percaya Nurul boleh kejutkan Nazrul dengan hanya satu panggilan yang mendayu-dayu.
"Eh, tadi aku dengar yang kau kejutkan Nazrul bangun." Sofea yang entah datang dari mana tiba-tiba menyapa Nurul ketika dia hendak menyuap nasi.
Hampir lemah jantung Nurul apabila disapa begitu, ditambah lagi apabila nama Nazrul disebut-sebut. Sudahlah marahnya pada Nazrul masih belum reda lagi.
"Jahatlah kau. Sepatutnya aku sebagai kawan karib kau mesti tahu terlebih dahulu cerita-cerita terkini dan sensasi ini dan bukannya daripada orang lain." Sofea mencebik bagaikan kanak-kanak yang disakat orang.
"Boleh tak tolong jangan sebut nama dia masa aku tengah makan," ujar Nurul yang tiada mood untuk melayan sesiapa sekarang. Semuanya gara-gara terpaksa bangunkan Nazrul pagi tadi. Malas dia hendak melayan Sofea. Tapi jauh di sudut hatinya, dia kagum dengan tindakan pantas wartawan-wartawan yang tidak bertauliah di sekolahnya yang menyebarkan berita yang tidak berfaedah itu. Jika pihak sekolah mempunyai akhbar harian mereka sendiri mungkin berita ini akan menjadi tajuk besar di dada akhbar. Nurul berjaya mengejutkan Putera Katak bangun daripada tidur!
"Bukankah aku dah kata, kau memang ditakdirkan untuk bersama mereka. Kau memang bertuah Nurul! Berpeluang dikelilingi oleh lelaki yang hebat seperti mereka."
"Kejutkan Putera Katak daripada tidur, kira hebat ke?" Nurul menjeling tajam.
Sofea pula tersengih-sengih.
"Nurul…" panggil Rezza sambil menghampiri Nurul. Di sebelahnya kelihatan Nazrul. Nazrul hanya berdiam diri. Nampak sangat seperti dipaksa oleh Rezza untuk berjumpa dengan Nurul.
"Terima kasih tentang tadi," ucap Rezza terlebih dahulu.
Memang dia serba salah kerana terpaksa menggunakan khidmat Nurul untuk kejutkan kawannya itu bangun daripada tidur. Dia kemudiannya mencuit Nazrul di sebelahnya.
"Err… terima kasih." Dengan tergagap-gagap Nazrul berkata.
Biarpun terkejut dengan ucapan terima kasih daripada Nazrul tadi, Nurul masih lagi tidak berpuas hati. Mungkin sampai tua pun dia akan mengingati peristiwa mengejutkan Putera Katak bangun tidur.
"Hah! Aku harap ini kali pertama dan terakhir aku kena kejutkan kau bangun. Lagi sekali ada orang panggil aku suruh kejutkan kau bangun lagi, aku bangunkan kau dengan air panas!" ugut Nurul tidak puas hati.
Nazrul berbisik sesuatu pada Rezza. Suaranya yang halus membuatkan Nurul tidak dapat mendengar apa yang dibisikannya walaupun jarak mereka hanyalah beberapa meter sahaja. Begitu juga dengan suara Rezza yang menjawab sesuatu dengan berbisik.
"Malangnya, kerja kau adalah kejutkan aku bangun daripada tidur," ujar Nazrul tersengih nakal sebelum mengorak langkah meninggalkan mereka.
"Kenapa aku rasa macam nak siram dia dengan air panas?!"
"Err… Nazrul bergurau saja tu." Rezza cuba menyejukan hati Nurul yang membara.
"Ya. Ya. Nazrul bergurau saja," sokong Sofea sambil matanya tidak berkelip memandang Rezza.
Nurul sekadar menjeling tajam. Itulah Sofea yang sememangnya pantang berhadapan dengan lelaki kacak seperti Rezza. Itu baru Rezza, belum berhadapan dengan Fiq lagi. Mungkin keadaan Sofea lagi teruk dari sekarang dan pada masa itu mungkin juga dia akan simbah Sofea dengan air panas. Mana boleh tahan kalau Sofea tergedik-gedik dengan Fiq. Itu namanya cari nahas! |
|
|
|
|
|
|
|
tersenyum sambil membaca...... |
|
|
|
|
|
|
|
6
"SOFEA, aku rasa aku dah jatuh cinta," kata Nurul tiba-tiba.
