|
|
Edited by Vellfire at 19-1-2026 01:42 PM
Tun Wan Junaidi dan isteri adakan kunjungan ke Emart Baru Kawa
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:14pm

Kedatangan Tun Wan Junaidi (tiga kanan) bersama isteri dan anak disambut meriah oleh pihak Emart Batu Kawa serta dihadiahkan dengan sebakul buah-buahan sebagai buah tangan daripada Ngu (tiga kiri).
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengunjungi Emart Baru Kawa di sini, hari ini.
Kunjungan untuk membeli barangan keperluan dapur itu turut ditemani anak sulung mereka, Sharifah Fariah Tun Wan Junaidi.
Difahamkan, aktiviti membeli barangan dapur sendiri merupakan rutin yang diamalkan oleh pasangan itu bagi memastikan keperluan harian yang dipilih sentiasa segar dan berkualiti.
Antara barangan yang dibeli termasuk buah mandarin, limau bali, pelbagai jenis sayur-sayuran serta barangan keperluan lain.
Pada masa sama, Tun Wan Junaidi dan isteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai.
Kehadiran mereka disambut mesra oleh para pengunjung, dengan ramai yang mengambil kesempatan berswafoto sebagai kenangan.

Tun Wan Junaidi (kiri) sedang mencuba limau mandarin yang dijual di Emart Batu Kawa
Kunjungan tersebut turut diiringi pegawai Astana Negeri, Pengarah Urusan Emar Group of Companies Ngu Ting Sii serta pegawai-pegawai berkaitan.
Selepas selesai membeli-belah, Tun Wan Junaidi dan isteri menjamu selera makan tengah hari di CitoC2 Food Court yang baru dibuka di Emart Baru Kawa.
Medan selera berkonsep moden itu menempatkan 25 gerai makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai pilihan masakan tempatan dan antarabangsa, termasuk hidangan autentik Sarawak, masakan Asia, hidangan Barat, pencuci mulut, aneka snek serta pilihan kopi istimewa di bawah satu bumbung.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Proses permohonan EFS ditambah baik mulai tahun ini, kata Fatimah
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:20pm

Fatimah menandatangani plak sambil disaksikan yang lain sebagai simbolik merasmikan pembukaan Chegu Aiman Gadget & Gold Cawangan Samarahan, hari ini.
KUCHING: Proses permohonan Endowment Fund Sarawak (EFS) bagi bayi yang layak ditambah baik mulai tahun ini sejajar usaha Kerajaan Sarawak memastikan lebih ramai ibu bapa dapat menikmati inisiatif tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebelum ini proses pembukaan akaun agak rumit kerana pemohon perlu melalui beberapa peringkat.
Katanya, ini termasuk semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesahkan status anak Sarawak sebelum ke bank untuk membuka akaun.
“Sekarang ini kita mahu proses itu menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini. Perincian mengenai kaedah pelaksanaan akan diterangkan kemudian, namun secara keseluruhannya sistem telah ditambah baik.
“Kita juga akan melihat strategi lain yang kita perlu (tambah baik) selain daripada buat masa ini, kita bekerjasama dengan pihak hospital dan klinik kesihatan yang akan mengagihkan borang kepada ibu bapa untuk bayi baru lahir,” ujarnya.
Beliau berkata, kementerian tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap permohonan EFS secara dalam talian kerana masih ada yang memerlukan permohonan secara manual.
Fatimah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Chegu Aiman Gadget & Gold Cawangan Samarahan di Aiman Mall 2 di sini, hari ini.
Menurut beliau, penambahbaikan sistem tersebut penting bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian iaitu memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada mereka yang layak membuka akaun EFS menjelang tahun 2026.
“KPI kita adalah 80 peratus. Kita mahu inisiatif Kerajaan Sarawak yang baik ini benar-benar mencapai objektif dan memberi manfaat kepada seramai mungkin rakyat,” jelasnya.
Mengulas jumlah penerima, beliau berkata sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada tahun 2019 hingga 2025, sebanyak 146,000 akaun telah dibuka secara kumulatif.
Katanya pada peringkat awal, kerajaan menganggarkan jumlah kelahiran anak Sarawak sekitar 40,000 setahun, namun berdasarkan data semasa, kadar kelahiran kini kurang daripada 40,000, iaitu sekitar 30,000 lebih setahun.
"Daripada jumlah yang layak ini, kita berharap sekurang-kurangnya 80 peratus akan memanfaatkan EFS ini," tambahnya.
EFS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyediakan sumbangan RM1,000 kepada setiap anak Sarawak yang layak sebagai simpanan jangka panjang bagi tujuan pendidikan dan hanya boleh dikeluarkan apabila anak mencapai umur 18 tahun.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Hope Care anjuran RCBC bekal air bersih kepada Rh Yusop dan KK Nanga Merit
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:23pm

