PENAPIS air ciptaan pelajar mendapat emas dan perak ketika BPNIC 2023. FOTO Azrul Edham
Seremban: Dua pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tuanku Jaafar, di sini, kreatif apabila masing-masing mencipta dua alat penapis air mudah alih yang menggunakan tenaga solar.
Kehebatan prototaip ciptaan dua pelajar ini terserlah apabila masing-masing mendapat emas dan perak ketika Balik Pulau National Innovation Competition (BPNIC) 2023 pada November lalu.
Alat penapis air diberi nama 'Aquafil' ciptaan Nurin Diyanah Abdul Rasyed, 17, lebih sesuai untuk digunakan di sesuatu tempat yang tiada bekalan air bersih manakala 'AquaGo' rekaan Mohamad Danish Mahfoz, 17, lebih kompak dan boleh diisi di dalam beg.
Nurin Diyanah berkata, dia mendapat idea untuk menghasilkan ciptaan itu selepas mendapati masalah untuk mendapatkan air bersih jika ke sesuatu destinasi seperti kawasan pedalaman.
"Penapis ini boleh diangkut ke mana-mana lokasi dan hanya menggunakan tenaga solar untuk berfungsi. Ia lebih sesuai jika mahu berada dalam tempoh masa yang lebih lama di sesuatu tempat.
"Selain penapis itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai lapisan, ia juga dilengkapi dengan alat penguji meter pH air, kipas, kabel, panel solar dan power bank (bank kuasa)," katanya ketika ditemui.
Mohamad Danish berkata, berbanding ciptaan Nurin Diyanah, penapis airnya sesuai untuk dibawa ketika berkhemah atau bermalam di dalam hutan.
"Jika dihasilkan kelak, penapisnya boleh diganti dari masa ke semasa, malah kos pembuatannya kurang daripada RM100 selain ia turut menggunakan tenaga solar yang lebih mesra alam.
"Tenaga solar ini juga disimpan ke power bank . Jadi jika pengguna kehabisan bateri telefon, mereka juga boleh mengecas peranti masing-masing. Alat ini dua dalam satu," katanya.
MISTerCOOL ciptaan Faris husaini Mohammad Hafiedz, 17, juga tidak kurang hebatnya apabila mendapat turut mendapat emas pada BPNIC 2023 di SMT Balik Pulau, Pulau Pinang.
Menurutnya, alat ciptaannya bukan sahaja mampu menapis air, malah mampu berfungsi sebagai penyaman udara untuk menyejukkan suhu bilik.
|