Sofea yang sedang menjamah makanan tengah hari sebaik pulang dari sekolah hampir tercekik kerana kedatangan Nurul menceroboh dapur rumahnya tanpa diundang dan berkata sesuatu yang di luar jangkaannya.
"Kau… apa?" tanya Sofea seiring dengan batuk kecil. Nasib baiklah dia tidak tercekik sebaik sahaja mendengar luahan hati kawannya yang tidak dijangka itu.
"Aku dah jatuh cinta," kata Nurul lagi.
Mata Sofea terkebil-kebil beberapa kali. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Rasa bagai bermimpi. Mana tidaknya, kalau Nurul yang selama ini dikenalinya itu berhati batu dan langsung tidak pernah menunjukkan ciri-ciri perempuan yang mudah jatuh cinta, tapi hari ini tiba-tiba meredah masuk rumahnya tanpa beri salam dan kemudian memaklumkan bahawa dia sudah jatuh cinta. Tak ke pelik?
"Kau tak bergurau, kan?" Sofea bertanya inginkan kepastian. Mungkin Nurul tersilap hari bahawa hari ini bukannya 1 April, tarikh yang selalu digunakan oleh mereka-mereka yang nakal membuat lawak membodohkan orang lain.
"Muka aku nampak macam bergurau ke?" Wajah Nurul serius.
"Kau tak sakit, kan?" tanya Sofea lagi.
"Tak! Aku masih waras lagi, cuma aku dah jatuh cinta. Aku tak tahu macam mana boleh jadi begini!" Bagaikan orang hilang akal, Nurul berkata.
"Dengan siapa?"
"Fiq." Tanpa berfikir panjang Nurul memberitahunya.
"Ah, dengan Fiq." Sofea kembali menyuap makanannya.
"Apa maksud kau?" Nurul tidak faham apabila Sofea seperti buat tidak endah sahaja sebaik sahaja mengetahui Fiq adalah orangnya.
"Kalau dengan Fiq memang perkara normal," jawab Sofea.
Bagi Sofia, seorang perempuan jatuh cinta dengan Fiq memang menjadi perkara normal dalam hidupnya sebab apa yang dia dengar, sesiapa yang pernah mengenali Fiq tidak kira secara langsung atau tidak langsung, pasti akan tertawan dengan aura cinta Fiq.
"Tapi, tak normal bagi aku!" balas Nurul tetap tidak puas hati.
Sofea terdiam sejenak. Dia kemudiannya memandang Nurul di hadapannya.
"Ya. Tak normal bagi kau." Akhirnya Sofea terpaksa bersetuju.
"Nurul…" panggil seorang pelajar perempuan sebaik sahaja Nurul melalui hadapan kelas tingkatan lima untuk ke kelasnya.
Seorang pelajar perempuan yang tidak diketahui namanya menghampiri Nurul dan menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru kepada Nurul.
Surat cinta? Hati Nurul berdetik. Hairan! Tidak mungkin surat cinta itu diberikan kepadanya. Seorang perempuan memberi surat cinta kepada perempuan? Dunia sudah nak kiamat ke?
"Tolong serahkan kepada Fiq," pintanya perempuan itu.
"Err… ya." Dengan teragak-agak Nurul menyambut surat dari tangan pelajar tersebut walaupun dia masih lagi tidak faham situasi sebenar.
Kenapa dia yang perlu menjadi orang tengah atau posmen untuk memberikan surat cinta orang lain kepada Fiq? Kenapa pula orang itu tidak mahu memberi surat cintanya kepada Fiq sendiri? Kenapa mesti dia? Pelik betullah budak-budak zaman sekarang ini. Hendak bagi surat cinta untuk lelaki idaman pun pakai posmen. Bukankah sekarang ini zaman teknologi canggih, gunalah handset saja dan beritahu isi hati. Habis cerita.
"Terima kasih ya," ucap pelajar itu sebelum mengundur diri.
Nurul masih lagi terpinga-pinga.
