CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 170|Reply: 0

[Kelantan] Bahasa Mendriq pupus 20 tahun lagi?

[Copy link]
Post time 27-6-2023 02:52 PM | Show all posts |Read mode

GUA MUSANG, 26 Jun -- Sekumpulan kanak-kanak Orang Asli suku Mendriq yang merupakan generasi baru suku itu menyejukkan badan dengan mandi di dalam tangki simpanan air ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.

Gua Musang: Suatu ketika dulu, ucapan 'kerjak kuet untuk derik bek belak, ba masak ba senge bek," (bekerja kuat untuk diri sendiri, demi masa depan awak) menjadi satu kemestian yang dituturkan oleh masyarakat Orang Asli suku Mendriq kepada ahli keluarga yang mahu memulakan sebarang aktiviti seperti memburu atau bercucuk tanam.

Namun sejak tahun-tahun belakangan ini, ucapan berunsur nasihat itu yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi, semakin jarang kedengaran dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Lah, di sini.

Malah, rata-rata mereka, terutama golongan muda, tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq, sebaliknya lebih selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan dalam percakapan seharian.



GUA MUSANG, 26 Jun -- Orang Asli Mendriq, Tijah Latif, 60, melakukan proses meraut buluh untuk menghasilkan bahan utama ayaman tikar perhiasan bagi menambah sumber pendapatan ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.

Situasi itu meresahkan golongan tua yang tidak mahu melihat identiti suku mereka hilang ditelan masa, lebih-lebih lagi komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu hanya sekitar 600 orang sekarang.

Pakar yang membuat kajian tentang bahasa Orang Asli di negara ini menjangkakan bahasa Mendriq berpotensi pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tidak ada langkah pemeliharaan diambil oleh pihak yang berkenaan.

Ini bermakna negara bakal kehilangan satu lagi warisan budaya.

Mendriq merupakan subkumpulan Orang Asli Negrito dan hanya ditemukan di Kelantan. Pada masa ini mereka menetap di tiga lokasi iaitu Kampung Lah di Gua Musang dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai.

(Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli, iaitu Senoi yang merangkumi 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq)



GUA MUSANG, 26 Jun -- Orang Asli Mendriq Kamarul Jelok, 55, bersama keluarga tidak lagi tinggal di rumah asal masyarakat mereka ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Lah baru-baru ini.

Menurut pakar bahasa, lazimnya kepupusan bahasa berlaku secara perlahan-lahan apabila sesuatu etnik itu mendapat pendidikan formal di sekolah yang tidak menggunakan bahasa asal mereka, selain kahwin campur seperti yang berlaku pada etnik Mendriq.

Penulis yang menjejaki suku kaum itu di Kampung Lah, diberitahu oleh penduduk bahawa ramai daripada mereka, termasuk di dua buah kampung lagi, berkahwin campur terutama dengan Melayu. Malah, majoriti orang Mendriq beragama Islam.

Menurut penghulu kampung itu Ali Lateh, perkembangan kahwin campur tersebut berlaku secara ketara sejak awal 1990-an.

"Disebabkan pasangan tidak tahu berbahasa Mendriq, maka bahasa Melayu digunakan. Dari sinilah secara perlahan-lahan bahasa Mendriq mula dipinggirkan," katanya kepada Bernama.

"Memang saya cukup sedih apabila anak-anak muda kami semakin kurang menggunakan bahasa Mendriq, dan saya kira bahasa ini akan pupus dan hilang dari dunia sekiranya tidak ada usaha daripada masyarakat kami sendiri dan pihak kerajaan," tambah beliau.

Pemerhatian penulis sepanjang berada di kampung itu mendapati rata-rata penduduk, khususnya generasi muda, fasih berbahasa Melayu sesama sendiri.

"Tidak ada masalah jika anak-anak Mendriq boleh berbahasa Melayu kerana itu bahasa kebangsaan, tetapi saya harap pihak kerajaan tidak meminggirkan bahasa kami dan usaha-usaha memelihara bahasa Mendriq perlu dipandang serius," kata seorang penduduk, Kamarul Jelok, 50.

