![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250202/whatsappimage2025-02-02at1856336e7d11ba-side.jpg)
Deretan plat kenderaan yang tertanggal akibat banjir yang melanda kawasan Desa Senadin, beberapa hari lepas.
MIRI: Lebih 20 plat kenderaan yang dipercayai tertanggal akibat meredah banjir di jalan-jalan di Senadin dikumpulkan di satu lokasi tepi jalan utama, masuk ke Uptown Senadin dan Desa Senadin hari ini.
Plat kenderaan dari pelbagai kawasan, negeri termasuk dari negara jiran Brunei Darussalam, dikumpul dan dihimpunkan di situ oleh pekerja pembersihan yang melakukan kerja-kerja membersih parit besar di jalan utama ke Desa Senadin ini.
Orang ramai yang ingin mencari plat kenderaan mereka yang tertanggal boleh memeriksa jika plat mereka terdapat di situ.
Kesemua plat itu dipamerkan di tepi jalan berhampiran sebuah gerai.
Dalam pada itu, beberapa penduduk dan pemilik kenderaan, turut meninjau dan mencari plat kenderaan masing-masing yang tertanggal akibat banjir beberapa hari lalu.
Kawasan Senadin pertama kali mengalami banjir teruk pada tahun ini, menyebabkan jalan utama bukan sahaja ditenggelami air sehingga mencecah satu kaki dalam, malah arus juga turut deras, kerana hujan yang turun tanpa henti beberapa hari, dari 27 hingga 29 Januari lalu.
Banjir di Senadin surut sepenuhnya sejak semalam, 1 Februari apabila keadaan cuaca mulai bertambah baik.
|