(Duduk, dari empat kiri) Paulus, Dr Norliza, Linnie (berdiri, kiri) bersama yang lainn pada Majlis Penyerahan Hope Care, ‘Asas Kehidupan’ Projek Air Luar Bandar 2026, Klinik Kesihatan Nanga Merit dan Rumah Yusop Siran, Kampung Tubai Baru, hari ini.
LIMBANG: Projek bekalan air Hope Care anjuran Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) bukan sekadar menyediakan bekalan air bersih kepada Rumah Yusop, Tubai Baru dan Klinik Kesihatan Nanga Merit, malah menyokong kesihatan dan kehidupan seharian sebagai asas kehidupan semua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang berkata, projek itu dilaksanakan oleh RCBC dengan tajaan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir Malaysia (LDS Charities) serta Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang (BAKAS) sebagai rakan strategik.
Menurutnya, projek itu sangat penting kerana air bersih adalah asas kehidupan seharian, sekali gus membawa kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.
“Walaupun pihak kerajaan sedang berusaha melaksanakan projek-projek membekalkan air bersih tetapi akan memakan masa yang lama memandangkan kawasan kita adalah amat luas dengan penduduk berselerak.
“Melalui projek ini, penduduk terlibat termasuk Klinik Kesihatan Nanga Merit dapat menikmati kemudahan air bersih dalam melancarkan urusan seharian,” katanya.
Paulus berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hope Care ‘Asas Kehidupan’ Projek Air Luar Bandar 2026, Klinik Kesihatan Nanga Merit dan Rumah Yusop Siran, Kampung Tubai Baru di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Presiden RCBC Linnie Lee, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh, wakil Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir Malaysia (LDS Charities) Elder Roger Walker and Sister Pam Walker dan ketua masyarakat Rumah Yusop, Tubai Baru Yusop Siran.
Perancangan teknikal dan pelaksanaan di tapak telah dijalankan oleh unit BAKAS bagi memastikan sistem air dilaksanakan dengan selamat, berkesan dan mengikut keadaan tempatan.
Paulus memberitahu, Kerajaan Sarawak juga sedang melaksanakan Projek Bekalan Air Bersih melibatkan kawasan Ukong, Pengkalan Jawa dan sekitarnya.
Bagaimanapun jelasnya, projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu mengambil untuk disiapkan susulan pembinaan beberapa tangki aras tinggi di kawasan yang dikenal pasti.
Katanya lagi, apabila siap kelak ia akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar.
Terdahulu, Linnie berkata projek itu mencerminkan komitmen jangka panjang RCBC terhadap perkhidmatan luar bandar, dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada keperluan segera, tetapi juga kepada pengukuhan asas penting yang menyokong kesihatan dan kehidupan seharian.
Katanya, penyiapan Projek Air HopeCare 'Asas Kehidupan' mencerminkan tema RCBC untuk tahun ini, 'Bersatu untuk Kebaikan' di mana organisasi yang berbeza menyumbang melalui peranan yang jelas dan saling melengkapi ke arah tujuan bersama.
“RCBC berharap model kolaboratif ini dapat terus diperdalam dan direplikasi di seluruh komuniti lain, selaras dengan matlamat kebajikan awam jangka panjang,”ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Nanta serah dana MRP kepada 30 penerima di Parlimen P.215 Kapit
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:25pm

Nanta (lima kiri) menyerahkan cek MRP kepada pengerusi Persatuan Tai San Ten, Jason Yeo Boon Tien. Turut kelihatan Jefferson Jamit (tiga kiri) serta yang lain.
KAPIT: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyerahkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM495,000 kepada 30 penerima terdiri daripada persatuan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen P.215 Kapit, semalam.
Pada majlis yang berlangsung di Hotel Meligai itu, Nanta menjelaskan dana itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong aktiviti komuniti dan inisiatif pembangunan tempatan.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyerahkan dana RM300,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Misi Evangelis Borneo (BEM), Ulu Sungai Belawai.
Nanta menasihatkan penerima cek agar menggunakan semua bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan secara berkesan, selain diuruskan secara telus untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Nanta (duduk tengah) bersama penerima cek MRP. Turut kelihatan Jefferson Jamit (duduk tiga kiri) serta yang lain.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Watson Awan Jalai serta Pegawai Daerah Kapit, Thomas Kendawang.
Selepas majlis tersebut, Nanta turut melawat Wisma Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kapit yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengakap Berasaskan Komuniti bimbing belia jauhi ancaman sosial: Abang Johari
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:27pm

