Butterworth: Reman terhadap lelaki warga asing yang mengorek mata kiri lelaki tempatan dalam insiden pergaduhan di Tasek Gelugor, Sabtu lalu disambung tiga hari lagi sehingga Sabtu ini.
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh membenarkan suspek berusia 28 tahun yang remannya tamat hari ini disambung bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan hadir di Mahkamah Majistret, di sini, kira-kira jam 10.45 pagi.
Media baru-baru ini, melaporkan seorang lelaki direman selama empat hari bermula 17 November sehingga hari ini selepas bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki dalam insiden pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalam Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini.
Insiden kira-kira jam 2 petang itu tercetus dipercayai apabila suspek berang dengan tindakan mangsa berusia 52 tahun yang dikatakan sering mengganggunya.
Difahamkan, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mabuk bergaduh dengan suspek yang mengakibatkan suspek bertindak mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.