"Kenapa aku rasa macam berada dalam komik Jepun saja?" tanya Nurul kepada dirinya sendiri. Dia kemudiannya merenung sampul surat berawan biru di tangannya. Masuk kali ini sudah lebih sepuluh orang menahannya untuk menyampaikan surat cinta kepada ahli pasukan bola sepak yang mereka puja itu. Surat cinta untuk Fiq lebih banyak daripada ahli yang lain.
"KAU nak aku tampar kau ke?" Sofea tiba-tiba mencelah.
"Hah? Kenapa pula? Aku ada buat salah ke?" Nurul memandang Sofea di sebelahnya.
"Mana tahu kau nak aku pastikan kau tak bermimpi sebab tengok banyak surat cinta untuk putera idaman tu atas meja kau," balas Sofea sambil menunjuk ke arah meja Nurul yang penuh dengan surat cinta sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam kelas.
"Idea yang bagus, tapi terima kasih sajalah." Beg sekolah diletak di atas bangku dan dengan penuh kemalasan, Nurul mengemas mejanya yang penuh dengan surat cinta itu. Dalam pada itu, ada juga suara-suara sumbang yang menggertaknya supaya sampaikan surat-surat itu kepada orang yang sepatutnya menerima.
"Aku tak fahamlah… Sejak bila aku jadi posmen mereka?" Nurul yang masih lagi tidak puas hati berkata setelah penat menyusun semua surat cinta itu ke dalam sebuah plastik.
"Kau tak tahu ke?" tanya Sofea pula.
"Tahu apa?"
"Ah, jadi kau tak tahulah."
Nurul dengan perlahan menggeleng. Serius. Dia tidak tahu perkara pelik yang berlaku pada hari ini dan kenapa ramai sangat yang memberi surat cinta untuk pemain-pemain bola sepak kepadanya. Mungkin dia tertinggal sesuatu yang penting tentang tarikh hari ini sehinggakan ramai yang memberi surat cinta untuk pemain bola sepak. Tapi, cara Sofea cakap tadi, nampak gayanya macam ada sesuatu yang tidak kena sahaja.
"Semalam mereka ada keluarkan satu memo," beritahu Sofea.
"Mereka?" Nurul bertanya kembali.
"Budak bola sepak tulah."
"Oh, tapi memo apa?" tanya Nurul. Itu pun setelah dia teringat bahawa dia yang bertanggungjawab dalam pengeluaran memo untuk Kelab Bola Sepak. Mustahil dia tidak tahu-menahu tentang memo terbaru atau mungkin ada orang lain yang dengki telah sabotaj tugasnya.
"Memo tak rasmi," jawab Sofea.
"Yalah, tapi memo apa?" Nurul meninggikan suara.
Nazrul dan Rezza berdiri menghadap papan kenyataan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada pengurusan Kelab Bola Sepak sejak dari tadi apabila terpandang sesuatu yang pelik di papan kenyataan mereka. Kedua-duanya memandang ke arah memo yang tertampal pada papan kenyataan tersebut. Mereka berdua kemudiannya saling berpandangan tanpa mampu berkata apa setelah menghayati apa yang tertulis di sekeping kertas A4 itu.
"Tepi!"
Tiba-tiba sepasang tangan yang kasar menolak kedua-duanya ke tepi. Nurul mencelah antara Nazrul dan Rezza yang menghalang penglihatannya untuk membaca memo tidak rasmi yang dikatakan oleh Sofea tadi dan juga penyebab kenapa dia menerima surat cinta untuk pemain bola sepak daripada peminat-peminat mereka. |
|
|
|
|
|
|
|
Kepada semua peminat-peminat setia,
Mulai dari hari ini, iaitu tertampalnya notis tidak rasmi ini, adalah dimaklumkan bahawa semua urusan berkenaan pemberian surat cinta kepada semua ahli bola sepak perlu melalui pengurus kelab yang baru iaitu saya, Cik Nurul Izzati.
Saya akan mengutip surat-surat cinta anda untuk mengelakkan surat-surat anda tidak sampai ke tangan jejaka idaman anda. Malah, bukan sahaja surat cinta, jika anda ingin menetapkan temu janji dengan salah seorang ahli bola sepak, maka haruslah melalui saya terlebih dahulu. Sekian, terima kasih.
