AGUS YANG DUDUK sebelah ayahnya pura-pura tunduk memandang biskut di tangan. Kenapalah dia ikut sekali ke rumah ini tadi. Tapi ayah itulah, ayah yang paksa supaya dia ikut sekali. Nanti kena tolak lagi pinangan, kata ayah. Takut pula dia dengar kata-kata ayah. Pandai betul ayah main psikologi.
Bila Mardhiyah keluar ke ruang tamu itu, hatinya sudah libang-libu. Tiba-tiba saja dia jadi segan mahu menatap wajah Mardhiyah. Mata abah dan emak Mardhiyah terasa tajam saja merenungnya dari tadi. Wardah dan Safa, adik-adik perempuan Mardhiyah itu, dia perasan dari tadi sibuk mengintainya dari sebalik pintu Mardhiyah yang sedikit terbuka. Ramai sungguh pengadil di rumah ini. Alahai, susahnya mahu mendapatkan si buah hati.
Hai, ini siapa yang sebenarnya yang kena pinang?
Mardhiyah atau dia?
Amboi Agus, kalau jumpa kat Giant, ramah saja mulutnya menegur Mardhiyah dulu. Sekarang? Tahu pula malu dan segan bila berhadapan dengan ibu dan ayah Mardhiyah.
“Agus ini, dia memang bukan kerja pangkat tinggi. Sekolah pun takat STPM. Pendapatan pun sederhana saja. Tapi Insya Allah, sebab dia suka Mar sangat-sangat, pakcik tahu dia akan jaga Mar baik-baik…” lembut tutur Haji Suleiman.
“Insya Allah, dia tak akan sia-siakan hidup Mar. Dan kami, sebagai orang tua, berbesar hati hendak ambil Mar sebagai anak menantu kami,” sambung Haji Suleiman.
“Kaki saya lumpuh pakcik…” kata Mardhiyah.
Wajah Mardhiyah sudah terasa tebal seinci. Agus pula masih belek-belek biskut di tangannya. Entah apa yang aneh sangat dengan biskut coklat cip itu. Macam anak dara pingitan pula dia tengok Agus itu, pandai pula malu-malu kucing.
Eh, tapi betullah kata Wardah. Entah kenapa wajah Agus itu sudah jadi macam Rafael Pereira pula dia tengok. Tadi masa dalam bilik sempat dia cari dalam google wajah pemain bola sepak Manchester United itu.
Emak dan abah itulah pandai-pandai suruh dia duduk sekali di ruang tamu ini. Ingatkan tadi hendak duduk dalam bilik saja, biar Wardah dan Safa itu mengintai curi-curi dengar perbualan mereka di sini. Alih-alih, abah suruh dia duduk sekali di sini. Dengar sendiri dari pihak lelaki.
Inikan pula kalau jadi isteri orang. Sehari dua bolehlah tahan dengan dia yang lumpuh sebelah kaki ini? Seumur hidup? Adakah lelaki yang ikhlas begitu? Emak dan abah saja yang betul-betul ikhlas mahu jaga dia. Biarlah dia hidup dengan emak dan abah sampai ke tua, sampai ke situ Mardhiyah berfikir.
Semua yang ada di ruang tamu terdiam seketika.
“Agus ini pun banyak kekurangan. Alhamdulilah, kekurangan itulah yang menjadi kelebihan pada dia. Pakcik pun…” Haji Suleiman sudah tunduk memegang kaki kanannya.
“Pakcik pun tak ada kaki Mar…”
Mardhiyah angkat wajah. Haji Suleiman sudah tunduk menanggalkan kaki kanannya.
“Ehh… tak payah Bang Aji.” Encik Masri cuba menghalang.
“Takpa… Mar tak tahu rasanya kan, Masri?”
“Tak… masa Bang Aji masuk hospital tu, Mar dah masuk Asasi rasanya.”
Kaki palsu? Ayah Agus pakai kaki palsu? Kaki palsu itu sudah disandarkan di tepi sofa.
“Agus tak sekolah tinggi sebab banyak habiskan masa jaga pakcik. Anak-anak lain semuanya belajar jauh-jauh. Agaknya itulah hikmah Agus tak pandai belajar, bukak kedai gunting rambut. Antara semua anak-anak pakcik, Agus inilah paling senang hulur pertolongan…”
“Kaki pakcik kenapa?” tanpa disedari soalan itu keluar perlahan dari mulut Mardhiyah.
Sungguh dia tidak tahu. Sekurang-kurangnya, dia sendiri masih ada kaki walaupun lumpuh sebelah.
Ayah Agus? Kaki kanannya sudah tiada lagi dari bawah lutut sedikit sampai ke bawah.
“Kencing manis. Dah berapa tahun dah ni, tak ingat dah. Lama jugak dah pakai kaki palsu ni…”
“Dulu Agus nakal. Tapi tak sangka, dah dewasa macam ini, dialah yang banyak jaga kami berdua,” ujar Haji Suleiman.
“Agus sudah jaga pakcik dengan elok, jadi sebab itu pakcik percaya dia mampu jaga Mar dengan elok.”
Saat itu juga, jantung Mardhiyah terasa bergolek-golek jatuh.
Jatuh ke mana tu Mar?
Dia rasa jantungnya sudah bergolek-golek macam bola. Rasa macam penjaga gol Manchester United pun ada, dan seolah-olah sekarang dia sedang lontar hatinya ke arah Rafael Pereira.