Paris: Ketua pasukan Ferrari, Frederic Vasseur mendakwa Lewis Hamilton kerap 'membesar-besarkan' masalah jentera dipandunya sepanjang musim Formula Satu (F1) 2025.
Hamilton melalui 14 perlumbaan awal yang mengecewakan bersama Ferrari apabila gagal menamatkan sebarang Grand Prix dalam kelompok tiga teratas.
Sebaliknya rakan sepasukannya, Charles Leclerc berjaya meraih lima podium musim ini, termasuk mencatat petak utama pada Grand Prix Hungary baru-baru ini.
Walaupun Hamilton menunjukkan sedikit peningkatan di Grand Prix Kanada dengan menewaskan Leclerc pada sesi kelayakan tiga kali dalam empat perlumbaan, keyakinannya merudum sebelum cuti musim panas.
Pelumba Britain itu tersingkir seawal sesi kelayakan pertama sebanyak dua kali di Spa, manakala di Hungary pula dia ketinggalan satu pusingan sebelum menamatkan perlumbaan di luar kelompok pungutan mata.
Dalam temu bual bersama Auto Motor und Sport dari Jerman, Vasseur membuat kenyataan mengejut dengan mendakwa Hamilton "kadang-kadang membesar-besarkan masalah yang dirasainya pada kereta".
"Kami selesaikan masalah satu demi satu. Ia bukan masalah besar, cuma nampak begitu saja.
"Jika sistem brek tidak seperti yang dimahukan pemandu, mungkin setengah persepuluh saat hilang di situ. Dari luar, memang sukar untuk segera mengenal pasti di mana masa itu hilang.
"Perbezaan sesingkat itu boleh merosakkan keseluruhan hujung minggu. Ia boleh jadi beza antara layak ke Q2 atau Q3. Lewis kadang-kadang membesar-besarkan masalah yang dilihatnya pada kereta.
"Pasukan pula secara semula jadi mahu bertindak balas dan semua orang menumpukan kepada masalah itu," jelas Vasseur.
Hamilton sebelum ini beberapa kali memberi kenyataan muram selepas melalui sesi sukar musim ini.
Di Hungary, dia malah menyifatkan dirinya "tidak berguna" dan mencadangkan Ferrari mempertimbangkan untuk menukar pemandu.
Namun, Vasseur berasakan Hamilton terlalu "kritikal terhadap diri sendiri" terutama ketika bercakap dengan media sejurus keluar daripada kereta.
"Bertenanglah. Bina daripada fakta bahawa dia sudah ambil langkah pertama. Jangan biarkan perkara seperti di Budapest menjatuhkan moralnya.
"Lewis sangat kritikal terhadap diri sendiri. Reaksinya selalu ekstrem. Kadang-kadang dia terlalu keras terhadap kereta, kadang-kadang pada dirinya.
"Dia mahu mengeluarkan yang terbaik daripada dirinya dan semua orang dalam pasukan. Jadi, kita kena tenangkan dia dan jelaskan bahawa di Q2 (Hungary), dia hanya ketinggalan satu persepuluh saat daripada rakan sepasukan yang akhirnya meraih petak utama. Itu bukan isu besar," tambahnya.