View: 1866|Reply: 0
|
Chelsea akhirnya pecat Potter
[Copy link]
|
|
POTTER dipecat hanya selepas tujuh bulan membimbing Chelsea. FOTO Reuters
London: Graham Potter terpaksa membayar harga tinggi susulan prestasi buruk Chelsea apabila pengendali itu dipecat hanya selepas tujuh bulan berkhidmat.
The Blues tergelincir ke tangga ke-11 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kekalahan 0-2 di tempat sendiri kepada Aston Villa walaupun membelanjakan lebih £500 juta (2.71 bilion) untuk pembelian baharu musim ini.
Bekas pertahanan Brighton, Bruno Saltor menggalas tugas selaku pengendali sementara.
Chelsea hanya memenangi tiga perlawanan dalam 11 perlawanan terakhir mereka tetapi berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara di mana mereka akan menentang juara bertahan, Real Madrid.
Perlawanan itu mungkin menjadi faktor kepada pemilik baharu dari Amerika itu membuat keputusan drastik, dengan aksi pertama di Madrid hanya 10 hari lagi.
"Kami amat menghormati Graham sebagai jurulatih dan sebagai seorang individu. Dia sentiasa bersikap profesional serta berintegriti dan kami semua kecewa dengan keputusan ini.
"Kami mempunyai baki 10 perlawanan Liga Perdana dan suku akhir Liga Juara-Juara. Kami akan meletakkan setiap usaha dan komitmen dalam setiap satu daripada perlawanan itu supaya kami dapat menamatkan musim ini dengan cemerlang," kata pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.
Potter menjadi pengurus kedua yang dipecat oleh konsortium yang diketuai oleh pemilik bersama LA Dodgers Boehly dan firma ekuiti persendirian, Clearlake Capital pada musim pertama mereka memiliki kelab itu.
Thomas Tuchel, yang dilantik sebagai bos Bayern Munich minggu lalu, dipecat pada September tahun lalu, hanya setahun lebih selepas memimpin Chelsea menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara.
Chelsea membayar £21.5 juta (RM116.7 juta) sebagai pampasan kepada Brighton untuk melantik Potter.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... hirnya-pecat-potter |
|
|
|
|
|
|
| |
|