Majulah cinta untuk negara!
Yang benar,
Nurul Izzati
Pengurus Kelab Bola Sepak.
"Bila masa pula aku tulis memo tu?"
Rasa geram yang sudah mula wujud membuatkan Nurul terfikir hendak bom sahaja papan kenyataan itu apabila membaca memo yang menggunakan namanya sebagai pembuat memo tersebut. Patutlah hari ini dia diserang dengan surat-surat cinta.
"Siapa Nurul Izzati? Kenapa aku rasa macam tak pernah dengar saja namanya?" tanya Nazrul tiba-tiba.
"Hah!" Nurul memandang Nazrul. Orang tengah marah, dia ada masa lagi hendak buat lawak bodoh. Tapi, pelik… Cara Nazrul berkata tadi seperti dia tidak kenal langsung siapa Nurul Izzati yang tertulis pada memo tersebut. Walaupun dia baru sahaja dilantik sebagai pengurus kelab, tapi hampir satu sekolah mengenalinya kerana jawatan itu. Tapi, lain pula yang terjadi pada Nazrul.
"Err…" Rezza menggaru kepalanya apabila menyedari Nurul dan Nazrul saling berbalas pandang. "Tak ada apalah dengan memo ni." Tanpa mempedulikan peperangan mata antara Nazrul dan Nurul, dia segera menanggalkan memo tersebut dari papan kenyataan.
"Tak ada apa? Kau kata tak ada apa? Kau tahu tak, lebih sepuluh orang tahan aku pagi tadi semata-mata nak aku serahkan surat cinta untuk jejaka idaman mereka. Tak cukup dengan itu, meja aku penuh dengan surat cinta untuk kau orang. Kau kata itu tak ada apa?!"
"Kalau macam tu, teruskan usaha kau kumpul surat cinta," balas Nazrul selamba sebelum mengorak langkah berlalu dari situ.
"Err… jangan ambil hati dengan apa yang Nazrul cakap. Anggap saja dia tersalah bangun tidur pagi tadi," kata Rezza yang bertindak sebagai agen pendamai.
"Yalah tu…"
"Aku minta maaf tentang apa yang berlaku ini. Kadangkala mereka ni sukar dikawal," kata Rezza berjalan seiringan dengan Nurul.
"Kerja kau hari-hari minta maaf ke?"
Rezza tersenyum. Ini baru pertama kali dia mendengar seseorang bercakap yang lahir daripada suara hati. Terlampau berterus terang. Mungkin bagi setengah orang akan rasa sakit hati dengan orang begini, tapi Rezza, dia kagum dengan Nurul.
"Mungkin juga. Aku ketua mereka dan kapten pasukan bola sepak. Jika ada antara mereka yang buat hal contohnya seperti memo macam ni, aku yang sepatutnya bertanggungjawab sebab tak pandai mengawal mereka. Aku tahu, jaga mereka semua lagi susah daripada jaga budak tadika. Tapi, mereka sebenarnya okey."
"Itu yang aku selalu dengar daripada peminat Putera Idaman," balas Nurul acuh tak acuh. Sememangnya dia sudah muak mendengar puji-pujian yang dilemparkan kepada ahli bola sepak.
"Aku nak tanya kau, apa pandangan kau tentang Carta Prince Charming?" tanya Nurul sengaja membuka topik tentang carta tersebut.
Selama ini dia hanya mendengar komen atau pendapat pelajar perempuan sahaja tentang Carta Prince Charming, kali ini dia ingin mendengar pendapat daripada pelajar lelaki pula apatah lagi Rezza merupakan juara bertahan dalam Carta Prince Charming selain Fiq.
"Oh, Carta Prince Charming… Kau pun suka carta tu?"
"Aku satu-satunya ahli anti Carta Prince Charming di sekolah ini." Dengan selamba Nurul berkata. Tapi, memang betul. Kebanyakan pelajar perempuan mengikuti perkembangan Carta Prince Charming.
Rezza tersenyum.
"Masih ada juga perempuan yang anti dengan carta tu…"
"Kau pula?"
