GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Ahli Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG) bagi menyelamatkan ribuan nyawa muda.
Pegawai Pendidikan CAP yang juga aktivis anti merokok, NV Subbarow berkata, Malaysia akan berada pada langkah pertama ke arah menjadi negara bebas asap rokok sekiranya
RUU itu diluluskan di Parlimen.
Sebaliknya, katanya, jika RUU itu gagal mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen, Malaysia akan mempunyai seratus ribu lagi perokok dan penghisap vape pada masa akan datang.
"Keperluan Ahli Parlimen adalah bagi menyokong RUU itu demi generasi masa depan kita.
"Rokok dan vape dibimbangi bertindak sebagai pintu masuk bagi belia meneroka dadah terlarang malah otak mereka juga terdedah kepada ketagihan nikotin.
"Apabila mereka bermula dengan rokok, adakah mereka berhenti pada rokok? Tidak, kerana ia akan membuka minda mereka bagi mencuba pelbagai jenis dadah, jadi yang paling penting ialah kita mesti menyelesaikan ini daripada sumbernya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menerusi saringan yang dijalankan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 43,019 pelajar terbabit dengan tabiat merokok.
Dalam tempoh yang sama hasil saringan yang dijalankan terhadap 2 juta pelajar sekolah rendah mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.
Subbarow berkata, CAP percaya bilangannya akan lebih banyak pada masa ini tambahan pula di sekolah rendah, murid mengakui bahawa mereka kadang kala turut menghisap rokok.
Katanya, menerusi tinjauan CAP, kanak-kanak yang merokok membelanjakan sekitar RM40 sebulan dan RM100 bagi pelajar sekolah menengah.
"Kita tidak pasti daripada mana mereka mendapat wang itu tetapi ada pelajar yang mengaku terpaksa berbohong kepada ibu bapa bagi mendapatkan wang dan segelintirnya mengaku mencuri duit.
"Tabiat merokok ini tidak pernah mengajar nilai moral yang baik kepada generasi akan datang," katanya lagi.