Penghantar ayam mengaku tidak bersalah miliki pistol, peluru tanpa lesen
Zuhainy Zulkiffli[email protected]
KOAY didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol dan lapan biji peluru tanpa lesen. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Georgetown: Penghantar ayam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki dua pucuk pistol dan lapan biji peluru tanpa lesen.
Bagaimanapun, tertuduh, Koay Teng Soon, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati memiliki enam butir peluru tertulis Thai arms 60/90 MM dan dua butir bertulis S&B 9MM Luger tanpa lesen atau permit senjata.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki senjata api iaitu dua pucuk pistol Smith & Wesson dan Pietro Beretta berserta satu kelopak.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 2 petang di Solok Paya Terubong di sini, 10 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Disember depan.
Disiarkan pada: November 21, 2024 @ 4:23pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1157603/penghantar-ayam-mengaku-tidak-bersalah-miliki-pistol-peluru-tanpa-lesen
[size=0.95]
|