"Sama saja. Sama ada carta tu wujud atau tidak, carta tu hanyalah carta saja. Tapi, baru-baru ini aku mula terfikir sesuatu."
Mereka berdua berhenti di hadapan Carta Prince Charming yang ditampal. Seperti beberapa hari yang lalu, tiada seorang pun yang mendapat gelaran Prince Charming. Takhta Prince Charming kosong.
"Kenapa? Sebab kau tak dapat takhta Prince Charming seperti selalu?"
Rezza sekali lagi tersenyum menggeleng.
"Bukan. Aku dah kata tadi, aku tak pernah pedulikan sama ada carta ini wujud atau tidak," balas Rezza.
"Habis tu?"
"Baru-baru ini aku terfikir mungkin carta ini patut…"
"Patut dibuang?" pantas Nurul memintasnya.
Geleng.
"Habis tu?"
"Patut dipuji."
"Dipuji?"
"Ya. Kalau tak kerana carta ini, semua orang akan bersemangat hendak ke sekolah. Bagi perempuan, mereka ingin melihat siapakah yang mendapat takhta Prince Charming. Bagi yang lelaki, mereka berlumba-lumba untuk mencipta yang terbaik sekali gus menjamin masa depan mereka yang cerah pada masa hadapan."
Tercengang Nurul mendengarnya. Tidak sangka dia mendengar teori tersebut dari mulut Rezza. Kalau dari mulut Nazrul atau Hayrul, mungkin dia akan percaya.
"Kenapa aku rasa kau dah gila?"
Rezza sekadar ketawa kelucuan.
"Kenapa kau ketawa?"
"Mungkin sebab aku sukakan kau," ujar Rezza sebelum mengorak langkah meninggalkan Nurul yang terkejut dengan apa yang dikatanya tadi.
"KAU sengaja nak buat aku cemburu dan mulakan perang dunia ketiga dengan kau, bukan?" kata Sofea sebaik sahaja Nurul menceritakan apa yang dibualkan dengan Rezza pagi tadi sambil menyusun surat-surat cinta yang diterimanya.
"Buat kau cemburu atau mulakan peperangan dengan kau tiada dalam senarai yang perlu aku buat," balas Nurul.
"Kalau macam tu, susun surat cinta ini ada dalam senarai yang perlu kau buat?"
"Aku rasa aku patut mulakan perang dengan kau. Aku tak percaya aku buat kerja yang bodoh ini. Kalau suatu hari nanti, bila aku menghadiri temu duga kerja dan ditanya apakah tugas yang aku buat untuk jawatan pengurus Kelab Bola Sepak, kau rasa patut ke aku jawab membahagikan surat cinta yang aku terima mengikut si penerimanya sebelum meletakkannya ke dalam lokar mereka. Patut ke?" tanya Nurul lagi.
"Mungkin kau patut jawab macam ini, Menerima dan membahagikan surat cinta untuk ahli Kelab Bola Sepak sambil membaca puisi-puisi indah yang ditulis di dalamnya," ujar Sofea sambil cuba membuka salah satu surat yang baru disusunnya.
"Jangan nak terfikir lakukannya." Pantas Nurul merampas sekeping sampul surat dari tangan Sofea. "Kau perempuan dan orang yang bagi surat ini juga perempuan, jadi mesti kau tahu apa perasaan mereka bila ada perempuan lain baca surat mereka."
"Kau ni sensitif sangatlah. Macamlah mereka tahu kita baca surat tu."
"Ini bukan sensitif, tapi aku dah pegang amanat orang, mestilah aku kena jaga."
"Yalah tu."
"Dulu aku pun seperti mereka. Tulis surat cinta pada lelaki yang aku suka dan kemudian aku sendiri yang terkena."
Nurul kembali teringat kisah hitamnya di sekolah lama. Hanya kerana surat cintanya jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, dia mendapat malu dan dikenakan tindakan tatatertib.
"Kenapa?"
"Surat cinta aku jatuh ke tangan peminat setia lelaki yang aku minat tu. Apa lagi, kecohlah satu sekolah. Sebab itulah aku faham perasaan mereka kalau kita curi baca surat cinta ini. Aku tak nak benda ni jadi pada orang lain," terang Nurul.