Dr Rundi (tengah) bersama tetamu lain memukul gendang 24 musim sebagai simbolik perasmian penubuhan Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap.
BINTULU: Konsep Pengakap Berasaskan Komuniti merupakan pendekatan alternatif yang dapat membimbing golongan belia menjauhi ancaman sosial serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini sangat bermakna dalam komitmen berterusan Pergerakan Pengakap mengembangkan peranan dan sumbangannya kepada pembangunan belia dan masyarakat di negeri ini.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan sokongan padu terhadap usaha ini selaras aspirasi untuk melahirkan generasi belia berdisiplin, berintegriti, berdaya saing, mempunyai kualiti kepimpinan kukuh dan mampu memain peranan positif dalam membina pembangunan negeri dan negara.
Menurutnya, Pergerakan Pengakap mempunyai metodologi pendidikan komprehensif dan berstruktur di luar sekolah, bukan sahaja menekankan pembangunan kepimpinan, kemahiran asas, vokasional dan khidmat masyarakat, bahkan menerap nilai-nilai murni dan membentuk pembangunan sahsiah holistik dalam kalangan belia.
"Pendekatan sedemikian adalah penting dalam memupuk individu yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada Majlis Pelancaran Rasmi Penubuhan Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abang Johari menyeru ibu bapa memberikan galakan dan sokongan penuh kepada anak-anak mereka untuk menyertai Pergerakan Pengakap.

Dr Rundi (lima kiri) menyempurnakan pengalungan skaf pengakap kepada Ahli Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap.
Beliau berkata, penglibatan dalam pergerakan ini akan memberi pendedahan meluas, membina keyakinan diri dan menyediakan platform terbaik untuk memupuk pemimpin masa depan yang berwibawa, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
Memandangkan ini merupakan konsep baru diperkenalkan, beliau berharap pelaksanaannya akan mencapai kejayaan yang membawa manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Pada masa sama katanya, belia semakin terdedah kepada pelbagai ancaman sosial yang membimbangkan, realiti ini memerlukan perhatian serius daripada semua lapisan masyarakat.
"Belia mesti dilindungi, dibimbing dan diperkasakan supaya mereka tidak terjerumus ke dalam gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka, keluarga dan komuniti.
"Pergerakan Pengakap dilihat sebagai platform sangat berkesan dan relevan dalam usaha mencegah dan menangani ancaman sosial yang semakin mencabar pada masa kini," katanya.
Sebagai bekas ahli Pengakap di Sekolah St Thomas pada tahun 1960-an katanya, Pergerakan Pengakap di Sarawak yang kini berusia 113 tahun merupakan gerakan teruji dan berpengalaman secara konsisten menunjukkan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Katanya, pengalaman ini membuktikan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum tetapi juga platform untuk pembinaan sahsiah dan pembangunan kepimpinan yang berdaya tahan dan berkesan.
Beliau turut menyeru syarikat korporat, sektor perladangan dan pihak berkaitan untuk tampil memain peranan dengan menerima pakai Pasukan Pengakap Berasaskan Komuniti melalui penajaan aktiviti dan program serta dengan membenarkan penggunaan tanah atau kemudahan untuk mesyuarat, latihan dan aktiviti Pengakap.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kumpulan BBC sumbangkan RM20,000 kepada Majlis Pengakap Sarawak
Januari 17, 2026, Sabtu - 6:59pm

Barry Yek (lima kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mawan (dua kanan) untuk Majlis Pengakap Sarawak sambil disaksi Dr Rundi (tengah), (dari kiri) Jumaat, Nyurak, Majang, Dr Mohd Zin dan Pang.
BINTULU: BBC Pelita Plantation (Jepak) Sdn Bhd, BBC Palm Oil Mill Sdn Bhd, AlMabumi Plantation Sdn Bhd dan Majrany Plantation Sdn Bhd telah menyumbang RM20,000 kepada Majlis Pengakap Sarawak hari ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan BBC Datuk Barry Yek Siew Hui kepada Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom sempena penubuhan Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Penyampaian sumbangan itu turut disaksikan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut menyaksikan ialah Ketua Pengakap Negara Malaysia Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Yang Dipertua Majlis Pengakap Bintulu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti dan Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program Jumaat Ibrahim.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak pertama tubuh Pasukan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:02pm

