View: 2333|Reply: 0
|
[SEJARAH]
PERISTIWA SEDIM & KAMPUNG LINDUNGAN RAJA
[Copy link]
|
|
PERISTIWA SEDIM & KAMPUNG LINDUNGAN RAJA
Peristiwa Sedim merupakan peristiwa penculikan yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman Putra terhadap ayahanda baginda sendiri iaitu, Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah semasa Jepun menyerang Kedah pada Disember 1941. Peristiwa tersebut berlaku pada hari Isnin 8hb Disember 1941 apabila Jepun menjatuhkan bom di Sungai Petani.
Tunku Abdul Rahman pada ketika itu bertugas sebagai Pegawai Daerah di Kulim. Pada malam sebelum "penculikan" itu berlaku, Tunku sedang bertugas dan telah menerima mesej daripada Dato Sri Syed Omar Shahabudin bahawa British hendak memindahkan Sultan pada waktu subuh.
Tunku memutuskan bahawa ayahandanya wajar berada bersama-sama rakyat jelata pada waktu itu. Oleh yang demikian, Tunku bertindak nekad untuk menghalang pihak berkuasa untuk membawa ayahandanya ke Pulau Pinang. Tunku melengkapkan diri dengan senjata dan bersama-sama dengan rakannya Syed Abu Bakar Al-Idrus dan menunggu baginda di simpang Kepala Batas, Pulau Pinang.
Kereta pertama dengan iringan polis bertolak dan dua minit kemudian muncul kereta Rolls Royce yang membawa baginda Sultan, Tunku Abdul Rahman terus menahannya dan melompat masuk lantas memaksa pemandunya menghala ke arah Kulim. Hanya apabila konvoi tiba di Pulau Pinang barulah mereka yang turut serta sedar tentang kehilangan baginda Sultan. Selepas membuat siasatan, mereka mendapati bahawa Sultan berada bersama-sama Tunku di Kulim.
Tunku berjaya melaksanakan misinya memandangkan pergerakan kenderaan yang perlahan dengan jarak masa selang dua minit bagi mengelakkan debu pada jalan. Tempoh dua minit cukup buat Tunku untuk melencongkan kenderaan berkenaan.
Tunku membawa ayahandanya ke tempat kediamannya di Kulim dan apabila pihak Jepun kian hampir, Tunku meminta baginda Sultan dan Pemangku Raja untuk ke tempat perlindungan yang disediakan khas di Estet Bukit Sedim iaitu di luar garis kemaraan Jepun. Seterusnya rombongan baginda dibawa ke Kampung Sedim. Pada ketika itu, penduduk kampung telah berpakat untuk membuat usungan daripada dua batang buluh dan apabila rombongan Sultan tiba, baginda diusung ke rumah Penghulu Sedim iaitu Haji Yassin.
Di Kampung Sedim, Sultan Badlishah tinggal di rumah penghulu Haji Yassin. Seramai 5 hingga 60 orang disuruh berkawal siang dan malam untuk menjaga keselamatan baginda Sultan. Mereka kekal berada di situ selama 6 hari sehinggalah Jepun menghantar rombongan untuk mengiringi mereka kembali ke Alor Setar.
Ketika menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama, pada 12 Januari 1963 YTM Tunku telah mengisytiharkan nama Kampung Sedim menjadi “Kampung Lindungan Raja”.
Nama baru ini adalah mengambil sempena dan sebagai membalas budi di atas kawalan dan perlindungan yang diberikan oleh penduduk Kampung Sedim kepada DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Kredit/Sumber : Histourism - History & Tourism
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|