Kecederaan halang Tang Jie-Ee Wei sertai Terbuka Jerman
Khairil S Iswan - Oktober 28, 2025 @ 5:30pm

Chen Tang Jie terpaksa melupakan kejohanan Terbuka Jerman akibat kecederaan bahu kanan yang dialaminya semasa Terbuka Perancis, baru-baru ini. Foto: NSTP
KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie terpaksa melupakan kejohanan Terbuka Jerman akibat kecederaan bahu kanan yang dialaminya semasa Terbuka Perancis, baru-baru ini.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, mengesahkan perkara berkenaan dan keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengelak kecederaan yang lebih serius terhadap gandingan Toh Ee Wei itu.
Widianto berkata, Tang Jie dijadualkan menjalani pemeriksaan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) untuk menilai tahap kecederaan bahu kanannya.
Laporan perubatan daripada pemeriksaan ini juga dijangka akan menentukan penyertaannya dan Ee Wei, dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
Menurut Nova, pihak fisioterapi menasihatkan Tang Jie supaya tidak beraksi di Jerman kerana kebimbangan akan berlaku koyakan pada otot jika dipaksa bermain.
"Tang Jie pada hari ini akan berjumpa dengan doktor jadi kita belum tahu keputusannya bagaimana. Tetapi fisioterapi ada menasihatkan dia untuk menarik diri dari Terbuka Jerman yang bermula hari ini.
"Kerana jika dipaksa bermain juga, dibimbangi akan berlaku koyakan. Jadi kita tunggu hasil pemeriksaan dahulu," kata Widiantonselepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Pasangan juara dunia 2025 itu juga disahkan tidak akan menyertai Masters Korea pada awal November ini dengan penyertaan mereka dalam Masters Jepun (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November) akan dibuat selepas mendapat laporan penuh perubatan mengenai keadaan Tang Jie.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/10/1464705/kecederaan-halang-tang-jie-ee-wei-sertai-terbuka-jerman
|