![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250203/twu-ub03022025-hs-arthurp1.jpg)
BERTUAH: Arthur ketika hadir merasmikan dan menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah dalam majlis berkenaan.
KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini perlu sentiasa memperbaharui tekad dan semangat dalam mencapai kejayaan yang lebih besar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sempena Tahun Baharu Cina ini, setiap rakyat perlu mempunyai semangat untuk berjaya.
Katanya, dalam konteks sektor pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus komited untuk memastikan sektor ini berkembang dengan mampan.
“Ia bagi membolehkan sektor pertanian ini terus memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara serta kesejahteraan masyarakat.
“Kami juga sangat menghargai kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk institusi kewangan seperti Agrobank, yang terus menyokong usaha sektor pertanian dengan menawarkan perkhidmatan pembiayaan yang berdaya saing kepada para petani dan usahawan tani,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2025 Agrobank, di sini pada Sabtu. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Sementara itu, Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank komited menyediakan pembiayaan yang mudah diakses bagi membantu sektor pertanian dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing.
“Sambutan Tahun Baru Cina ini adalah satu peluang untuk kami menyampaikan penghargaan kepada semua pelanggan kami, terutamanya usahawan tani yang terus menjadi tulang belakang kepada industri pertanian negara,” katanya.
Dalam majlis sama, turut berlangsung serahan bantuan tunai berjumlah hampir RM15,000 kepada golongan B40 yang memberi manfaat kepada 150 Komuniti Cina di Ansip, Keningau.
Bersempena dengan perayaan tahun baru cina, Agrobank telah melancarkan Kempen Huat Year Ong Ong Lai Mega Million 2.0.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen ini, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 1-300-88-2476 atau terus berkunjung ke cawangan terdekat Agrobank.
|