Georgetown: Keluarga merayu ihsan orang ramai bagi mengesan keberadaan wanita warga emas yang hilang tanpa khabar berita hampir sebulan lalu.
Rohani Babu, 63, yang turut dikenali sebagai 'Makndak' dikatakan kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, di sini, pada 9 Jun lalu.
Sepupunya, Shamsiah Ibrahim, 39, berkata, Rohani yang mempunyai seorang anak, tinggal bersendirian di kediaman terletak bersebelahan rumahnya.
Shamsiah berkata, Rohani disedari hilang pada tengah malam selepas mendapati pintu rumahnya terbuka dengan keadaan dalam yang berselerak.
"Dia dipercayai keluar dari rumah tanpa membawa dokumen pengenalan diri dan kami tidak tahu warna pakaian terakhir yang dipakainya.
"Sejak itu pencarian terhadap Rohani tidak pernah terputus dan dilakukan di sekitar tempat awam di bahagian pulau," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut Shamsiah berkata, dua laporan polis sudah dibuat keluarga susulan kehilangan sepupunya itu.
Selain mendapatkan khidmat bantuan pengamal perubatan Islam, keluarganya turut mencetak dan menampal poster kehilangan Rohani di kawasan orang ramai termasuk stesen bas serta pasar awam.
Katanya, sekali sekala Rohani akan mengalami hilang ingatan selain mempunyai sawan tarik dan pertuturan tidak jelas.
"Pemeriksaan di hospital juga sudah dibuat namun tiada rekod namanya dan kini kami meneruskan pencarian di beberapa lokasi tumpuan orang ramai di sekitar Seberang Perai.
"Sebelum ini, Rohani sudah dua kali hilang namun berjaya ditemui kerana membawa kad pengenalan bersama.
"Kehilangannya amat merisaukan tambahan pula usianya yang sudah tua selain mempunyai masalah kesihatan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Rohani diminta berhubung dengan Shamsiah di talian 011-6486 6763 atau balai polis berhampiran.