Hana Umairah (kiri) bersama Presiden Muay Thai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi selepas tamat Kejohanan Dunia di Bangkok. - Foto Ihsan PMTNS
SEREMBAN: Selepas berjaya meraih tiga pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini, Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan (PMTNS) yakin pencapaian itu akan dapat ditingkatkan pada temasya yang sama di Selangor pada tahun 2026.
Keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa atlet muda dari Negeri Sembilan yang dilihat semakin menonjol dalam beberapa kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan dunia pada tahun ini.
Jurulatih PMTNS, Muhammad Faisal Zulkeple berkata, antara atlet muda yang semakin meningkat naik termasuk Hana Umairah Mohd Faizal, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V Seremban dan Zukarnain Affendy, 13, SMK Ampangan.
"Kedua-dua atlet berkenaan baru saja memenangi kejohanan kebangsaan di mana Hana Umairah dinobatkan selaku juara kebangsaan bagi kategori 50 kilogram (kg) manakala Zukarnain bagi kategori 37kg.
"Kami mempunyai ramai atlet pelapis yang berpotensi untuk mencapai tahap lebih baik sebagai persiapan menghadapi Sukma 2026," kata Faisal.
Menurut jurulatih itu, setakat ini, Hana Umairah adalah antara atlet yang mampu dijadikan sandaran selepas dia menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan dalam banyak kejohanan.
Katanya, atlet muda berkenaan meraih pingat perak dalam Kejohanan Muay Thai Dunia 2024, yang berlangsung di Bangkok Thailand, September lalu.
"Kami sudah menyusun perancangan yang rapi tahun hadapan termasuk menggalakkan mereka menyertai banyak kejohanan sebagai pendedahan selain menguji prestasi semasa mereka,"
Pada Sukma lalu, tiga pingat gangsa Negeri Sembilan disumbangkan menerusi Muhammad Hasma Naqaie Muhamad Ridhuan (48/51kg), Nasirullah Khan Zarin Khan (63/65kg) dan Adam Maz Iskandar Shamsuddin (67/71kg).
Baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegur pemimpin persatuan sukan di negeri itu supaya bertindak proaktif dan agresif dengan membuat persiapan awal bagi menghadapi Sukma 2026 di Selangor.
|