|
PEDRI dianggap seorang pemain yang berbakat, namun siri kecederaan berulang membuatkan Barcelona sedia melepaskannya. - AFP
BARCELONA – Bintang muda sensasi Barcelona, Pedri dilaporkan tidak lagi menjadi ‘anak emas’ kelab itu apabila berada dalam pertimbangan untuk dilepaskan khidmatnya.
Selain alasan mampu menyuntik dana besar hasil penjualannya bagi membantu memulihkan struktur kewangan kelab itu, siri kecederaan yang dialami pemain tersebut membuatkan Barcelona sudah bosan.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu pernah memenangi anugerah berprestij ‘Golden Boy’ pada tahun 2022 dan dianggap sebagai salah satu bakat terhangat dalam sukan bola sepak dunia.
Sebelum ini, beliau diberikan tugas untuk membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lionel Messi di Camp Nou ketika ikon Argentina itu ke Paris Saint-Germain.
Biarpun dianggap berjaya menyerlahkan potensinya sebagai pemain berbakat, rekod Pedri yang terlepas hampir 50 peratus perlawanan bersama Barcelona ekoran kerap berada di bilik rawatan sepanjang tiga musim membuatkan kelab itu sedia menjualnya.
Perdri kini terikat dengan kontrak jangka panjang melibatkan klausa pelepasan bernilai £1 bilion (RM6 bilion), tetapi dalam keadaan kewangan Barcelona ketika ini, dia mungkin akan dilepaskan sekiranya mendapat tawaran yang dianggap berbaloi
Terbaharu, Pedri berdepan satu lagi masalah kecederaan ketika Barcelona terikat tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao di San Mames sebelum ini bersama seorang lagi rakan sepasukannya, Frenkie De Jong. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... ang-lepaskan-pedri/ |
|