Mawan (dua kanan) menerima cenderamata daripada Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak merangkap pengerusi program Jumaat Ibrahim sambil disaksikan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta tetamu lain.
BINTULU: Sarawak merupakan negeri pertama mempelopori penubuhan Pasukan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap yang berpotensi untuk memperkasa dan mengembangkan pergerakan Pengakap di Sarawak.
Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom berkata, beliau memberikan perhatian serius kepada idea itu pada kali pertama dicadangkan Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin beberapa tahun lalu.
Katanya, model ini membuka penyertaan yang lebih inklusif melalui penglibatan aktif komuniti tempatan sekali gus mendekatkan Pengakap dengan masyarakat umum.
"Meskipun pelaksanaannya memerlukan masa dan perancangan teliti, saya berharap seluruh persaudaraan Pengakap akan menerima pakai dan mempromosikan pendekatan ini secara aktif dalam kalangan pemimpin dan komuniti masing-masing," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis perasmian penubuhan Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan terhadap pergerakan Pengakap di negeri ini.
Sementara itu, Dr Mohd Zin dalam ucapannya berkata capaian Pergerakan Pengakap perlu diperluaskan dalam komuniti meskipun telah banyak berjasa di sekolah supaya gerakan ini lebih inklusif, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan sebenar masyarakat.
Menurutnya, beliau sendiri telah mencetuskan idea ini beberapa tahun lepas supaya Pengakap dibawa terus ke kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat.
Katanya, bagi Sarawak pendekatan ini amat tepat pada masanya, dengan keluasan geografi dan kepelbagaian komuniti ia membuka peluang kepada lebih ramai belia tanpa mengira latar belakang pendidikan atau lokasi untuk menyertai Pengakap dan menikmati manfaat pembentukan sahsiah, disiplin dan kepimpinan.
"Melaluinya belia bukan sahaja dilatih sebagai ahli Pengakap, malah dibentuk sebagai pemimpin komuniti," ujarnya.
Beliau berkata, keahlian mereka akan terlibat secara langsung dalam aktiviti khidmat masyarakat, bantuan bencana, program alam sekitar serta pelbagai inisiatif sosial.
Jelasnya, pengalaman sebenar ini mendidik mereka tentang empati, tanggungjawab dan nilai khidmat kepada masyarakat.
Sehubungan itu katanya, penubuhan kumpulan ini selari dengan anjakan penting dalam pergerakan Pengakap negara yang menekankan pembangunan kemahiran hidup dan kepimpinan praktikal.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Belia dan kerjasama strategik, kunci agenda Bandar Raya Lestari Miri: Yii
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:07pm

Yii (tiga kiri) menyempurnakan majlis perasmian Karnival SDG MDM sambil disaksikan Timbalan Datuk Bandar, Ariffin Mohammed (dua kanan) dan Kr Jamil (dua kiri) serta yang lain.
MIRI: Agenda menjadikan Miri sebagai sebuah bandar raya lestari, hijau dan berdaya saing memerlukan penglibatan aktif golongan belia serta kerjasama strategik berterusan semua pihak, bukan sekadar dasar di atas kertas.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang menegaskan, belia, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat merupakan tonggak utama dalam memacu inovasi hijau serta amalan mampan di bandar raya ini, menerusi konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Golongan ini adalah pemimpin masa hadapan dan pemacu kepada perubahan. Inisiatif seperti Karnival SDG ini perlu diteruskan dan diperluaskan agar memberi impak jangka panjang kepada pembangunan bandaraya,” katanya.
Yii yang merupakan ADUN Pujut berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival SDG Bandaraya Miri, Edisi 1/2026 yang berlangsung di Aras 3, Boulevard Hypermarket, Pujut di sini, semalam.
Menurut Yii, pembangunan sebuah bandar raya lestari menuntut komitmen berterusan serta kerjasama strategik semua pihak berkepentingan.
Beliau yakin di bawah kepimpinan Majlis Bandaraya Miri (MBM), dengan sokongan padu rakan strategik SDG dan masyarakat setempat, Miri berpotensi muncul sebagai bandar raya contoh yang progresif dan kompetitif di peringkat negeri serta nasional.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Miri agar terus memperkukuh komitmen dalam menyokong usaha kelestarian bandar raya ini demi merealisasikan visi Miri sebagai sebuah Bandar Raya Hijau, Bandar Raya Pintar serta antara bandar raya peranginan antarabangsa yang paling selesa untuk didiami.
Sementara itu, Karnival SDG Bandaraya Miri, Edisi 1/2026, adalah anjuran bersama Pembangunan Komuniti SDG MBM, bersama rakan strategik SDG serta Jawatankuasa Penduduk Miri.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa SDG, Kaunselor Jamil Bujang dalam ucapan alu-aluannya berkata, karnival itu dianjurkan sebagai platform inklusif untuk mendekatkan SDG kepada masyarakat umum melalui pendekatan yang bersifat mendidik, interaktif dan berteraskan komuniti.
“Penganjuran edisi pertama ini menumpukan kepada pemerkasaan kesedaran awam dalam aspek kelestarian alam sekitar, ekonomi hijau, kesejahteraan sosial serta tadbir urus bandar yang mampan, selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Strategik Sarawak (PCDS) 2030 dan agenda bandar rendah karbon,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Polis tahan dua suspek curi motosikal di Lutong Baru
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:09pm
MIRI: Polis Miri mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan berhubung kes kecurian motosikal yang dilaporkan berlaku di kawasan Lutong Baru di sini, awal Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis Kriss MJ110 pada 7 Januari 2026, kira-kira jam 12.40 tengah malam.
“Bertindak atas maklumat risikan dan siasatan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun pada 15 dan 16 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil tangkapan tersebut membawa kepada rampasan dua motosikal curi yang sebelum ini dilaporkan hilang.
“Ekoran kejayaan operasi ini, dua kes kecurian motosikal berjaya diselesaikan. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 19 dan 20 Januari 2026 bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes kecurian serta penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Miri di talian 085-433400 bagi menyalurkan maklumat.
“PDRM amat menghargai kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu menjaga keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Miri,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki gagal lari, ditahan kerana disyaki terlibat salah guna dadah
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:13pm
MUKAH: Cubaan seorang lelaki warga tempatan melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis gagal apabila dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di tepi Jalan Mukah-Selangau, petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berumur 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah pada jam lebih kurang 1.40 petang.
“Semasa ditahan suspek yang sedang duduk di atas motosikal cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis telah menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.35 gram dan nilai kira-kira RM110,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek dan barang kes dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari sehingga 21 Januari ini bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya.
Rizal menegaskan, IPD Mukah komited dalam usaha membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalah gunaan dadah boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Perkembangan pesat AI, robotik tuntut generasi muda dilengkapi kemahiran teknologi: Tiang
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:16pm

