RAKAMAN CCTV lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Rimbun Aman, Seremban 2. FOTO Ihsan Pembaca
Seremban: Lena seorang wanita tidak berpanjangan apabila dikejutkan dua lelaki bertopeng memecah masuk rumahnya di Taman Rimbun Aman, Seremban 2, di sini, pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, suspek dikatakan mengambil kunci kereta dan motosikal, namun tidak melarikan kedua-dua kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek dikatakan memecah pintu hadapan dan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
"Polis menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun kira-kira 8.50 pagi tadi. Dia mengatakan rumahnya dipecah masuk.
"Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai dua lelaki tempatan memecah masuk dengan cara mengumpil pintu hadapan rumah mangsa. Suspek melarikan kunci kereta, kunci motosikal dan lima botol arak," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
"Polis menyeru saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan dengan menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Nur Alisya Chin di talian 012-8256687," katanya.
|