|
HASNUL harap pengalaman yang ada dapat menarik perhatian ketua jurulatih. FOTO Ihsan SPFC
Kuantan: Pemain pertahanan muda Sri Pahang FC, Hasnul Zaim mahu membuktikan kepulangannya ke Pahang adalah langkah tepat untuk kembali menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (liga M) musim 2024/2025.
Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata pengalaman bersama Sri Pahang pada musim 2020-2022 sebelum berhijrah ke Perak FC musim lalu, banyak membantu meningkat dan mempamerkan prestasi lebih baik.
"Sudah pasti saya mahu berada dalam kesebelasan utama walaupun perlu berhadapan dengan beberapa pemain senior dan pengalaman termasuk import musim baharu ini.
"Tetapi sebagai pemain yang pernah berada dalam Sri Pahang selama tiga musim sejak berusia 18 tahun serta beraksi dengan Perak FC banyak membantu mematangkan saya.
"Saya harap pengalaman yang ada dapat menarik perhatian ketua jurulatih (Fandi Ahmad) kerana mahu beraksi dalam saingan Liga Super," kata pemain berusia 22 tahun itu.
Hasnul memulakan penampilan bersama Sri Pahang pada 2020 hingga 2022 dan pernah menjadi tonggak utama skuad Tok Gajah musim 2022 yang ketika itu dibimbing jurulatih dari Perancis, Christophe Gamel.
Kepulangan Hasnul sudah pasti memberi lebih pilihan kepada Fandi untuk mengukuhkan benteng skuad Tok Gajah yang turut memiliki pemain pertahanan berpengalaman, Adam Nor Azlin.
Khamis lalu, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan Hasnul kembali menyertai Sri Pahang dengan menandatangani kontrak selama dua musim.
Dengan kemasukan Hasnul, ia melengkapkan empat pemain muda menyertai skuad Tok Gajah setakat ini iaitu Mohamad Saiful Jamaluddin, 21 dan Nasyrullah Zaki, 22 dan Syaahir Saiful Nizam, 21.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -buktikan-kemampuan |
|