Tiang (tengah) sedang cuba menerbangkan drone semasa merasmikan penutupan Drone, Robotics, AI and 3D Innovation Boot Camp 2026 di Sibu, hari ini.
SIBU: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang berpotensi menggantikan banyak pekerjaan tradisional dalam masa terdekat menuntut generasi muda dilengkapkan dengan kemahiran teknologi sejak awal usia.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, dunia kini sedang menyaksikan perubahan luar biasa akibat kemajuan teknologi, khususnya dalam bidang AI dan robotik yang berkembang pada kadar belum pernah berlaku dalam sejarah manusia.
"Jika ada yang mengatakan AI belum mampu menggantikan tenaga kerja manusia, itu tidak tepat.
"Hakikatnya, teknologi AI dan robotik kini sudah berada pada tahap yang mampu mengambil alih banyak pekerjaan konvensional dalam masa yang sangat singkat," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Drone, Robotics, AI and 3D Innovation Boot Camp 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu di sini, hari ini.
Seramai 60 pelajar menyertai kem tersebut yang diadakan selama sehari dianjurkan oleh Sarawak Digital Media E-Platform Association dengan kerjasama Pustaka Negeri Sibu serta Pusat Khidmat DUN Pelawan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keupayaan manusia untuk belajar dengan pantas dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi menjadi faktor penentu untuk kekal relevan dalam pasaran pekerjaan masa hadapan.

Tiang (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama para peserta Drone, Robotics, AI and 3D Innovation Boot Camp 2026 di Sibu, hari ini.
Beliau berkata pendedahan awal kepada teknologi seperti robotik, dron, AI dan percetakan 3D, sebagaimana yang ditawarkan melalui kem itu, amat penting bagi membentuk generasi yang bersedia menghadapi cabaran era automasi.
Dalam lawatan ke beberapa bengkel yang diadakan, beliau melihat sendiri aktiviti seperti pertandingan bola sepak dron, bengkel robotik, gusti sumo berasaskan Roblox serta bengkel pencetakan 3D, yang disifatkannya sebagai platform pembelajaran yang sangat berkesan untuk pelajar.
"Saya berasa amat kagum dan pada masa yang sama terfikir betapa bertuahnya generasi hari ini kerana diberi peluang sebegini sejak usia muda," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan serius terhadap pendidikan STEM sebagai persediaan menghadapi perubahan landskap pekerjaan global akibat AI dan robotik.
Antara langkah yang diambil termasuk pendidikan tinggi percuma tertumpu kepada STEM, pelaksanaan Program Dwibahasa serta pembangunan institusi pendidikan teknologi seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Menurut beliau, pelajar yang mempunyai asas kukuh dalam STEM lebih mudah menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan berpeluang menceburi pekerjaan bernilai tinggi, berbanding pekerjaan berkemahiran rendah yang berisiko digantikan oleh mesin dan automasi.
Tiang menegaskan pembangunan teknologi bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar, malah Sibu juga sedang bergerak seiring dengan arus perubahan global.
"Teknologi tidak mempunyai sempadan. Dengan akses Internet dan platform pembelajaran yang betul, anak-anak di Sibu juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan individu yang terlibat kerana menyediakan ruang dan peluang kepada generasi muda untuk memahami realiti dunia pekerjaan masa depan yang semakin dipacu oleh AI dan robotik.
Hadir sama ialah wakil Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu Shahrieza Rabaie, Setiausaha Sarawak Digital Media E-Platform Wesley Lee dan Ketua Pegawai Teknologi U Best Youbisheng Sdn Bhd Elton Wong.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Samarahan Boulevard perancangan berwawasan transformasi Samarahan
Januari 17, 2026, Sabtu - 7:22pm