"Nasib baiklah mereka pilih kau jadi pengurus dan tukang kutip surat cinta."
"Kadangkala aku rindu dengan semua tu. Tulis surat cinta pada seseorang yang kita minat. Walaupun nampak kolot, tapi apa salahnya guna cara lama untuk luahkan perasaan."
"Eh, aku rasa kau boleh tulis surat cinta kepada Fiq."
"Tak naklah. Aku tak nak pisang berbuah…" Tiba-tiba Nurul terdiam. Otaknya ligat memproses idea Sofea tadi. Lambat-lambat bibirnya terukir senyuman manis setelah menyedari bahawa Kelab Bola Sepak di bawah kawalannya. |
|
|
|
|
|
|
|
mlm nih saya akan siarkan bab baru |
|
|
|
|
|
|
|
7
"AKU dah dapatkan jadual latihan yang terbaru daripada Cikgu Majid," kata Nurul sambil melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak.
Kelihatan semua ahli rasmi sudah berada dalam bilik itu. Ada antara mereka sudah berpakaian sukan lengkap sebelum turun ke padang untuk latihan. Ada juga di antara mereka yang masih mengikat tali kasut.
"Mungkin selepas ni kita patut buat peraturan. Perempuan dilarang masuk ke dalam bilik ni. Dahlah main redah saja. Kalaulah kita orang tengah tukar seluar, boleh menjerit satu sekolah," kata Hayrul seolah sedang menyindir Nurul.
"Mungkin lepas ni kita buat peraturan, kalau kau orang nak tukar seluar, sila kunci pintu terlebih dulu," sindir Nurul pula, tetap tidak mahu mengaku kalah.
Masuk hari ini, hampir sebulan Nurul menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Kelab Bola Sepak. Pelbagai rintangan yang ditempuhi olehnya. Dia terpaksa berhadapan dengan macam-macam ragam terutama sekali Hayrul yang sememangnya anti dengan perempuan. Ada saja yang tidak kena dengan apa yang dilakukannya dan dia pula tetap akan mempertahankan dirinya.
Kadangkala peperangan besar akan meletus antara dia dengan Hayrul. Dan, yang terpaksa meleraikan pergaduhan itu adalah Rezza atau Fiq. Tetapi, selalunya mereka berdua akan bekerjasama untuk meleraikan pergaduhan yang berlangsung.
"Memang betul-betul perempuan tak reti malu," ujar Hayrul perlahan.
Walaupun perlahan, tapi telinga Nurul mendengarnya dengan jelas. Serentak dengan itu, Nurul menghempas sebuah buku berkulit tebal di atas meja bersebelahan dengan Nazrul yang sedang tidur nyenyak. Serta-merta Nazrul terjaga daripada tidurnya. Semuanya kaget.
"Aduh, kau orang ni kalau bergaduh mesti aku yang jadi mangsa," keluh Nazrul sambil menguap besar. "Aku nak tidur pun tak boleh!"
Rezza yang duduk di hadapan Nazrul cuba menahan tawa. Tak sia-sia dia memilih Nurul sebagai pengurus kelab. Inilah pengurus idamannya. Boleh bangunkan Putera Katak walau apa cara sekalipun.
"Sekarang bukan waktu untuk tidur," ujar Nurul tegas.
Nazrul segera bangun dan membuka jaketnya sambil mulutnya menyumpah-nyumpah sesuatu.
Nurul hanya menghadiahkan jelingan tajam. Selain Hayrul, Nazrul juga merupakan musuh luar selimut. Mana tidaknya, Nazrul asyik tidur saja sepanjang masa sampai ada satu hari, Nazrul yang selaku penjaga gol boleh tidur di tengah-tengah gawang sewaktu latihan berjalan.
"Menyusahkan kalau ada pengurus ni," kata Hayrul pula sambil membuka pintu lokar untuk menyimpan baju sekolahnya.
Nurul langsung tidak ambil peduli dengan sindiran Hayrul. Dia tahu lelaki itu tidak berpuas hati dengan cara pengurusannya. Tapi, dia tidak peduli. Siapa suruh cari pasal dengannya. Kan dah kena!
