Bakar rumah di Tongkang Yard: 2 penganggur didakwa bunuh warga emas, anak angkat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Februari 3, 2025 @ 1:04pm [email protected]
Dua lelaki untuk dituduh atas dakwaan membunuh bapa dan anak angkatnya dengan membakar rumah di Tongkang Yard, Alor Setar bulan lalu. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dan anak angkatnya dengan cara membakar rumah mereka di Tongkang Yard, bulan lalu.
Tertuduh Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga penganggur.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah rumah di Lorong Rose, Jalan Kota Tanah, Tongkang Yard, jam 3.30 pagi, 21 Januari lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Tongkang Yard yang meragut dua nyawa penghuninya.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kejadian kebakaran biasa, namun menukarnya kepada kes bunuh selepas siasatan mendapati terdapat unsur jenayah menerusi penemuan petrol di tempat kejadian.
Susulan itu, polis menahan lima suspek termasuk anak saudara seorang mangsa berusia antara 19 hingga 53 tahun dengan tiga daripada mereka positif dadah.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1356886/bakar-rumah-di-tongkang-yard-2-penganggur-didakwa-bunuh-warga-emas-anak
|