CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9679|Reply: 0

[Sabah] Hajiji beri jaminan pengurusan baharu Sabah Mineral Management ikut tadbir urus yang baik

[Copy link]
Post time 21-11-2024 11:39 AM | Show all posts |Read mode


PENGGULUNGAN: Hajiji ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan DUN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan pengurusan pentadbiran baharu Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) teratur dan mengikut tadbir urus yang baik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, semua pertimbangan dan kelulusan yang diputuskan berkaitan SMM dibuat melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Menurutnya, laporan berhubung isu yang hangat diperkatakan mengenai pengurusan mineral telah diserahkan oleh SMM kepada pihak berwajib.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat sebarang unsur salah laku atau penyalahgunaan kuasa.

"Bagi maklumat yang terperinci, saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut kerana kes ini sedang dalam siasatan oleh pihak yang berwajib dan sebarang kenyataan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan," katanya dalam ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Sarifuddin Hata (WARISAN-Merotai) yang membangkitkan isu berkenaan tatakelola pengurusan mineral dan turut mencadangkan untuk menyerahkan pengurusan mineral kepada syarikat milik kerajaan seperti Yayasan Sabah.

Hajiji berkata, SMM adalah syarikat milik penuh kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk menguruskan sektor mineral sebagai langkah strategik bagi memastikan pengurusan sumber mineral dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berkesan untuk memaksimumkan potensi dan sumber baharu pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Setakat ini, Ahli Lembaga Pengarah SMM melalui syor oleh pihak pengurusan syarikat, kerajaan negeri mengeluarkan 26 Lesen Mencarigali (Prospecting License-PL) selaras dengan Seksyen 6 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 untuk tempoh dua tahun.

"Daripada 26 Lesen Mencarigali berkenaan, dua PL ditarik balik sendiri oleh pemegang lesen, satu PL dibatalkan dan empat PL telah luput tempoh dan atas beberapa sebab seperti tiada kemajuan eksplorasi yang signifikan dalam tempoh dua tahun oleh pemegang lesen.

"Ada yang tidak mendapat persetujuan daripada pemegang Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Lestari (SFMLA) dan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk memasuki kawasan berkenaan dan selebihnya berada dalam Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) berada dalam kawasan tadahan air sensitif.

"Manakala 19 PL masih berkuat kuasa. PL ini hanyalah bertujuan mencari gali sama ada terdapat jumlah mineral yang ekonomik untuk dilombong," jelasnya.

Hajiji berkata, sebarang permohonan untuk pajakan melombong (Mining Lease) untuk operasi perlombongan hanya akan diputuskan setelah dibuktikan terdapat mineral yang bernilai untuk dibangunkan hasil daripada dapatan daripada kerja-kerja PL.

Menurutnya, kepentingan kerajaan negeri akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum pajakan melombong dikeluarkan.

"Mengenai status kayu tanaman akasia dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) (tanah bergeran), kebenaran membalak diberikan kepada pihak Yayasan Sabah bagi membolehkan kayu-kayu akasia yang ditanam di kawasan geran tanah berkenaan untuk dibalak.

"Tindakan itu berikutan terdapat kes jangkitan kulat yang menyerang pokok tanaman di kawasan berkenaan. Proses penuaian pokok perlu disegerakan untuk mengeluarkan pokok-pokok tanaman yang dijangkiti kulat bagi membolehkan penanaman pokok baharu dijalankan.

"Penyakit kulat yang menyerang pokok tanaman akasia ini memerlukan penuaian segera bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ke kawasan yang lain," jelasnya.

Beliau berkata, setakat 3 November 2024, pembalakan dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 1,921.33 hektar dan pihak Yayasan Sabah akan menjalankan penanaman semula di kawasan itu dengan kos penanaman lebih kurang RM12,000 sehektar.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 06:01 PM GMT+8 , Processed in 0.060766 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list