Alor Setar: "Saya memang marah dengan abang, tak tahu apa motif dia (abang) buat buat macam tu kat (pada) mama (ibu).
"Kami serahkan pada undang-undang untuk menentukan keadilan dan mendapat hukuman setimpal, " kata Muhammad Khairul Hakimi Shamsul Zahari, 23.
Muhammad Khairul Hakimi adalah anak ketiga Zahrullail Basir, 52, yang maut ditikam anaknya di rumah mereka di Taman Sultan Badlishah, Jalan Tanjung Bendahara, di sini, Isnin lalu.
Dia yang juga penuntut tahun akhir di sebuah universiti awam berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa ibunya pada hari kejadian.
Katanya, ketika kejadian dia berada di universiti dan menduduki peperiksaan semester ketujuh bagi jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal.
"Sepatutnya saya balik esok kerana cuti semester akan bermula sehingga lepas Aidilfitri ini tetapi bila dah macam ni, saya balik juga semalam.
"Sabtu ni, saya akan balik ke universiti untuk meneruskan menduduki peperiksaan yang tertangguh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Khairul Hakimi, buat sementara ini, dia dan ahli keluarga yang lain sedang berbincang untuk menjaga tiga adiknya yang berusia lapan, 13, dan 18 tahun kerana sebelum ini mereka tinggal bersama arwah ibu.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah ibunya pada Oktober tahun lalu kerana sibuk dengan kuliah.
"Kalau balik ke rumah sini, mama selalu masak macam-macam kerana mama pandai masak.
"Lepas ni tak boleh dah rasa masakan mama dan Hari Raya tahun ini pun rasa lain sebab mama tak ada tetapi saya okey saja sebab ramai ahli keluarga yang lain ada," katanya.
Katanya, jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Aziz, Tanjung Bendahara, jam 3 petang, semalam selepas urusan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), selesai.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, Zahrullail Basir, 52, yang juga eksekutif operasi sebuah bank ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman di badan yang dipercayai dibunuh anaknya, Isnin lalu.
Berikutan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki yang juga anak sulung si mati pada jam 8.34 malam kelmarin dalam sebuah bas persiaran yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Selangor.
Suspek berusia 29 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 9 Februari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.