Padang Besar: Padang Besar terus menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung ke Perlis semasa tempoh cuti persekolahan ini, membolehkan peniaga kecil sekitar sini menambah pendapatan harian mereka.
Sebagai sebuah pekan yang bersempadan dengan Songkhla, Thailand, kawasan yang menawarkan pelbagai barangan seperti makanan, pakaian, perhiasan dan kelengkapan rumah termasuk daripada negara jiran pada harga murah itu boleh diakses menerusi perkhidmatan tren elektrik (ETS), membuatkan ia antara pilihan ramai pengunjung dalam negara.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan peniaga di sini jelas amat gembira dengan kehadiran ramai pengunjung ke arked niaga yang menempatkan ratusan lot kedai dan gerai itu sepanjang cuti persekolahan, kerana menurut mereka sebelum ini keadaannya agak suram pada hari biasa.
Peniaga makanan Khalija Nyan, 26, berkata jualannya seperti dim sum, dodol, buah-buahan dan minuman, adalah antara produk yang laris dibeli para pengunjung yang bertandang ke Arked Niaga Padang Besar itu berbanding pada hari biasa.
"Jika dibuat perbandingan, saya boleh mendapat keuntungan lebih RM600 sehari pada musim cuti sekolah ini berbanding hari biasa, yang keuntungan hanya kira-kira RM150 sehari.
"Alhamdulillah, ada penambahan untung apabila berniaga ketika musim cuti sekolah ini, sekali gus meningkatkan pendapatan harian saya sebagai peniaga dan saya harap situasi orang ramai seperti ini akan berterusan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 nanti," katanya.
Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang menyasarkan kehadiran 3.5 juta pelancong, menyediakan pelbagai produk pelancongan seperti jualan, pameran, aktiviti karnival dan sebagainya.
Padang Besar atau lebih popular dengan nama 'Pasar Siam' oleh penduduk setempat terletak di utara negeri Singa Utara itu, iaitu kira-kira 34 kilometer daripada ibu negeri, Kangar.
Sementara itu, peniaga kraf tangan Asmida Wan Husin, 48, yang turut mengakui pendapatannya pada musim cuti ini meningkat lima kali ganda berbanding hari biasa berkata beg rotan yang berharga RM30 menjadi antara produk paling laris dibeli pengunjung ke kedainya.
"Perniagaan kraf tangan saya mendapat sambutan luar biasa pada musim cuti sekolah ini apabila saya mampu memperoleh keuntungan dianggarkan lebih RM1,000 sehari berbanding hari biasa hanya RM200 sehari.
"Saya menjual barang kraf tangan dengan harga bermula RM30 hingga RM150 setiap barang dan paling banyak mendapat sambutan daripada pelanggan ialah beg rotan. Barangan kraf tangan lain pun ada pelanggan beli, tetapi beg rotan lebih jadi pilihan," katanya.
Pengunjung dari Jawa Tengah Indonesia, Nofi Kamim, 28, yang pertama kali menjejakkan kaki ke arked niaga berkenaan berkata kunjungannya ke Perlis adalah untuk menikmati keindahan suasana di negeri ini selain mahu merasai sendiri keunikan Padang Besar.
"Ini kali pertama saya datang ke Padang Besar, makanan dan barangan di sini sama seperti di Thailand dan saya juga suka dengan Perlis yang tidak terlalu sesak dengan orang ramai berbanding di bandar besar yang lain," katanya.
Seorang lagi pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Jijah, 36, dari Perak berkata Padang Besar sentiasa menjadi antara destinasi wajib untuk dilawatinya dan suami sekiranya bercuti ke Perlis memandangkan suasananya yang mendamaikan.