Georgetown: Seorang along dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman secara haram kira-kira dua tahun lalu.
Lee Jeng Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Berdasarkan pertuduhan Jeng Loon didakwa memberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada seorang wanita berusia 41 tahun di sebuah premis bernombor 114 Lebuh Noordin di sini pada Mei 2021.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wei manakala tertuduh diwakili peguam, Hairul Alif Hairul Azam.
Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan apa-apa jaminan namun Hairul Alif memohon anak guamnya yang mempunyai seorang anak diberi jaminan dengan kadar minimum.
Peguam itu memberi alasan anak guamnya seorang warganegara yang tidak mempunyai 'flight risk' selain menyatakan jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah bukan bertujuan menghukum.
Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport ke mahkamah.
Mahkamah turut melarang tertuduh mengganggu atau berjumpa dengan mana-mana saksi atau pengadu dan akan membatalkan jaminan jika mana-mana syarat tersebut dilanggar.
Mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.