ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa membuat pemantauan berkala di Gunung Bongsu, Kulim, bagi memastikan sebarang kegiatan pembalakan bagi projek ladang hutan di kompartmen 14, 42 dan 43 adalah mengikut undang-undang.
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee, berkata pihaknya mendapati kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar pada 25 Jun 2021, didakwa sudah tamat tempoh pada 25 Jun 2023.
"Ini bermakna sudah setahun ia tamat tempoh. Sekiranya tiada kelulusan, pihak saya berharap JAS menilai semula impak yang akan berlaku terhadap alam sekitar dan penduduk. Kerajaan negeri dan anak syarikatnya, Perbadanan Menteri Besar (MBI), perlu melihat serta menilai semula mengenai pembalakan di kawasan itu.
"Ia memberi banyak kesan buruk kepada penduduk di Kampung Ulu Paip, terutama terhadap sumber air tandak untuk mereka yang dibina oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1970-an. Kebanyakan penduduk bergantung pada sumber air itu kerana tekanan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) adalah sangat rendah.
"Pada masa sama, pihak saya berasa hairan kerana permohonan penduduk Kampung Kemuning Baru untuk mewartakan kawasan sumber air tandak mereka juga masih belum diluluskan Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Hari ini, BH melaporkan kerja-kerja penebangan pokok yang sedang dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu, dipercayai untuk laluan pembalakan, menimbulkan kebimbangan penduduk di 16 kampung sekitar kaki gunung itu.
Penduduk Kampung Ulu Paip, Abdul Wahab Syakroni Wahi, 37, dipetik berkata petempatan di kaki Gunung Bongsu berisiko dilanda banjir puing kerana dua sungai utama dari gunung, iaitu Sungai Ulu Paip dan Sungai Kob, mengalir melalui kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata, pihaknya sangat bimbang akan risiko ribuan penduduk puluhan kampung di kaki gunung itu boleh turut mengalami kesan hampir sama seperti yang pernah dialami penduduk di Kupang akibat banjir puing sehingga meragut nyawa dan kehilangan harta benda.
Beliau menyifatkan proses membuat lereng atau teras bukit bagi ladang hutan ibarat 'bom jangka' ketiga di Kedah selepas Gunung Inas, Baling, dan Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik.
"Sekiranya projek itu bermula nanti, teres yang dibuat untuk menanam pokok akan membentuk cerun yang curam, dan penduduk berisiko terkena musibah bencana alam yang teruk.
"Saya sudah membuat pemerhatian selama enam tahun bermula 2018. Setiap tahun, pihak saya bersama penduduk akan berbincang dan melakukan tinjauan. Berdasarkan pemerhatian kami, risiko banjir puing di kawasan ini adalah sangat tinggi," katanya.
Mohd Sobri berkata, misalnya di Kampung Iboi, banjir puing juga akan menyebabkan tanaman musnah, selain penduduk yang bergantung pada ternakan ikan air tawar juga akan kehilangan sumber pendapatan mereka.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya bimbang konflik antara haiwan liar dengan manusia akan bertambah buruk.
"Saya pernah mendapat aduan mengenai seekor lembu ternakan penduduk dibaham harimau. Saya yakin jika berlaku pembalakan di kompartmen terbabit, haiwan lain seperti babi hutan dan kera akan keluar memusnahkan tanaman di kebun penduduk.
"Pada masa sama, kita bimbang penduduk juga akan hilang pendapatan apabila tiada lagi tarikan alam semula jadi di kawasan itu sekiranya pembalakan berlaku nanti," katanya.