Seorang penyelia warganegara China di sebuah projek pembinaan empangan di Pakistan didakwa pekerja menghina Islam di bulan Ramadan kini berada di bawah perlindungan polis.
Majoriti umatnya adalah muslim, penghinaan terhadap Islam adalah isu sangat sensitif di Pakistan dan khabar angin mengenai kenyataan yang menghina agama itu boleh mencetuskan rusuhan dan keganasan sehingga membawa maut.
 Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut pekerja China ke Projek Tenaga Hidro Dasu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut Pakistan dilihat berikutan serangan pada 2021 yang menyebabkan sembilan warga China maut. - Foto AGENSI
Pegawai berkata, jurutera di projek kuasa hidro Dasu di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa itu dituduh menghina Islam selepas dia melakukan "gerak kerja yang perlahan" semasa bulan Ramadan, apabila umat Islam berpuasa dari subuh hingga matahari terbenam.
" ekerja buruh itu berkata mereka berpuasa tetapi menafikan bahawa kerja menjadi perlahan sehingga membawa kepada pertukaran kata-kata panas dengan penyelia," kata seorang pegawai polis kepada AFP yang enggan namanya disiarkan.
"Kemudian, pekerja buruh menuduh jurutera itu membuat kenyataan menghina dan kira-kira 400 penduduk tempatan berkumpul untuk melakukan protes," katanya.
Aduan bertulis yang dilaporkan kepada polis mendapati penyelia berkenaan dikenali sebagai "Encik Tian" dan mendakwa kenyataannya pada Sabtu lalu "menimbulkan ketegangan."
Pegawai polis di Dasu, Muhammad Nazir, berkata warga China itu sudah dibawa ke tempat selamat sebagai langkah berjaga jaga.
Seorang pegawai pentadbiran tempatan di Dasu berkata, pasukan tentera dan separa tentera turut dikerahkan bagi memastikan keselamatan penyelia berkenaan.
Mereka yang melakukan penghinaan terhadap Islam boleh dihukum mati di Pakistan, walaupun setakat ini belum ada sesiapa dihukum mati akibat melakukan jenayah berkenaan.
Nazir berkata, tindakan rasmi oleh pihak polis belum bermula terhadap warga China itu "kerana pihak berkuasa cuba menyelesaikan isu ini secara aman".
Seorang lagi pegawai polis berkata bahawa "ulama tempatan dan warga tua di kampung itu sedang berunding dengan pekerja untuk menyelesaikan isu berkenaan."
Pada Disember 2021, seorang pengurus kilang Sri Lanka dipukul hingga mati dan dibakar oleh kumpulan perusuh yang menuduhnya menghina Islam di bandar Sialkot di timur Pakistan.
Sumber: BH Online |