Alor Setar: Satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di negeri ini berikutan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,457 orang daripada 451 keluarga di 12 PPS di empat daerah.
Jumlah itu direkodkan pada jam 12 tengah hari berbanding 1,220 mangsa daripada 372 keluarga jam 8 pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keda di Baling yang dibuka pada jam 8.30 malam tadi menempatkan seramai 137 mangsa daripada 40 keluarga.
Beliau berkata, PPS di Kampung Iboi pula masih kekal 103 mangsa daripada 40 keluarga manakala PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai pula meningkat 143 mangsa daripada 44 keluarga.
"PPS di Surau Permatang Limau menempatkan seramai 15 mangsa daripada empat keluarga.
"PPS Maahad Tarbiyah Derang menempatkan 157 mangsa daripada 48 keluarga manakala PPS di SK Bukit Hijau menempatkan seramai 313 daripada 85 mangsa.
Beliau berkata, empat PPS daerah Kubang Pasu masih beroperasi iaitu di SMK Changlun menempatkan seramai 86 mangsa daripada 25 keluarga, PPS SK Malau pula 119 mangsa daripada 29 keluarga manakala PPS Dewan PPK Lubuk Batu pula seramai 59 mangsa daripada 22 keluarga.
"Satu lagi PPS di Kubang Pasu iaitu PPS Dewan Kampung Tradisi menempatkan seramai 22 mangsa daripada tujuh keluarga.
"PPS di SK Taman Aman di Kota Setar pula menempatkan seramai 267 mangsa daripada 95 keluarga.