Abdul Karim ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Samarahan Boulevard hari ini. Gambar Chimon Upon
KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Samarahan Boulevard sepanjang jajaran 1.44 kilometer dari Masjid Al-Muttaqin hingga ke Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bakal meletakkan kawasan itu ke arah hala tuju pembangunan baharu yang lebih tersusun.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek tersebut mencerminkan perancangan berwawasan yang bakal mentransformasikan Samarahan menjadi sebuah kawasan bandar yang lebih meriah, selesa didiami dan strategik.
“Ini merupakan projek berwawasan yang akan meletakkan Samarahan dalam satu landasan baharu apabila ia siap sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Samarahan Boulevard yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurut beliau, Kota Samarahan telah mengalami perubahan pesat hasil perancangan menyeluruh sejak tahun 1980-an, khususnya selepas penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan dan ilmu.
“Seiring dengan perkembangan pesat Kuching, Samarahan kini muncul sebagai kawasan kediaman pilihan, bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah mereka yang bekerja di Kuching, terutamanya golongan keluarga muda.
“Perkembangan ini memerlukan kemudahan yang mencukupi bagi tujuan rekreasi, interaksi sosial serta kesejahteraan komuniti,” katanya.
Abdul Karim berkata, cadangan membangunkan sebuah boulevard dan dataran awam adalah bagi menyediakan ruang pusat untuk aktiviti rekreasi, perhimpunan awam serta penganjuran acara berskala besar, sepertimana dataran ikonik di bandar utama lain.
“Ketika ini, kebanyakan acara besar peringkat negeri masih diadakan di Padang Merdeka, Kuching yang sering menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Samarahan Boulevard dirancang sebagai lokasi alternatif bagi penganjuran acara utama untuk tempoh 20, 30 malah sehingga 50 tahun akan datang,” katanya.
Beliau menjelaskan, Samarahan Boulevard bakal menjadi mercu tanda baharu serta tumpuan aktiviti komuniti, festival dan program peringkat negeri selain membantu mengurangkan kesesakan di bandar Kuching.
Katanya lagi, projek ini selari dengan pembangunan infrastruktur berskala besar di Samarahan, termasuk sistem Autonomous Rapid Transit (ART), lebuh raya bertingkat, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu serta pelabuhan laut dalam yang dijangka mengubah landskap kawasan ini secara menyeluruh.
“Keseluruhan Samarahan akan mengalami perubahan besar. Justeru, semua pihak berkepentingan perlu sentiasa berfikir jauh ke hadapan dan merancang secara mampan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.
Abdul Karim yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) berkata, agensi tersebut telah melaksanakan sebanyak 637 projek pembangunan di seluruh Bahagian Samarahan.
“Daripada jumlah itu, 508 projek telah berjaya disiapkan, iaitu hampir 80 peratus daripada keseluruhan projek yang dirancang.
“Pencapaian ini mencerminkan tahap pelaksanaan yang memberangsangkan serta komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, projek Samarahan Boulevard akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta yang memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur asas serta kemudahan rekreasi.
Sementara itu, fasa kedua melibatkan peruntukan RM102 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kos projek tersebut sebanyak RM127 juta.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga PPS di Bintulu ditutup hari ini
Januari 17, 2026, Sabtu - 8:12pm

PPS Dewan Suarah Bintulu antara tiga PPS di bahagian Bintulu yang ditutup sepenuhnya hari ini.
BINTULU: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di bahagian ini ditutup hari ini iaitu PPS Balai Raya Sebauh dan PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh di Daerah Sebauh dan PPS Dewan Suarah Bintulu di Bandar Bintulu.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata PPS Dewan Suarah Bintulu ditutup pada jam 1.30 petang tadi, manakala dua lagi PPS dalam Daerah Sebauh iaitu PPS Balai Raya Sebauh dan PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh masing-masing ditutup pada jam 4 petang dan 12 tengah hari.
Dengan penutupan ketiga-tiga PPS itu sekali gus tiada lagi pusat pemindahan banjir di Bintulu kerana kesemua mangsa sudah balik ke kediaman masing-masing.
Sebauh merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas banjir yang melanda baru-baru ini yang mana dianggap sebagai banjir terburuk yang pernah melanda daerah berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Persediaan amat penting untuk minimumkan kesan banjir: Dr Rundi
Januari 17, 2026, Sabtu - 8:15pm