Sebentar kemudian Fiq yang sudah siap berpakaian sukan melangkah masuk ke dalam. Nurul menghadiahkan senyuman manis kepada Fiq dan Fiq membalasnya. Selama Nurul jadi pengurus, dia dengan Fiq sentiasa bersama walaupun bukan berbincang tentang hal peribadi. Tapi, itu pun sudah boleh dikatakan sebagai satu peningkatan yang baik.
"Kenapa?"
Pertanyaan Zul menarik perhatian mereka semua. Semua tertumpu pada Hayrul yang kaku di hadapan lokarnya yang terbuka luas. Masing-masing pelik.
"Err…" Suara Hayrul seakan tersekat. Matanya memandang sekeping sampul surat warna biru yang tiba-tiba terdapat di dalam lokarnya.
Sekejap saja mereka semua berkerumun di hadapan lokar Hayrul, melihat surat biru misteri itu.
"Surat cinta?" tanya Zaki seakan tidak percaya.
Serentak dengan itu Nurul berpaling apabila mendengar Zaki menyebut surat cinta. Setahunya, Hayrul langsung tidak menerima surat cinta dan dia juga pasti tiada surat cinta yang diletak di dalam lokar Hayrul.
"Surat cinta?" Nurul terus bergegas ke hadapan lokar Hayrul untuk memastikan sesuatu. Sekeping surat cinta berwarna biru dilihatnya.
Surat cinta daripada aku untuk Fiq… Nafas Nurul tersekat-sekat, seolah-olah tiada oksigen untuk bernafas. Kenapa ada kat dalam lokar Hayrul pula? jerit suara hatinya.
Di sudut tepi, Nazrul tersenyum sinis, membetulkan tali kasutnya. Sebiji bola sepak dalam lokar diambil keluar.
Rezza menjeling memandang Nazrul yang sedikit tersenyum. Kemudian dia menggeleng. Lebih baik jangan masuk campur. Tidak lama selepas itu keadaan yang kecoh tadi lagi bertambah kecoh apabila Hayrul pengsan dengan tiba-tiba. Nurul kelihatan tidak keruan. Sekejap memandang Hayrul yang pengsan dan sekejap memandang surat cintanya untuk Fiq dalam almari Hayrul.
"Hayrul alergi dengan surat cinta," terang Rezza kepada Nurul sambil memandang Hayrul yang masih belum sedarkan diri dan dikipas oleh kawan-kawannya yang lain. "Bila dia terima surat cinta, kesudahannya dia akan pengsan. Dan, sejak itu kami semua tak berani ambil surat cinta untuk Hayrul."
"Kenapa Hayrul akan pengsan kalau dapat surat cinta?" tanya Zaki sambil menggaru dagu. "Mungkin dia pernah terima surat cinta beracun kut."
"Surat cinta beracun?"
"Lebih kurang nak kenakan dialah…"
"Oh…" Nurul mengangguk faham.
"Agak-agak, siapa yang minat gila dengan Hayrul tu ya," ujar Najmi dengan seorang di belakangnya.
"Apa kata kalau kita baca. Hayrul bukannya tahu. Lagipun aku gerenti dia takkan baca surat cinta ni. Bukan ke lebih baik kita guna peluang yang ada ni untuk baca surat cinta daripada peminat misteri dia ni…" ujar Adnan Yazir memberi cadangan.
"Cantik!"
"Jangan!" Segera Nurul bertindak menolak mereka ke tepi dan pantas mengambil surat cinta tersebut. "Err… demi melindungi hak asasi manusia, aku terpaksa rampas surat cinta ni."
"Sejak bila hak asasi manusia melarang seseorang baca surat cinta?" tanya Najmi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Sejak aku jadi pengurus kelab," jawab Nurul tanpa berfikir panjang. "Jadi, memandangkan surat cinta ni telah membuat Hayrul jatuh pengsan, aku terpaksa membuang surat cinta ni. Pergi dulu dan jangan lambat untuk latihan petang ni!" Nurul terus melarikan diri secepat yang mungkin. Lagi lama dia duduk dalam bilik itu, lagi banyak soalan yang akan diterimanya. Lebih baik dia melarikan diri segera.
