CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 31438|Reply: 0

[Sabah] Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara boleh dijayakan

[Copy link]
Post time 18-11-2024 05:14 PM | Show all posts |Read mode


BAHAS: Ewon ketika di DUN bagi membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2025.

KOTA KINABALU: Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara boleh dijayakan dari perspektif kementerian masing-masing dengan memberi fokus tambahan kepada keperluan di Malaysia Timur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata,  mengambil contoh fokus tambahan kepada Sabah yang dijayakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

"Tujuh agensi pembiaya di bawah KUSKOP sahaja telah menyalurkan sebanyak RM953.9 juta ringgit pembiayaan dan geran kepada 53,044 perusahaan mikro, kecil dan sederhana sederhana serta koperasi dan usahawan francais pada tahun 2023.

"Saya mensasarkan jumlah pembiayaan ini dapat mencecah RM1 bilion pada tahun ini dan untuk ini, kita akan terus memperkasakan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah yang saya pengerusikan bersama dengan ADUN Luyang selaku Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Phoong Jin Zhe," katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Ewon berkata, untuk bersaing dalam arena ekonomi, potensi yang dimiliki Sabah perlu dibangunkan memandangkan khususnya potensi yang tidak dimiliki oleh negeri lain dalam negara ini.

"Kita harus terus membangunkan Sabah sebagai 'the Eastern Gateway of Malaysia’.

"Lonjakan kehadiran pengunjung dan pelancong ke Sabah menerusi rangkaian penerbangan terus antarabangsa ke sini seharusnya menjadi potensi besar kepada aktiviti ekonomi Sabah," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar Kerajaan Sabah membuka ruang kepada pelaburan untuk pembangunan Taman Tema Keluarga dan Wellness Tourism.

Menurutnya, keindahan semula jadi Sabah yang memiliki Gunung Kinabalu, sungai dan hutan asli, pulau dan pantai perlu digubah untuk menarik 'wellness tourist' daripada seluruh dunia.

"Ini jika dapat dipakejkan dengan produk-produk bertemakan keluarga sudah pasti akan menarik kehadiran pelancong yang lebih ramai.

"Sudah tentu pelaburan untuk pembangunan sektor ini melibatkan dana yang besar. Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah memperkenalkan insentif pelaburan kepada syarikat-syarikat bertaraf multi-nasional atau syarikat-syarikat tempatan yang ingin membangunkan Taman Tema Keluarga ataupun Pusat Wellness Tourism di Sabah," katanya.

Ewon turut mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM124.7 juta dalam Belanjawan Negeri untuk pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan.

Beliau yakin melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah, peruntukan ini dapat dioptimumkan dan diperkasakan dengan Belanjawan MADANI 2025 yang menyediakan RM40 bilion untuk pelbagai skim bantuan dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Terkait dengan pembangunan produk halal daripada Sabah, saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah dapat menyediakan satu makmal di sini bagi menguji produk-produk keluaran Sabah yang memohon untuk persijilan halal.

"Saya difahamkan pada ketika ini, produk-produk itu perlu dihantar ke makmal di Semenanjung untuk proses ujian dan sudah tentu ianya akan menyumbang kepada lanjutan masa memproses persijilan halal," katanya.

Beliau yang juga Menteri KUSKOP berkata, sekiranya makmal itu dapat dibina di Sabah, bukan sahaja masa menguji dan memproses persijilan halal itu akan lebih mudah, tetapi usahawan-usahawan yang telah mendapat persijilan halal ini akan mempunyai akses kepada banyak skim bantuan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian di Persekutuan termasuk di KUSKOP.

Ahli Parlimen Penampang itu turut mengalu-alukan pemberian bantuan one-off sebanyak RM5,000 yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Kerajaan Sabah kepada peniaga-peniaga kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Beliau yakin pemberian itu akan melonjakkan pemilikan lesen perniagaan dalam kalangan usahawan mikro yang berjual bukan hanya di tepi jalan tetapi juga di tamu-tamu komuniti.

"Saya mencadangkan kepada Kerajaan agar mensyaratkan sebahagian daripada pemberian ini digunakan untuk mencarum di PERKESO bagi memastikan usahawan-usahawan mikro ini mendapat perlindungan sosial yang lebih baik.

"Saya juga ingin memaklumkan di Dewan ini bahawa Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah sedang aktif melaksanakan Program Pendataan dan Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil (Data PPK) atas inisiatif mereka sendiri termasuk menyediakan sebuah aplikasi untuk tujuan pendataan dan membantu penjaja-penjaja ini memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Ewon mencadangkan kementerian penyelaras bantuan one-off ini dapat menjemput Gabungan Persatuan ini untuk memberi taklimat inisiatif mereka sepertimana mereka telah bentangkan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah dan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan.

Dalam pada itu, Ewon merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di atas peningkatan bantuan sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam
daripada RM56.75 juta pada tahun 2024 ini kepada RM69.99 juta pada tahun hadapan.

"Saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah mempertimbangkan penyertaan pemimpin-pemimpin agama Kristian misalnya, untuk menunaikan ‘pilgrimage’ ke tanah-tanah suci di bawah dokongan dana yang disediakan ini terutama kepada paderi-paderi, pastor-pastor dan pemimpin gereja lain yang belum berkesempatan menunaikan pilgrimage itu.

"Untuk ini juga, saya mencadangkan penubuhan sebuah Unit Hal Ehwal Khas Bukan Islam dapat ditubuhkan di Jabatan Ketua Menteri atau di Kementerian Kewangan untuk menyelaras semua bantuan ini termasuk Inisiatif Bantuan Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 11:35 PM GMT+8 , Processed in 0.312678 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list