BINTULU: Persediaan amat penting untuk menghadapi bencana terutamanya bencana banjir berulang bagi meminimumkan kesan teruk yang dihadapi oleh penduduk.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (gambar) berkata, keadaan di Bintulu dan kawasan Kemena dilanda banjir begitu teruk sehingga penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat hari ini katanya, air banjir dilihat telah surut dan pulih dengan ada penduduk telah kembali ke rumah masing-masing.
"Tetapi kesan kerosakan telah berlaku jadi persiapan untuk menghadapi masalah sama setiap kali musim tengkujuh amat penting," katanya berucap pada majlis perasmian penubuhan Kumpulan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu di sini, hari ini.
Justeru katanya, persediaan penting untuk meminimumkan kesan kerosakan daripadanya perlu diberi perhatian, banyak perlu dilihat, yang tidak dijangkakan, bahaya dihadapi dan sebagainya.
"Di sinilah kita memerlukan tenaga sukarela khususnya Pergerakan Pengakap menunjukkan persediaan dan semangat supaya dapat bertindak segera dalam apa juga keadaan," katanya.
Beliau berkata, persediaan itu menuntut perhatian serius daripada semua bukan sahaja memberi khidmat tetapi belajar daripada latihan yang diberi khasnya membantu pihak berkuasa mengesan bahaya dan situasi yang berlaku.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BBP Bintulu, PBS Pekan Sebauh bantu bersihkan kawasan SJK (C) Chung San
Januari 17, 2026, Sabtu - 8:17pm

Pasukan BB Bintulu dan PBS Pekan Sebauh bersama-sama komuniti setempat menjalankan kerja-kerja pembersihan pekarangan SJK (C) Chung San, Sebauh hari ini susulan terjejas banjir baru-baru ini.
BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa banjir besar yang melanda Daerah Sebauh beberapa hari lalu, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sebauh bertindak menjalankan kerja pembersihan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung San Sebauh yang terjejas teruk akibat banjir, hari ini.
Kedua-dua pihak yang menjalankan kerja-kerja pembersihan melalui program jiwa murni pembersihan kawasan pascabanjir itu turut membersihkan kawasan persekitaran serta pekarangan Masjid Sebauh bagi membuang kelodak serta lumpur.
Kerjasama erat ini antara lain bagi memastikan fasiliti awam dan sekolah kembali bersih serta selesa untuk kegunaan komuniti setempat.
Pihak BBP Bintulu pada masa sama menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada semua anggota dan komuniti setempat yang terlibat secara langsung dalam menjayakan misi murni ini demi kesejahteraan bersama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JIM Sarawak tahan 10 individu dalam Ops Serkap di Lebuhraya Pan Borneo Sri Aman-Sarikei
Januari 17, 2026, Sabtu - 8:18pm

Gambar semasa operasi tersebut yang dikongsi di Facebook JIM Sarawak.
SRI AMAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 10 individu dalam Ops Serkap yang dijalankan di Lebuhraya Pan Borneo Sri Aman-Sarikei pada awal pagi Sabtu.
Menurut Facebook JIM Sarawak, operasi yang dilaksanakan oleh Pasukan Tindakan Khas JIM bersama Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching dan Sri Aman itu berlangsung dari jam 5.05 pagi hingga 5.45 pagi dengan penglibatan seramai 15 anggota.
“Seramai 38 orang telah diperiksa terdiri daripada 36 warganegara asing dan dua warganegara Malaysia.
“Pemeriksaan melibatkan 22 lelaki dan 14 wanita warganegara asing serta dua lelaki tempatan, dengan fokus kepada pematuhan syarat kemasukan dan keberadaan di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 10 individu membabitkan lima lelaki dan tiga wanita warganegara asing serta dua warganegara Malaysia.
JIM Sarawak turut menyita sebuah kenderaan bagi membantu siasatan, selain merampas wang tunai berjumlah RM7,280, dipercayai berkaitan kesalahan yang disiasat.
Tambahnya, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Gambar semasa operasi tersebut yang dikongsi di Facebook JIM Sarawak
“Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta pematuhan undang-undang imigresen negara,”ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
IPD Tatau agih 240 pek makanan kepada mangsa banjir di lima rumah panjang
Januari 18, 2026, Ahad - 10:12am

Pasukan IPD Tatau bersama-sama agensi berkaitan lain memunggah bantuan makanan untuk diagihkan kepada mangsa terjejas banjir dari lima buah rumah panjang di daerah berkenaan pada Jumaat.
BINTULU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau menyampaikan sebanyak 240 pek makanan kepada penduduk lima buah rumah panjang di kawasan Tatau yang terjejas akibat bencana banjir beberapa hari lalu sebagai tanda prihatin terhadap nasib mangsa, pada Jumaat.
Bagi menjayakan pengagihan bantuan, pegawai dan anggota IPD Tatau bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau melaksanakan misi penghantaran bantuan makanan kepada penduduk lima buah rumah panjang yang terputus hubungan serta terjejas akibat banjir di Daerah Tatau.
Lima penduduk terjejas merupakan dari Rumah Genta Insul, Rumah Was Janting, Rumah Kennedy Chulo, Rumah Nyalang Nantang dan Rumah Eki Garajie.
Operasi penghantaran bantuan yang diketuai oleh Pegawai Tadbir Daerah Tatau merangkap Ketua Operasi iaitu Raden Azamry Raden Perhan telah berjaya dilaksanakan menggunakan jalan darat dan air.
Operasi penghantaran bantuan makanan ini secara amnya telah berjaya dilaksanakan dan diserahkan kepada tuai rumah atau wakil penduduk masing-masing.
Dalam operasi berkenaan, seramai 23 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan terlibat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Pejabat Daerah Tatau.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PERKEP tonggak sokongan utama warga PDRM
Januari 18, 2026, Ahad - 10:25am

