Awang Tengah bersama yang lain semasa Persidangan DUN hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan siling sebanyak RM237,990,932 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan ini digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan di negeri ini.
Menurutnya, empat projek bandar dan pekan baharu sedang giat dilaksanakan di Sebuyau, Simunjan, Daro dan Kabong.
“Bagi pusat perkhidmatan, ia melibatkan kawasan di Lingga, Matu, Igan, Matadeng dan Ulu Merapok, yang kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan di luar bandar.
Ia katanya, bagi memastikan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan melalui LCDA sedang menyiapkan Pelan Induk Pembangunan Semula Bukit Assek dan dijangka dimuktamadkan sebelum akhir 2024.
“Sejak 2020 hingga 2024, beberapa sesi libat urus bersama pihak pemegang taruh untuk mendapatkan input awal telah dijalankan.
“Ini termasuk mengenai makmal pembangunan semula Bukit Assek, perbincangan kumpulan fokus (FGD) untuk kajian impak sosial, bengkel teknikal pembangunan semula Bukit Assek dan kajian pelan induk ‘Sibu Cloudburst Masterplan’ untuk Tahap 1-3,” katanya.
Kemudian katanya, sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk penduduk setempat yang seterusnya akan diadakan setelah pelan induk ini dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA).
Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Long Lama di DUN Telang Usan telah dibangunkan mengikut pelan induk yang diluluskan kerajaan.
“Pelan ini merangkumi komponen pembangunan seperti kawasan komersial, pendidikan, rizab kerajaan dan perumahan,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, hasil survei pasaran yang dijalankan LCDA terutama keperluan penduduk tempatan untuk memiliki rumah kos rendah dan sederhana akan diambil kira dalam perancangan pembangunan projek perumahan di RGC Long Lama.
“Cadangan komponen perumahan ini akan dikemukakan untuk pertimbangan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” ujarnya.
|