Ali yang bercerita lanjut tentang amalan kahwin campur etnik berkenaan, berkata kini semakin sukar untuk menemukan orang Mendriq dengan kriteria 'asal' mereka, iaitu berambut kerinting, berkulit gelap dengan wajah bulat lebar, hidung leper dan dagu pendek.

"Kalau adapun sekarang ini tidak sampai 10 orang (dengan fizikal dan rupa paras asli suku Mendriq) disebabkan ramai berkahwin campur dan anak-anak pun berwajah kacukan," katanya, menambah terdapat kira-kira 380 penduduk di Kampung Lah dan merupakan komuniti terbesar suku Mendriq.

Mengulas tentang nasib bahasa Mendriq, Prof Madya Dr Fazal Mohamed Sultan, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata berdasarkan kajiannya sejak 2007, kemungkinan besar bahasa itu akan pupus dalam tempoh 20 tahun lagi.

Apatah lagi ketika ini tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berwajib bagi menjaga bahasa Mendriq, ataupun bahasa Orang Asli yang lain, katanya.

Menurutnya, setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) hanya memperkenalkan subjek bahasa Semai di sekolah yang mempunyai ramai pelajar daripada etnik itu.

"Kerajaan, KPM, Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) telah melaksanakan langkah terbaik bagi meningkatkan taraf hidup golongan ini, antaranya melalui pendidikan termasuk pengambilan khas pelatih perguruan Orang Asli yang dibuat oleh Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (di Pahang).

"Cuma saya melihat ada keperluan program ini diperluas kepada semua suku Orang Asli, terutama Negrito, kerana setahu saya, setakat ini kebanyakan guru Orang Asli adalah daripada kumpulan Melayu Proto dan Senoi. Negrito langsung tidak ada," katanya.

Menyifatkan hal itu sebagai satu masalah besar dan membimbangkan, Fazal Mohamed berkata KPM perlu bertindak memandangkan kajiannya juga mendapati dasar tersebut bukan sahaja mengancam kelestarian bahasa suku minoriti seperti Mendriq tetapi juga prestasi pendidikan mereka.

Menurutnya, ini kerana setiap kumpulan Orang Asli terbabit adalah berbeza antara satu sama lain.

Justeru, amat penting setiap suku mempunyai guru daripada etnik sendiri bagi meningkatkan kefahaman mereka dalam pelajaran selain memupuk minat untuk belajar.

"Berdasarkan kajian, didapati prestasi pendidikan mereka (anak Orang Asli kumpulan etnik Negrito termasuk Mendriq) tercorot, jauh di belakang berbanding kumpulan anak Orang Asli lain. Sifat anak Orang Asli Mendriq ini pemalu dengan orang luar, dan kerana itu penting mempunyai guru daripada kaum mereka sendiri untuk tarik minat anak ini belajar," jelasnya.

Menurut beliau lagi, Malaysia diakui sebagai negara yang serius menjaga kepentingan Orang Asli apabila mempunyai jabatan khusus untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan kumpulan itu, namun tidak ada penekanan diberikan terhadap pemeliharaan bahasa suku kaum terbabit.

"Dasar yang ada ketika ini setakat melindungi hak, kebajikan, mendapatkan pendidikan sama rata buat mereka, tetapi pihak berwajib lupa bahawa bahasa asal juga perlu dipertahankan.

"Kita perlu sedar bahasa melambangkan budaya, dan budaya itu juga melambangkan sesuatu bangsa. Justeru, amat penting bahasa dipertahankan dan dilestarikan, bukan sahaja demi kelangsungan generasi masa depan sesuatu kaum tetapi juga sebagai khazanah berharga negara," katanya.

Ditanya tentang langkah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani ancaman kepupusan bahasa Orang Asli, beliau berkata antara pendekatan terbaik ialah mengarkibkan semua bahasa Orang Asli yang ada di negara ini.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... pupus-20-tahun-lagi
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-5-2024 10:15 AM GMT+8 , Processed in 0.058174 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list