"Sejak bila Nurul ambil berat tentang Hayrul?" Sekali lagi Najmi menggaru kepalanya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Nurul. Takkanlah Nurul cemburu dengan Hayrul yang dapat surat cinta. Itu tidak mungkin. Tidak mungkin Nurul sudah jatuh cinta dengan Hayrul sebab kedua-duanya memang tidak boleh berjumpa. Jika berjumpa pasti ada sahaja yang tidak puas hati.
"Macam budak-budak," ujar Nazrul perlahan dan tanpa disedari dia tersenyum kecil. Seronok tidak terkata apabila dia melihat wajah Nurul yang cemas cuba mencari jalan keluar. Akhirnya berjaya juga.
"Serius?" tanya Sofea yang terkejut mendengar cerita daripada Nurul.
Nurul yang tiada mood sejak pulang dari sekolah tadi sekadar mengangguk. Dia sendiri kebuntuan bagaimana surat cintanya yang diletak di dalam lokar Fiq boleh 'berjalan' ke loker Hayrul. Itu pun dia bernasib baik sebab Hayrul ditakdirkan alergi dengan kehadiran surat cinta. Jika tidak, pasti dia sudah menjadi bahan ketawa mereka.
"Aku selalu malang bila dikaitkan dengan surat cinta." Nurul mengeluh lemah.
Dahulu dia dimalukan satu sekolah dengan tertampalnya surat cintanya di papan kenyataan dan dijadikan bahan ketawa oleh pelajar sekolahnya. Hari ini dia hampir mengulangi kejadian yang sama.
"Kau agak-agak siapa yang nak kenakan kau?" tanya Sofea.
"Aku tak tahu… Yang aku peliknya, macam mana orang tu boleh tahu aku tulis surat cinta untuk Fiq sedangkan aku dan kau saja tahu pasal surat tu." Nurul kemudiannya memandang Sofea di hadapannya.
"Kira tak normallah aku kalau kenakan kau macam tu," kata Sofea.
"Kenapa pula? Normallah kalau kau—sebagai salah seorang peminat Fiq cemburu dengan keberanian aku bagi surat cinta kepada Fiq." Dengan selamba Nurul berkata.
"Itu tak normal maknanya." Sofea masih lagi selamba. Langsung tidak rasa menggelabah apabila dituduh oleh Nurul.
"Kenapa pula tak normal?"
"Daripada aku letak surat cinta kau di lokar Hayrul, lebih baik aku tampal surat cinta kau macam pengalaman kau dulu tu."
Nurul memandang Sofea sambil berfikir.
"Ya. Memang betul." Akhirnya Nurul bersetuju. Lagipun dia kenal Sofea. Sofea tidak akan melakukan sesuatu yang licik begitu. "Kalau nak dikira, memang ramai yang dengki dengan aku, tapi orang yang buat ni bukan jenis nak dajalkan aku, tapi nak kenakan aku."
"Ada beza ke dua perkataan tu?" tanya Sofea.
"Izinkan aku jawab soalan kau tu dengan menghadiahkan satu tumbukan," balas Nurul menjeling tajam.
"Yalah, yalah… Jadi, kau nak siasat siapa yang berjaya kenakan kau tu?"
"Entah! Tapi, aku rasa orang yang buat ni mungkin orang yang aku kenal."
"Siapa?"
"Antara ahli bola sepak tulah. Mereka semua memang tak boleh tengok aku senang sikit. Mesti ada sahaja nak buli aku. Tengoklah nanti. Perkara ni akan terbukti juga dan jangan haraplah orang yang buat dajal ni boleh hidup senang!" |
|
|
|
|
|
|
|
Selamat membaca dan semoga terhibur |
|
|
|
|
|
|
|
citer ni mmg best giler la...
kalau baca mesti gelak jer |
|
|
|
|
|
|
|
dah baca citer ni
sesuai tuk remaja2 yang meningkat usia |
|
|
|
|
|
|
|
tkde smbungan lagi ker??? hehehehe |
|
|
|
|
|
|
|
lawak2.... |
|
|
|
|
|
|
|
lawak2.... |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|