Jame (duduk, tengah) merakamkan gambar bersama ahli PERKEP IPD Tatau.
BINTULU: Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya berperanan sebagai tonggak sokongan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dalam aspek kebajikan, kekeluargaan dan pembangunan sahsiah, kata Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis.
Jelasnya, PERKEP memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim, menyemai semangat perpaduan serta membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga polis yang secara tidak langsung menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan PDRM secara keseluruhan.
"Ingin saya ingatkan semua ahli persatuan agar sentiasa memupuk semangat kerjasama yang erat dan baik dalam kalangan ahli PERKEP supaya ia terus kekal sebagai sebuah bentuk jalinan penting sebagai sokongan terhadap institusi IPD Tatau secara keseluruhannya, " jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau di Dewan Terbuka IPD Tatau pada Sabtu.
Jame turut menyeru semua ahli persatuan agar terus aktif memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan PERKEP yang baharu.
Mesyuarat Agong Tahunan PERKEP ini antara lain bertujuan bagi membentangkan laporan tahunan termasuk memilih barisan kepimpinan baharu serta merancang aktiviti-aktiviti PERKEP bagi memperkukuhkan kebajikan dan perpaduan dalam kalangan ahli.
Dalam pada itu, Jame berkata peranan PERKEP amat besar dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim, di samping menyemai semangat perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga polis, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan PDRM secara keseluruhan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pusat Khidmat Rakyat N67 Jepak sedia bilik khas untuk persatuan pesara
Januari 18, 2026, Ahad - 10:43am

Iskandar (tiga dari kiri hadapan) merakamkan gambar bersama-sama ahli persatuan yang hadir dalam majlis jamuan teh pada petang Sabtu.
BINTULU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak kini menyediakan sebuah bilik khas bagi kegunaan pesara yang bertujuan meningkatkan kemudahan serta keselesaan warga emas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Jelasnya, penyediaan bilik khas itu membolehkan persatuan pesara berurusan di pusat khidmat berkenaan dengan lebih selesa dan teratur.
"Dalam masa sama akan memudahkan mereka (ahli persatuan) merancang aktiviti termasuk mengadakan mesyuarat berkaitan persatuan," ujarnya semasa menghadiri Majlis Jamuan Teh anjuran Persatuan Pesara Negeri Sarawak Bahagian Bintulu di sini pada petang Sabtu.
Iskandar berkata semua pesara di kawasan Jepak dialu-alukan untuk datang ke pusat khidmat berkenaan sekiranya mempunyai sebarang keperluan atau memerlukan bantuan, tanpa rasa malu atau segan.
“Insya-Allah, pihak kami akan cuba membantu sebaik mungkin, sama ada bantuan asas seperti lampin pakai buang, susu, kerusi roda, kit perubatan atau hal-hal berkaitan persekolahan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan Persatuan Pesara Bintulu agar terus aktif merancang pelbagai aktiviti yang lebih menarik, khususnya sempena bulan Ramadan yang bakal tiba bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.
Beliau menambah kemudahan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pesara di kawasan DUN N67 Jepak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Cawangan Miri hulur sumbangan khairat kematian kepada ahli
Januari 18, 2026, Ahad - 10:52am
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Miri melalui Biro Wanita menghulurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga mendiang Kunjap Gat dalam satu kunjungan kebajikan di Miri, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada anak mendiang, Geni Kunjap yang juga ahli Terabai Menua Cawangan Miri, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan persatuan terhadap kebajikan ahlinya yang ditimpa musibah.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Wanita Lita Medang bersama beberapa ahli biro yang lain.
Menurut persatuan, sumbangan khairat kematian tersebut diharap dapat membantu meringankan beban kewangan serta memberi sedikit kelegaan emosi kepada keluarga mendiang dalam tempoh sukar.
Dalam pada itu, Terabai Menua Cawangan Miri turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang berganding bahu menjayakan inisiatif kebajikan berkenaan serta terus komited membantu ahli dan masyarakat setempat.
Jelasnya lagi, usaha tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan persatuan dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial di peringkat komuniti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|