CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8151|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Iklan belum diturunkan

[Copy link]
Post time 6-2-2024 10:10 AM | Show all posts |Read mode

LAPORAN Harian Metro, semalam.

Kuala Lumpur: Produk Energy Stick atau penyedut hidung (nasal inhaler) yang dikhuatiri berisiko menjejaskan kesihatan dengan menyasarkan pelajar dikesan banyak dijual dan dipromosikan di platform media sosial.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati promosi jualan dalam talian untuk produk Energy Stick masih ada di platform terbabit dan iklannya masih belum diturunkan.

Malah, terdapat grafik perbandingan keadaan paru-paru lebih bersih apabila sudah menggunakan produk berkenaan, berbanding gambaran paru-paru sebelum penggunaannya.

Selain itu, bagi menarik pengguna Islam membeli produk berkenaan, ada juga iklan lain tertera Halal Nasal Inhaler Stick Liver Cleansing (Penyedut Hidung Halal Membersihkan Paru-Paru).



Ada juga pempengaruh menyiarkan rakaman video menjelaskan kononnya produk yang semakin popular dalam kalangan pelajar berkenaan boleh menyelesaikan masalah berdengkur, selesema dan susah tidur.

Malah, pempengaruh berkenaan yang mempunyai lebih 200,000 pengikut itu turut menunjukkan cara untuk menggunakan Energy Stick terbabit dengan memberi reaksi lega selepas menyedutnya menerusi dua rongga hidung.

Harian Metro semalam melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan tindakan segera bagi menangani isu itu.

Malah, beliau turut dilaporkan berkata, ada menerima aduan serta amaran berhubung produk berkenaan.

Arahan tindakan segera dikeluarkan susulan pendedahan Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook meminta masyarakat agar berhati-hati dengan produk dikenali sebagai Energy Stick.

Malah, ada penjual yang menggunakan slogan 'Sedut dahulu, baru pergi ke sekolah', 'Sedut dahulu, baru mulakan kerja'.

Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna-warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik serta dijual pada harga serendah RM2.50 hingga RM10 sahaja.

Kawal, sebar maklumat bahaya Energy Stick

Kewujudan produk penyedut hidung atau Energy Stick yang dipromosikan menerusi media sosial menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Tukang jahit, Hayati Hamzah, 59, berkata, dia bimbang dengan penjualan produk Energy Stick itu kerana boleh membahayakan kesihatan pengguna.

"Produk ini memang tidak baik untuk kesihatan dan sangat berbahaya terutama kepada anak-anak yang kini sangat cenderung untuk mengikuti trend semasa dan seronok mencuba benda baharu.

"Sebagai ibu bapa, saya mungkin tidak tahu jika mereka ada mencampurkan bahan lain, bahkan kewujudan produk ini juga memudahkan mereka untuk mengambil bahan terlarang," katanya.

Katanya, walaupun kebanyakan individu menyedari pengambilan produk ini mungkin membahayakan kesihatan, tetapi mereka masih mahu mencuba dan tidak menghiraukannya.

"Saya amat tidak menggalakkan sesiapa mencubanya. Malah, golongan wanita juga sudah ramai terjebak dengan penggunaan vape. Jangankan anak-anak, ibu bapa juga ramai yang menggunakannya," katanya.

Peniaga pakaian, Jamal Sadri, 60, berkata, pihak berkuasa perlu mengawal dan menyebarkan maklumat mengenai bahaya Energy Stick ini untuk kesedaran orang ramai.

Menurutnya, apabila mudah membeli produk ini menerusi jualan dalam talian, banyak remaja mungkin terbabit secara tidak langsung kerana mahu mencuba benda baharu.

"Sebagai ibu bapa, kita perlu jaga aktiviti harian anak-anak bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam perkara yang tidak diingini.

"Bagi saya pula, memantau tindakan dan pembelian dilakukan anak-anak adalah jalan yang terbaik.

"Sebelum adanya Energy Stick, rokok dan vape memberi kesan buruk terutama dari segi kesihatan berkaitan pernafasan. Lebih baik menjauhi perkara tidak berfaedah kerana kesihatan adalah lebih utama," katanya.

Produk bawa risiko bahaya

Produk penyedut hidung (nasal inhaler) atau dipanggil sebagai Energy Stick ibarat menyasarkan produk tidak baik kepada generasi muda terutama kanak-kanak.

Pakar kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, produk itu membawa risiko bahaya secara langsung akibat bahan dan cara penggunaan.

"Cara penggunaannya juga sama seperti satu daripada kaedah penyalahgunaan dadah melalui hidung (snorting).

"Sekiranya ia tidak dibanteras oleh pihak berkuasa dan masyarakat tidak mengambil peduli, adalah dikhuatiri mewujudkan budaya negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini," katanya.

Katanya, berikutan itu pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu bertindak segera untuk menghentikannya.

"Pihak berkuasa tolonglah jangan tunggu lama-lama sehingga ia boleh menjadi barah yang merebak menjadi budaya negatif.

"Pihak ibu bapa, masyarakat dan peniaga juga perlu bantu dalam tindakan bersama untuk melumpuhkan terus perniagaan seumpamanya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... an-belum-diturunkan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2024 01:14 PM GMT+8 , Processed in 1.063661 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list